Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Pepatah ini mungkin sesuai dengan seorang pemuda yang menjadi jutawan di Thailand melalui perniagaan menjual produk rumpai laut kering. Siapa sangka, dengan hanya menjual snek ini mampu menjadikan seseorang itu seorang jutawan.
Ketika menjual pelbagai produk makanan di gerainya, tanpa disangka-sangka produk rumpai lautnya mendapat sambutan hangat. Dari situ beliau telah mengambil keputusan bijak untuk memfokuskan kepada penjualan satu produk sahaja iaitu snek rumpai kering sahaja sehingga membolehkannya menjadi seorang jutawan.
BESARKAN TEKS A- A+
Lelaki yang dimaksudkan ini adalah seorang pemuda dari Thailand bernama Aitthipat Kulapongvanich pemilik jenama snek Tao Kae Noi yang produknya popular di pasaran negara-negara Asia Pasifik. Kali ini kami ingin berkongsi kisah kejayaannya dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada para pembaca Iluminasi.
Minat berbisnes sejak remaja
Pada usia 16 tahun, beliau mempunyai ketagihan bermain permainan video Everquest dan merupakan antara permain terbaik dalam permainan ini. Kerana kepakarannya bermain permainan ini, beliau berjaya memperoleh banyak barangan (item) berharga dalam permainan ini.
Dari situ, pemain permainan ini dari seluruh dunia terutama dari Amerika Syarikat mula menghubunginya untuk membeli koleksi barangan unik yang dimilikinya. Hanya dengan menjual pelbagai koleksi barangan unik dalam permainan video ini, beliau memperoleh kira-kira $10 ribu setiap bulan.
Inilah pengalaman pertamanya berniaga. Dengan pendapatan $10 ribu sebulan, ianya cukup banyak bagi remaja seusianya. Pada usia 17 tahun, beliau melanjutkan pelajarannya di University of the Thai Chamber of Commerce (UTCC).
Malangnya, pada tahun yang sama, perniagaan ibu bapanya menghadapi krisis kewangan sehingga diisytiharkan muflis kerana berhutang sehingga $10 juta. Kerana desakan hidup, beliau akhirnya memutuskan untuk berhenti belajar untuk menolong keluarganya.
Jatuh bangun dalam bisnes
Antara langkah yang diambil untuk membantu keluarganya adalah beliau juga telah mengambil keputusan menjual akaun atau ID permainannya dengan nilai yang agak besar. Wang yang diperolehi ini kemudiannya telah digunakan sebagai modal berniagaan barunya.
Perjalanan bisnesnya di permulaannya sangat mencabar. Beliau pernah cuba menjual makanan dan kopi di depan kampusnya, melabur dan menjual pemain CD murah namun semua rancangannya tidak berjaya. Kegagalan ini menyebabkannya kehilangan sejumlah besar wang daripada wang yang diperolehi hasil dari menjual ID permainannya.
Suatu hari, ketika beliau pergi ke China Town di Bangkok, beliau melihat bahawa ramai orang suka membeli buah berangan (chestnut) goreng gula. Pada masa itu, produk seperti itu hanya boleh ditemui di China Town sahaja. Dari situ, beliau mendapat idea untuk menjualnya di pusat membeli-belah utama.
Ternyata ideanya ini cukup bagus dan mendatangkan pendapatan lumayan padanya. Bayangkan, dalam tempoh hanya satu setengah tahun, beliau telah berjaya membuka lebih dari 30 kedai chestnut di pasar raya besar TESCO dan Carrefour, 2 pasar raya terbesar di Thailand. Ketika itu, beliau hanyalah berusia 18 tahun.
Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah nasib pemuda ini dalam dunia perniagaan yang ada turun naiknya ini. Ketua Pegawai Eksekutif baru yang dilantik oleh TESCO Lotus (di mana terdapat lebih daripada 25 cawangan) tidak membenarkannya menjual buah berangan di TESCO Lotus.
Larangan ini adalah kerana asap daripada kedainya ini mengeluarkan bau yang mudah merebak ke keseluruhan pasar raya tersebut dan merosakkan siling. Akibat daripada larangan ini, beliau terpaksa memutuskan untuk memasak buah berangan di luar pusat membeli-belah dan kemudian dihantar ke kedai.
Idea menjual rumpai laut
Akibat daripada perubahan ini, hasil pendapatan dari penjualan buah berangannya turun sebanyak 50 peratus. Untuk meningkatkan kembali jualannya, beliau kemudian telah menambah dan menjual produk makanan sampingan lain seperti produk buah-buahan kering dan rumpai laut goreng.
Setelah beberapa bulan, beliau melihat hasil pendapatan daripada jualan produk rumpai laut gorengnya telah mengtasai pendapatan daripada hasil jualan buah berangan dan menjadi produk terlaris. Di sinilah bermulanya empayar bisnes rumpai lautnya pada usia 19 tahun.
Beliau mengambil keputusan untuk memfokuskan kepada produk rumpai laut dengan menubuhkah satu kumpulan kecil pekerja yang bekerja di dapur di rumahnya untuk menghasilkan lebih banyak rumpai laut goreng. Untuk mengembangkan bisnes rumpai laut gorengnya, beliau cuba untuk memasarkannya melalui rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven.
Pada mulanya, pihak pengurusan 7-Eleven menolak permintaannya kerana pembungkusan produk rumpai lautnya terlalu buruk iaitu beg plastik yang hanya ditampal dengan pelekat. Beliau menghabiskan masa berbulan-pihak bulan untuk mengubahsuai reka bentuk pembungkusan sehinggalah akhirnya pengurusan 7-Eleven berpuas hati.
Sebelum produknya dibenarkan masuk ke 7-Eleven, pihak pengurusan 7-Eleven telah meminta untuk mengunjungi kilangnya untuk memastikan kualiti makanan dan memastikan rumpai lautnya dapat dibekalkan di 3000 cawangan di seluruh Thailand. Dengan hanya enam pekerja di dapurnya, tidak mungkin permintaan itu dapat dipenuhinya.
Bagi memastikan permintaan ini dapat dipenuhi, beliau memutuskan untuk menjual perniagaan buah berangannya bagi membiayai pelaburan untuk membeli lebih banyak peralatan dan mengambil lebih banyak pekerja untuk meningkatkan jumlah pengeluaran.
Tidak lama selepas lawatan pihak 7-Eleven ke kilangnya, beliau telah mendapat pesanan pertama dari 7-Eleven sebanyak 72,000 bungkus rumpai laut goreng dalam masa 45 hari. Dari situ, perniagaan rumpai laut gorengnya berkembang pesat. 2 tahun kemudian produk rumpai laut gorengnya mula dieksport ke Singapura dan Hong Kong.
Pada usia 26 tahun, produk syarikatnya Tao Kae Noi boleh didapati di 19 negara termassuk Amerika Syarikat, UK, Kanada dan Australia. Beliau berjaya menjadi jutawan termuda Thailand dengan nilai bersih THB 1 bilion ($ 33 juta). Kisah kejayaan pemuda ini turut dijadikan jalan cerita bagi filem The Billionaire yang ditayangkan di Thailand pada 20 Oktober 2011..
Kredit: