Oleh pada 11 Jan 2022 kategori

Pada hari ini, bekas tanah jajahan Belanda di Indonesia yang dikenali sebagai Batavia sudah lagi tiada. Kini, hanya terdapat tinggalan Batavia di Jakarta yang menceritakan 1001 kisah keganasan yang mengerikan daripada penjajah.

Batavia ditubuhkan Belanda pada tahun 1619 dan menjadi pusat pemerintahan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda atau lebih dikenali sebagai VOC (Vereenigde Oost Indische Compagnie).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah penubuhan koloni Belanda di Jakarta ini penuh dengan sejarah hitam dan masih menjadi bualan penduduk di sana sehingga hari ini. Berikut adalah kisahnya.

Mengapa Belanda menawan Jakarta

Pada penghujung abad ke-16, golongan berkuasa di Belanda telah membuat keputusan bahawa mereka juga mahukan sebahagian daripada perdagangan rempah ratus ketika itu. Bagi memecah monopoli Portugis, Belanda telah menghantar satu ekspedisi ke tanah yang kaya dengan rempah ratus pada tahun 1595.

batavia

Ekspedisi itu berjaya pulang daripada kepulauan yang kini dikenali sebagai Indonesia dengan muatan yang penuh dengan rempah seperti asam jawa, cokmar, cengkih dan buah pala.

Belanda tahu bahawa mereka telah menemui "lombong emas" rempah ratus. Selepas beberapa tahun, mereka membentuk Syarikat Hindia Timur Belanda atau VOC yang sangat berpengaruh. VOC dikatakan membina lebih banyak kekayaan berbanding gabungan Apple, Google dan Facebook.

Walau bagaimanapun, rempah ratus tidaklah begitu mudah untuk diperolehi. Pihak Belanda terpaksa bertelagah dengan Portugis, Inggeris dan orang asli Indonesia untuk mendapatkannya.

Kehancuran Jayakarta dan kebangkitan Batavia

Pada tahun 1619, VOC bertekad untuk merebut kawalan rempah ratus dan menghantar satu pasukan besar yang diketuai oleh gabenor jeneral Jan Pieterszoon Coen untuk menyerbu kota Jayakarta (kini Jakarta).

jan pieterszoon coen

Jan Pieterszoon Coen

Coen dan orang-orangnya "memperkenalkan" diri mereka menggunakan kekerasan supaya dihormati dan ditakuti dalam masa yang singkat. Mereka telah memusnahkan Jayakarta dan membunuh ramai penduduk tempatan.

Dalam runtuhan kota itu, mereka menubuhkan Batavia yang dinamakan sempena suku Batavi ketika era Rom Jerman. Orang Belanda percaya bahawa mereka berasal dari keturunan Batavi.

Tidak lama kemudian, Batavia menjadi pusat pemerintahan Syarikat Hindia Timur Belanda. Malah, Batavia bertahan jauh lebih lama daripada VOC dan melepaskan kawalannya terhadap Jakarta secara rasmi pada tahun 1940-an.

Keganasan perdagangan rempah

Ketika Batavia dibangunkan semula, ia dibina berdasarkan penampilan bandar di Belanda. Para pekerja menggali terusan, membina Stadthuis (dewan bandaraya) dan gudang untuk menyimpan rempah ratus.

keganasan di batavia

Walau bagaimanapun, penjajah Belanda masih lagi orang asing di tanah asing. Jadi, mereka menggunakan cara ekstrem untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas penduduk tempatan.

Pada tahun 1621, Coen mengetuai serangan ke atas Pulau Banda kerana penduduknya memberikan buah pala kepada Inggeris. Coen dan pengikutnya membunuh hampir keseluruhan penduduk di pulau itu. Daripada 15,000 orang, hanya 1,000 orang sahaja yang terselamat.

Belanda bukan satu-satunya pendatang di Batavia. Beribu-ribu pendatang Cina juga hidup di situ dan ketegangan berlaku di antara kedua-dua pihak. Pada tahun 1740, ketegangan berada pada tahap kemuncak apabila Belanda membunuh 10,000 pendatang Cina.

Malah, kejatuhan Syarikat Hindia Timur Belanda pada tahun 1799 juga tidak dapat menghentikan keganasan dan kekejaman yang berlaku di Batavia.

Kisah silam hitam Jakarta

Pada hari ini, bayang-bayang pemerintahan kejam Syarikat Hindia Timur Belanda masih lagi berlegar di Kota Tua Jakarta yang dipenuhi dengan bangunan kolonial Belanda.

kota tua jakarta

Stadthuis di Kota Tua, Jakarta.

Di Kota Tua itu juga terdapat air pancut indah yang pernah digunakan sebagai "penjara air" di mana penjajah Belanda menggari tahanan di dalam air setinggi paha supaya mereka tidak boleh duduk tanpa lemas.

Sementara di Stadthuis atau dewan bandaraya Belanda pula terdapat penjara bawah tanah yang kotor dan bilik penyeksaan yang menakutkan. Di sana, ramai banduan dijatuhkan hukuman duduk di atas "kuda" kayu dengan bahagian belakang yang tajam sementara kedua-dua belah kaki banduan akan diikat dengan pemberat.

Secara keseluruhannya, penjajah Belanda menguasai Batavia selama 320 tahun. Wilayah itu kemudian dirampas oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Pada waktu itulah Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan mereka.

Pihak Jepun berundur pada tahun 1945 dan nama Batavia akhirnya kembali ditukar kepada Jakarta. Walau bagaimanapun, Belanda enggan mengiktiraf kemerdekaan Indonesia sehinggalah 1949.

Legasi koloni Belanda

Batavia yang dahulunya pernah menjadi tanah jajahan Belanda yang begitu kuat dan membanggakan, kini dilihat oleh rakyat Belanda sebagai satu peringatan yang memalukan dalam sejarah mereka.

tugu coen

Penduduk melakukan protes di hadapan tugu Coen di Hoorn

Ramai rakyat Netherlands meminta untuk menilai semula tokoh sejarah yang diangkat menjadi tokoh negara seperti Jan Pieterszoon Coen. Penduduk di bandar asal Coen di Hoorn malah memfailkan petisyen untuk membuang tugu Coen di sana.

Namun, majlis bandar Hoorn tetap dengan keputusan mereka untuk mengekalkan tugu Coen buat masa ini. Keputusan itu sebenarnya mengingatkan orang ramai tentang keganasan yang pernah dilakukan Coen dahulu.

Menurut sejarawan Gert Oostindie, ramai pegawai tertinggi Syarikat Hindia Timur Belanda yang terkenal kerana kekerasan dan kekejaman mereka tetapi mereka sering menegur Coen yang jauh lebih ekstrem lagi.

Sebahagian rakyat Belanda sedar bahawa kekayaan yang dinikmati mereka pada hari ini adalah melalui kekejaman dan pemerasan hasil bumi Jakarta oleh penjajah Belanda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)