Seperti mana yang kita sedia maklum, Sukan Olimpik dianjurkan setiap 4 tahun dengan menjanjikan pertandingan yang kompetitif daripada atlet seluruh dunia. Selain Olimpik, ada juga Sukan Paralimpik yang difokuskan pada atlet orang kelainan upaya (OKU) yang turut dianjurkan setiap 4 tahun.
Walaupun penganjuran Sukan Paralimpik "diinspirasikan" daripada Sukan Olimpi, sejarah penganjurannya adalah berlainan dan jenis-jenis sukan malah kategori yang dipertandingkan juga adalah berlainan bagi memenuhi jenis-jenis OKU yang akan mengambil bahagian.
BESARKAN TEKS A- A+
Pertandingan sukan untuk atlet dengan kecacatan atau kekurangan fizikal telah wujud selama lebih dari 100 tahun dan kelab sukan pertama untuk orang pekak sudah ada pada tahun 1888 di Berlin.
Namun hanyalah setelah Perang Dunia Kedua sukan untuk golongan ini diperkenalkan secara meluas. Tujuannya pada masa itu adalah untuk membantu sejumlah besar veteran perang dan orang awam yang telah cedera semasa perang.
Malaysia turut menghantar atlet-atlet dalam Sukan Paralimpik dan pencapaian atlet kita dalam Sukan Paralimpik juga amat membanggakan kerana pernah beberapa kali memenagi pingat. Malangnya, penyertaan atlet Malaysia dalam Sukan Paralimpik tidak mendapat liputan meluas seperti atlet-atlet yang bertanding dalam Sukan Olimpik.
Inspirasi penganjuran Sukan Paralimpik
Pada tahun 1944, atas permintaan kerajaan British, Dr. Ludwig Guttmann telah membuka pusat rawatan kecederaan tulang belakang di Stoke Mandeville Hospital di Great Britain dan pada masa sama juga, sukan pemulihan sedang berkembang menjadi sukan rekreasi dan kemudian menjadi sukan yang kompetitif.
Pada 29 Julai 1948, hari upacara pembukaan Sukan Olimpik London 1948, Dr. Guttmann menganjurkan pertandingan pertama untuk atlet kerusi roda yang dinamakannya sebagai Stoke Mandeville Games, yang menjadi permulaan sejarah penganjuran Sukan Paralimpik.
Pada edisi pertama ini, ianya melibatkan 16 anggota tentera yang cedera dan wanita yang mengambil bahagian dalam sukan memanah. Pada tahun 1952, bekas-bekas anggota tentera Belanda bergabung dengan gerakan ini dan Sukan Stoke Mandeville Antarabangsa ditubuhkan.
Pengajuran Sukan Paralimpik pertama
Sukan Stoke Mandeville kemudian dijenamakan menjadi Sukan Paralimpik yang pertama kali berlangsung di Rom, Itali, pada tahun 1960 yang menampilkan 400 atlet dari 23 negara. Sejak itu, temasya sukan ini dianjurkan setiap empat tahun. Pada tahun 1976, Sukan Musim Sejuk pertama dalam sejarah Paralimpik diadakan di Sweden.
Seperti Sukan Paralimpik Musim Panas, Sukan Paralimpik Musim Sejuk telah berlangsung setiap empat tahun, dan merangkumi Majlis Perasmian Paralimpik dan Upacara Penutupan Paralimpik.
Sejak Sukan Paralimpik Musim Panas di Seoul, Korea pada tahun 1988 dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk di Albertville, Perancis pada tahun 1992, penganjuran Sukan Paralimpik juga telah dianjurkan di kota dan tempat yang sama dengan Sukan Olimpik setelah perjanjian antara IPC dan IOC.
Antara atlet yang layak untuk menyertai Sukan Paralimpik termasuklah atlet dengan kecacatan mobiliti, amputasi, masalah penglihatan dan cerebral palsy. Sukan Paralimpik dianjurkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan pingat emas, perak dan gangsa diberikan dalam setiap acara, tradisi yang dimulakan oleh Sukan Olimpik pada tahun 1904.
Perkembangan Sukan Paralimpik
Pada tahun 1960, di bawah naungan persekutuan bekas anggota tentera, sebuah kumpulan kerja antarabangsa mengenai sukan untuk Orang Kurang Upaya ditubuhkan untuk mengkaji masalah sukan bagi golongan OKU ini. Maka, tertubuhlah Organisasi Sukan Antarabangsa untuk Orang Kurang Upaya (ISOD) pada tahun 1964.
Penubuhan ISOD penting kerana ia membuka lembaran baru untuk golongan OKU yang tidak boleh menyertai Sukan Stoke Mandeville Antarabangsa dan mereka ini adalah atlet yang tidak mengalami kecacatan fizikal tetapi masalah lain seperti gangguan penglihatan, amputasi, orang dengan kelumpuhan otak dan lumpuh.
Akhirnya, pada 22 September 1989, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa ditubuhkan sebagai organisasi bukan untung antarabangsa di Dusseldorf, Jerman,
Perkataan "Paralimpik" berasal dari perkataan Yunani "para" (di sebelah atau di samping) dan perkataan "Olimpik". Maka, secara umumnya ialah paralimpik adalah sukan yang sejajar dengan Olimpik dan menggambarkan bagaimana kedua pergerakan itu wujud secara berdampingan. Penganjuran Sukan Paralimpik memberikan golongan OKU platform untuk bertanding dalam acara sukan kompetitif di peringkat tertinggi di dunia.
Bagi yang tidak tahu, setiap peserta di Paralimpik akan dikelompokkan berdasarkan kecacatan mereka dalam satu daripada sepuluh kategori kecacatan; kekuatan otot terganggu, gangguan pergerakan pasif, kekurangan anggota badan, perbezaan panjang kaki, perawakan pendek, hipertonia, ataxia, athetosis, gangguan penglihatan dan gangguan intelektual.
Setiap sukan Paralimpik kemudian mempunyai klasifikasi tersendiri, bergantung pada tuntutan fizikal tertentu untuk sukan atau acara yang dipertandingkan. Setiap acara diberikan kod yang terdiri daripada angka dan huruf, menerangkan jenis acara dan klasifikasi atlet yang bertanding.
Kredit: