Orang Asia memang tak boleh hidup berjauhan dengan mi segera. Dah beratus jenis mi segera yang ada dalam pasaran. Daripada jenis biasa sampai ke jenis yang luar biasa pun ada. Semua orang suka makan mi segera sebab mudah, cepat dan sedap.
Kalau tonton drama Korea, bila sampai bahagian mereka makan mi segera mesti tiba-tiba kita pun terikut rasa lapar. Menyelerakan betul boleh hirup mi macam tu.
BESARKAN TEKS A- A+
Dari kecil lagi kita selalu dengar "Jangan makan maggi! Nanti botak!" ataupun "Jangan makan maggi, nanti boleh dapat kanser!" Sehingga ada segelintir persatuan dan orang-orang yang tak ada kerja yang sanggup buat cerita viral supaya boikot mi segera. Kalau nak boikot pun, bagilah fakta dan bukti saintifik sekali kan, barulah betul.
Mari kita bongkarkan apa lagi mitos berkaitan mi segera yang selalu didengar. Kami sertakan sekali fakta dan kajian yang telah dijalankan untuk membidas hujah-hujah kosong ini.
Mitos #1 : Mi segera disaluti wax (lilin) untuk mengelakkan ia daripada melekat
Menurut Nestle Malaysia, mi segera hanya diperbuat daripada tepung gandum, minyak isirung sawit dan garam. Bahan-bahan ini kemudian dibentuk menjadi doh, dileperkan sebelum dipotong menjadi untaian panjang. Mi ini kemudian dikukus sebentar sebelum dikeringkan dan digoreng dalam minyak yang banyak. Kemudian barulah ia dibungkus bersama bahan perasa. Tidak ada proses yang melibatkan lilin dalam pembuatannya.
Mitos #2 : Merendam atau merebus MSG dalam air panas boleh menyebabkan bahan perisa mi segera menjadi bertoksik.
Satu kajian yang dibuat oleh Makmal Neurobiologi Dow, di Oregon, Amerika Syarikatmenggunakan MSG mendapati kandungan dan struktur molekular MSG tidak bertindak balas apabila direbus dalam air mendidih. Ini menjadikan MSG sebagai suatu elemen yang stabil sebagai bahan makanan dan ia selamat untuk dimakan.
Mitos #3 : Mi segera merupakan makanan junk
Menurut Presiden Persatuan Pakar Diet Malaysia, Profesor Winnie Chee, rata-rata mi segera di Malaysia mempunyai berat 75 gram dengan purata 300-350 kalori. Jika kita memakan mi segera itu sahaja, kita hanya makan karbohidrat semata-mata. Ia sama sahaja seperti kita memakan roti dan nasi yang membekalkan tenaga.
Oleh sebab itu, kita sebenarnya perlu menambah sayuran dan protein seperti telur ke dalam mi segera supaya ia menjadi makanan yang lebih seimbang.
Berdasarkan nilai kalorinya, mi segera seeloknya diambil sebagai satu hidangan berat yang lengkap dan bukanlah sebagai snek.
Mitos #4 : Mi segera boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti
Seperti sumber karbohidrat yang lain, ia bergantung kepada berapa banyak dan berapa kerap anda makan. Sekiranya anda makan banyak, maka lebih mudahlah anda gemuk. Apatah lagi jika anda tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak bersenam.
Tidak kiralah anda makan nasi, roti atau mi segera, anda seharusnya bijak mengawal pengambilan kalori setiap hari dan cuba membakar lebihan kalori dengan membuat aktiviti fizikal.
Mitos #5 : MSG dalam mi segera boleh menyebabkan sakit otak, rambut botak dan kena penyakit kanser
Sehingga ke hari ini, masih belum ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan ini. Kandungan MSG hanyalah glutamat (88%) yang diambil dari sumber semula jadi, sodium dan air. USFDA, FASEB, WHO dan JECFA telah menyenaraikan MSG sebagai makanan yang selamat untuk diambil namun seperti makanan-makanan lain juga, ia perlulah diambil secara bersederhana.
Glutamat ini pula bukan sahaja terkandung dalam MSG malah boleh juga didapati daripada makanan lain seperti keju, tomato, kicap dan macam-macam lagi. Boleh kata setiap hari kita makan MSG. Kita je yang tak sedar.