Kredit foto: Instagram @ammar_alfian & Instagram @nelissanezam
Pelakon Ammar Alfian menegaskan dia sudahpun berkali-kali memohon maaf kepada isterinya, Nelissa Nezam atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
Beliau yang mengakui kesilapan dibuat, bagaimanapun berasa kecewa apabila Nelissa memilih untuk menghebahkan perkara itu di laman sosial hingga memalukannya kepada khalayak.
"Fokus saya adalah pada anak lelaki saya yang bakal lahir, tiada benda lain yang penting. Saya dah buat pilihan untuk berdiam diri dan selesaikan masalah ini antara saya dan isteri.
"Tetapi isteri saya mahu memalukan saya pada khalayak ramai. Saya takkan main permainan dia," katanya.
Kredit foto: Instagram @ammar_alfian
Ammar membuat kenyataan tersebut menerusi kiriman terbaharu Instagram, hari ini.
Entri itu kemudiannya diiringi penjelasan berbunyi:
"Saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah dan sudah pun meminta maaf berkali-kali sebelum ini pada isteri saya, tapi ini hukuman yang saya dapat dari dia. Saya reda dan terima kerana ini semua dari Allah.
"Seperti mana saya pernah beritahu sebelum ni, kamu semua tak boleh faham dan tak mahu dengar kenyataan daripada sebelah pihak saya, jadi buat apa saya perlu jelaskan apa-apa. Cukup bagi saya, Nel isteri saya, ibu bapa saya dan ibu bapanya tahu.
"Isteri saya yang memilih cara penyelesaian seperti ini, harap dia berpuas hati setelah motif tercapai. Di bulan Ramadan yang mulia ini, pada semua saya meminta maaf, saya pendosa dan saya percaya Allah Akan memaafkan hambaNya yang datang padaNya".
Sementara itu, pelakon filem Paskal itu memberitahu hubungan rumah tangganya kini sedang cuba dipulihkan.
Begitupun, beliau redha dan terima ketentuan Allah sebagai peristiwa yang mempunyai hikmah di sebaliknya.
"Ini merupakan kiriman saya yang terakhir tentang isu ini. Tolong hormati perkahwinan saya dan beri saya ruang untuk selamatkan perkahwinan saya.
"Saya harap perjalanan hidup saya lebih tenang dan dekat pada Allah selepas ini, sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya," katanya.
Terdahulu, Nelissa memuat naik paparan skrin perbualan dengan Ammar melalui aplikasi WhatsApp sebagai membuktikan perlakuan curang suaminya itu.
Ia rentetan pelakon itu menafikan dakwaan yang diwar-warkan di media sosial sebelum ini.