Bila kita menyebut tentang Thailand, bagi sesetengah individu perkara pertama yang mereka ingat mungkin berkisar kepada pulut mangga, barangan murah di sempadan, sukan tomoi ataupun iklan-iklan Thailand yang penuh emosi.

Ada juga di kalangan kita yang terus terfikir tentang 'ladyboy' - lelaki-lelaki transgender, pondan, bapuk, ponen atau apa jua gelaran yang kita gunakan bagi menggambarkan lelaki yang telah pun menukar diri mereka sepenuhnya kepada wanita; kerap kali juga menjadi salah satu tarikan pelancongan Thailand.

BESARKAN TEKS     A-  A+

pondan siam kena latihan ketenteraan

Ladyboy atau istilah sebenarnya 'kathoey' di Thailand berbeza sekali dengan mana-mana kathoey di negara lain, berikutan keterbukaan negara itu seakan-akan menerima dan membenarkan mereka berasimilasi dengan masyarakat secara terbuka. Pernahkah anda terfikir, mengapakah 'kathoey' ramai di Thailand?

Yang lebih penting, benarkah dakwaan bahawa Thailand menerima mereka sepenuhnya?

Asal-usul penerimaan 'kathoey' di Thailand

peninju tomoi transgender

Secara statistiknya, di anggarkan terdapat seramai 300,000 orang kathoey di Thailand. Sekiranya dibandingkan dengan populasi wanita sebenar Thailand yang berjumlah 35 juta orang, jumlah itu sebenarnya hanyalah 1 peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk wanita Thailand. Jadi jangan takutlah sekiranya anda mahu memperisterikan orang negara itu ya?

Bagaimanapun, penerimaan masyarakat malahan kerajaan mereka pada golongan ini amat berbeza sekali berbanding masyarakat lain di seluruh dunia. Semua ini dipercayai berpunca daripada manuskrip yang menjadi asas kepada kepercayaan rakyat Thailand yang beragama Buddha, digelarkan sebagai manuskrip Pathamamulamuli.

Terdapat kisah di dalamnya mengandungi hikayat penciptaan dunia ini yang diceritakan secara turun temurun. Bagaimanapun oleh kerana kelemahan rekod dan catatan yang ada, versi yang ada sekarang akan berbeza-beza terjemahannya.

ilustrasi lama thailand

Kisahnya, wujud makhluk bersifat wanita bernama Nang Itthang Gaiya Sangkasi dan pasangannya makhluk bersifat lelaki bernama Pu Sangaiya Sangkasi yang hidup di bumi. Mempunyai kuasa mencipta hidupan seperti haiwan dan tumbuhan, Nang Itthang menciptakan tiga bentuk tubuh serupa manusia lalu dimasukkan elemen-elemen alam seperti air, api, tanah dan angin ketiga tubuh itu.

Ketiga-tiganya diberikan jantina yang berbeza. Seorang lelaki bernama Pulinga, seorang lagi wanita dinamakan Itthi dan seorang lagi dinamakan Napumsaka, yang mempunyai kedua-dua organ seksual lelaki dan wanita atau khunsa. Mereka inilah yang dipercayai dalam hikayat ini sebagai tiga orang manusia pertama dalam kepercayaan mereka.

Walaupun ketiga-tiganya sama-sama hidup berpasangan di antara mereka serta mempunyai zuriat, Pulinga ternyata lebih menyayangi Ithhi berbanding Napumsaka. Merasa iri hati, Napumsaka akhirnya membunuh suaminya sendiri sehingga menyebabkan hatinya remuk. Tidak lama selepas membunuh suaminya, Napumsaka meninggal dunia kerana terlalu sedih atas perbuatannya sendiri - meninggalkan Itthi menjaga anak-anak mereka.

Setiap hari, Itthi akan melawat pusara Pulinga dan meletakkan bunga di atasnya sementara enggan melawat pusara Napumsaka yang terbiar begitu saja. Apabila ditanya anak-anak mereka mengapa ibu mereka hanya melawat pusara ayah yang pertama dan tidak yang kedua, Itthi menjawab dia hanya sayangkan Pulinga. Dia tidak pernah mengasihi Napumsaka walaupun Napumsaka itu suaminya juga.

Itu adalah catatan paling awal yang ada berkenaan hubungan cinta di antara tiga jantina yang ada iaitu lelaki, wanita dan khunsa, menurut masyarakat Thailand. Kisah ini memainkan peranan yang besar dalam membentuk penerimaan orang Thai sejak dulu lagi dalam menerima individu yang berbeza sedikit jantinanya.

Jantina dalam agama Buddha

ladyboy dari perspektif agama

Kisah tersebut secara jelas mengiktiraf kewujudan satu lagi jantina berdasarkan kepada watak Napumsaka.

Ini yang menjadi asas kepada pembentukan kepercayaan Buddha mengiktiraf bukan sahaja tiga malahan empat jantina secara keseluruhannya. Kesemua jantina itu adalah lelaki, perempuan, khunsa yang digelarkan sebagai 'bhatobyanjuanaka' dan juga satu lagi kumpulan yang digelarkan sebagai 'pandaka' - kumpulan lelaki yang mempunyai masalah kesuburan atau kurang maskulin.

Sistem jantina ini memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup masyarakat Buddha di Thailand.

Ini kerana kepercayaan mereka mengajar mereka menerima setiap seksual orientasi seseorang itu sebenarnya ditentukan oleh kehidupan lampau mereka yang dahulu, berdasarkan perbuatan baik buruk seseorang.

Kepercayaan ini memudahkan masyarakat Thailand menerima kewujudan golongan kathoey yang ramai di negara mereka, kerana agama mereka sendiri mendidik mereka percaya apa yang sedang berlaku pada golongan kathoey, bukanlah kesalahan individu tersebut. Mereka percaya sekiranya seseorang itu lahir sebagai seorang transgender, dia sebenarnya sedang menebus dosa lampau yang pernah dilakukan.

Fasiliti pertukaran jantina terbesar di dunia

ladyboy tepi jalan

Oleh kerana sistem masyarakat mereka sudah sedemikian rupa, fasiliti-fasiliti untuk membantu mana-mana kathoey berubah jantina sangat banyak didapati di Thailand. Pil-pil hormon juga boleh dibeli di mana-mana farmasi di Thailand.

Selain itu, hospital di Thailand juga sudah pun menawarkan perkhidmatan penukaran jantina sejak tahun 1965 lagi. Dianggarkan setiap minggu, 2 ke 3 pembedahan dijalankan bagi membantu lelaki memiliki tubuh wanita yang mereka mahukan.

Dalam menyelia isu ini, kerajaan Thailand telah pun memperkenalkan beberapa peraturan dalam memastikan pembedahan tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Semua individu yang mahu dibedah mesti berumur lebih 18 tahun dan rekod perubatan yang membuktikan wujudnya diaspora jantina perlu diperolehi.

Bagi mereka yang sudah memutuskan mahu menjalani pembedahan, perlu memulakan pengambilan pil hormon selama setahun sebelum tarikh pembedahan itu akan dilangsungkan.

Benarkah penerimaan di Thailand terbuka seperti dikata?

pondan kena masuk khidmat negara thailand

Realitinya, walaupun kathoey dikatakan diterima masyarakat Thailand, perasaan sinis dan sinikal terhadap golongan ini tetap wujud khasnya bagi kelompok masyarakat desa.

Masih ingat faktor agama Buddha yang menjadi faktor utama? Ramai yang sinis dengan kathoey kerana menganggap mereka patut malu tentang apa yang pernah mereka lakukan dalam kehidupan lalu.

Dalam peluang pekerjaan, golongan ini tetap berhadapan stigma yang sama ditemui di mana-mana tempat, jadi kebanyakan di antara mereka menyara hidup dengan bekerja di kedai makan, salun rambut, kedai runcit atau bekerja sebagai pekerja industri seks di Bangkok.

Setiap tahun, bulan April merupakan bulan yang paling ditakuti oleh golongan kathoey di Thailand kerana tempoh pendaftaran perkhidmatan wajib tentera dibuka untuk semua golongan lelaki. Ketika inilah semua lelaki tak terkecuali golongan kathoey akan dipanggil pihak tentera bagi menjalankan perkhidmatan mandatori selama 6 bulan.

Kathoey akan berbaris bersama-sama lelaki lain, untuk dinilai tubuh badan serta kesihatan mental mereka. Walaupun ada pengecualian khas boleh diberikan pada golongan kathoey yang sudah pun selesai menjalankan pembedahan 100%, mereka masih lagi perlu datang melaporkan diri dalam peringkat ujian saringan sebelum boleh dikecualikan.

Isu ini tetap timbul kerana di Thailand, walaupun mereka membenarkan pertukaran jantina - dokumen kelahiran tetap akan menyatakan jantina asal seseorang semasa lahir tanpa boleh dipinda keterangannya.

Mungkin mereka kelihatan sama seperti wanita, tetap atas kertas mereka masih lelaki.

Rujukan

Google Books

ELK Asia Pacific Journals




Hakcipta iluminasi.com (2017)