Sebut sahaja Mi Maggi, pasti majoriti rakyat Malaysia kenal. Malah, Mi Maggi juga dianggap makanan alas perut popular bagi mereka yang pernah bersekolah asrama penuh mahupun para pelajar di universiti yang kadang-kala terpaksa ikat perut sekiranya kehabisan wang.
Populariti Mi Maggi sangat kuat sehinggakan hampir semua digelar "Maggi", sama seperti kebiasaannya ubat gigi dipanggil "Colgate" walhal kedua-duanya adalah jenama. Selain produk mi segera, Maggi turut memasarkan produk-produk lain antaranya produk penambah peisa dan sos.
BESARKAN TEKS A- A+
Dek kerana populariti jenama Maggi ini, ada juga segelintir daripada kita menganggap bahawa Maggi adalah jenama yang berasal dari Malaysia. Sudah tentulah dakwaan ini tidak benar sama sekali. Daripada manakah asal-usul jenama ini? Siapakah pengasas jenama ini?
Asal-usul jenama "Maggi"
Maggi merupakan sebuah jenama yang berasal dari Switzerland, ditubuhkan sekitar tahun 1884. Nama "Maggi" ini berasal daripada nama pengasasnya Julius Maggi yang telah mengambil alih kilang bapanya.
Julius atau nama penuhnya Julius Michael Johannes Maggi lahir pada 1846 di Switzerland dan meninggal dunia pada tahun 1912 ketika berumur 66 tahun. Beliau mewarisi kilang memuat tukul milik ayahnya.
Pada awal tahun 1880-an, Julius Maggi mula bereksperimen untuk mencipta pelbagi jenis tepung baru. Pada tahun 1882, dia akhirnya mula menjual tepung dan tidak lama kemudian telah menubuhkan syarikat Maggi. Pada tahun 1886, dia melancarkan produk perasa tambahan di bawah jenama Maggi.
Pada ketika itu, beliau menyedari terdapat satu masalah besar yang dihadapi oleh para pekerja di kawasannya. Orang wanita yang secara tradisional menyediakan makanan untuk keluarga mereka semakin menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja seperti kilang dan kurang masa di dapur mereka.
Julius Maggi menyedari bahawa mereka memerlukan makanan yang berkhasiat, kenyang dan cepat. Maka, beliau telah bertemu dan mendapatkan pandangan seorang doktor dan inilah titik tolak bagaimana beliau mendapat idea untuk menghasilkan pelbagai produk makanan.
Keinginan mencipta makanan berkhasiat
Julius Maggi yang mempunyai minda usahawan ini mempunyai visi besar pada ketika itu untuk menghasilkan makanan dengan rasa yang sedap dan berkhasiat. Selain itu, beliau juga mahukan makanan dihasilkan mudah diperolehi oleh para pekerja yang sibuk bekerja dan wanita yang tidak sempat menyediakan makanan berkhasiat untuk keluarga.
Pada ketika itu, seorang doktor bernama Dr Fridolin Schuler percaya ada kaitan antara kekurangan zat makanan dan tahap penyakit yang tinggi dan kadar kematian bayi. Beliau adalah anggota Persatuan Kesejahteraan Awam Switzerland yang tujuannya adalah untuk memperbaiki kehidupan penduduk negara itu.
Daging berkhasiat merupakan makanan premium dan tidak mampu dinikmati oleh rakyat kebanyakan dan Dr Fridolin Schuler yakin bahawa kacang yang kaya nutrien dan mudah dicerna - adalah penyelesaiannya. Julius Maggi mendapat inspirasi daripada pendapat Dr Fridolin Schuler ini dan melihat potensi besar produk ini pada masa depan lalu telah menghasilkan sejenis tepung baru, yang diperbuat dari kacang.
Setelah dua tahun menjalankan kajian, beliau melancarkan tepung yang diperbuat daripada kacang dan kemudiannya pada tahun 1885 telah menjual beberapa serbuk sup segera pertama di dunia. Kemudian, pada tahun 1886, beliau melancarkan bahan perasa Maggi, sejenis stok kuah pekat untuk menjadi asas menghasilkan sup dan sos.
Perkembangan jenama Maggi ke global
Produk-produk awal ini berjaya dan Maggi mula berkembang di peringkat antarabangsa. Menjelang tahun 1888, Julius Maggi telah membuka cawangan atau sekutu di Jerman, Perancis, Itali, UK dan AS.
Julius Maggi juga meramalkan pentingnya identiti jenama yang "berani" untuk mengekalkan kesetiaan pengguna. Beliau berusaha keras untuk melindungi dan mempromosikan jenama "Maggi"nya.
Menjelang tahun 1900, Julius Maggi telah mendaftarkan cap dagang dan variasi namanya di pelbagai negara. Di Switzerland, beliau melindungi tidak kurang dari 18 variasi namanya - semua perkataan dari Magi hingga Magique yang mempunyai bunyi yang sama dengan namanya untuk mengelakkan sebarang usaha meniru jenamanya.
Pada tahun 1947, berikutan beberapa perubahan dalam pemilikan dan struktur korporat, syarikat induk Maggi bergabung dengan syarikat Nestlé untuk membentuk Nestlé-Alimentana S.A. atau lebih dikenali sebagai Nestlé S.A.
Pemilikan jenama Maggi oleh Nestle yang kedua-duanya syarikat dari Swiss merupakan satu lagi usaha strategik mengembangkan jenama Maggi memandangkan kedua-duanya mempunyai visi dan kepakaran dalam bidang industri makanan.
Kredit: