Oleh pada 19 Feb 2023 kategori

Era penjajahan Belanda di Indonesia mempunyai impak besar, bukan saja mengubah masyarakat Indonesia bahkan kesannya dirasai masyarakat Belanda di Eropah sana.

Hasil percampuran dua masyarakat berbeza akibat penghijrahan secara dua hala, ramai waris berketurunan campuran Belanda dan Indonesia dapat ditemui. Salah satu bidang yang kelihatan jelas susur-galur ini, melibatkan pemain bola sepak di Eropah, khususnya di Belanda dan Belgium.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pemain bola sepak terkenal yang mempunyai identiti sebegini, membesar bukan saja sebagai warga Eropah yang berjaya tetapi mewarisi darah, budaya dan adat Asia dari jiran kita Indonesia.

1. Robin Van Persie

robin van persie bukan keturunan indonesia

Robin Van Persie mencipta nama sebagai pemain berbakat tetapi kurang berdisiplin bersama kelab Feyenoord di Belanda, sebelum naik menjadi penyerang utama kelab Arsenal dan tonggak utama Manchester United yang membawa kepada banyak piala.

Prestasi memuncak sebagai penjaring gol handalan membolehkan Van Persie menjadi tonggak pasukan kebangsaan Belanda untuk beberapa tahun, sebelum memilih untuk bersara. Kini dia bertugas sebagai jurulatih dengan bekas kelabnya Feyenoord.

Sebetulnya, beliau bukanlah berdarah Indonesia walaupun digembar-gemburkan warga Indonesia sebelum ini. Ye lah, dia pemain paling berprofil tinggi dalam senarai ini mestilah ramai yang nak ada berkait dengan dia.

Banyak pihak berkongsikan kisah bahawa Van Persie mempunyai nenek yang menetap di Surabaya, sehinggakan ayahnya Robert Van Persie terpaksa melakukan kenyataan pada tahun 2014 menafikan maklumat tersebut.

Van Persie 100% orang Belanda!Tetapi moyangnya merupakan pegawai tentera Belanda, yang telah membawa keluarga termasuklah neneknya menetap di Indonesia, menjadi punca kenapa ramai rakyat Indonesia claim Van Persie mempunyai darah Indonesia dalam badannya.

Salah tanggapan ini masih berlangsung sehingga ke hari ini walaupun sudah hampir satu dekad penafian tentangnya dibuat.

2. Radja Nainggolan

radja nainggolan berdarah indonesia

Marilah kita beralih kepada pemain handalan di Eropah yang benar-benar berdarah Indonesia. Salah seorang pemain berprofil tinggi yang terkenal adalah Radja Nainggolan. Nama dia pun 'Raja'.

Memegang kewargenegaraan Belgium, Nainggolan mencipta nama sebagai tonggak utama kelab Inter Milan di Itali serta perancang tengah Belgium untuk tempoh 8 tahun.

Masih aktif bermain, Nainggolan merupakan anak kepada ibu dari Belgium dan ayahnya Marianus merupakan warga Indonesia berketurunan Batak dari Sumatera. Status itu membolehkan Nainggolan memilih sama ada mewakili Indonesia atau Belgium sebagai pemain kebangsaan.

Walaupun bergelar bintang, Nainggolan tidak dapat lari kontroversi sepanjang kariernya akibat ketagihan merokok. Pada penghujung tahun 2022, dia ditamatkan kontrak bersama kelab Antwerp di Belgium, kerana merokok (vape) di bangku simpanan semasa perlawanan liga sedang berlangsung.

Sepanjang karier , memang sudah diketahui dia tidak dapat meninggalkan tabiat buruk itu walaupun bergelar pemain tonggak. Tetapi merokok di bangku simpanan, memang layak dikatakan agak melampau.

Apatah lagi dia sedap merokok bila pasukannya tewas 3-0 dalam perlawanan itu. 

3. Giovanni van Bronchkhorst

giovanni van bronchkhorst indonesia keturunan

Jika kita bandingkan nama Giovanni van Bronchkhorst dengan perancang tengah pasukan Belanda yang lain, nama beliau mungkin mempunyai profil lebih rendah.

Namun van Bronchkhorst mempunyai reputasi yang baik di mana saja beliau bermain; terkenal sebagai pemain yang rajin, berdedikasi dan serius dalam karier beliau.

Mentaliti itu membolehkan van Bronchkhorst menjadi antara pengurus muda berprofil tinggi selepas persaraannya, membawa kepada kerjaya bersama kelab Feyenoord di Belanda di mana dia beroleh banyak kejuaraan serta Glasgow Rangers di Scotland.

Uniknya, van Bronchkhorst merupakan generasi ketiga kumpulan pendatang dari Indonesia yang hadir di Belanda.

Perang saudara di antara pemberontak Maluku menentang kerajaan Indonesia yang baru ditubuhkan, berakhir dengan kerajaan berjaya mendesak lawan, memberikan mereka pilihan sama ada setuju bergelar warganegara Indonesia atau dihantar 'pulang' ke Belanda.

Datuk dan neneknya menjadi antara penumpang 12 kapal yang memuatkan 12,500 orang dari Maluku, berani berhijrah ke negara baru mencuba nasib di sana. Setibanya mereka di sana, komuniti itu ditempatkan di The Hague, Belanda.

Dari komuniti pendatang inilah ayahnya Victor Van Bronckhorst, seorang individu berketurunan Indo-Belanda dan ibunya, Fransien Sapulette, berketurunan Maluku bertemu. 

4. Johnny Heitinga

john heitinga pewaris darah indo

Untuk dua pemain terakhir dalam senarai ini, kita akan membincangkan berkenaan dua bintang Belanda yang terkenal kerana reputasi sebagai pemain yang paling agresif serta kasar atas padang. 

Lahir pada tahun 1983, identiti ke-Indonesiaan dalam keluarga John Gijsbert Alan Heitinga sangat kuat kerana datuknya Gijsbert Johannes Heitinga berasal dari Pulau Belitung, Sumatera atau dikenali sebagai Billiton di kalangan komuniti Belanda di sana.

Anak kepada Gijsbert dan ayah kepada Johnny, Robert Heitinga juga lahir di Jakarta, Indonesia bersama 3 lagi adik beradiknya. Pada tahun 1959, Gijsbert membawa keluarganya ke Belanda bagi memulakan hidup baru. Di sana Johnny dilahirkan.

Heitinga terkenal sebagai pemain pertahanan tengah kental serta sukar berkonfrontasi atas padang. Walaupun terkenal dengan reputasi itu, stigma tersebut tidak menghalang Heitinga daripada mempunyai karier panjang.

Dia berkhidmat bersama kelab besar seperti Ajax Amsterdam, Athletico Madrid dan Everton, bermain dengan pasukan kebangsaan Belanda hampir 10 tahun dalam 87 penampilan serta dipanggil menyertai Piala Eropah 2 kali dan Piala Dunia 2 kali.

5. Nigel de Jong 

de jong anak keturunan indonesia

Kami akhiri artikel ini dengan memaparkan sejarah seorang lagi pemain kontroversi, bekas pemain tengah Belanda yang membuatkan ramai meradang, iaitu Nigel de Jong.

Namanya menjadi sebutan akibat corak permainan kerasnya, yang sudah beberapa kali mengakibatkan pemain lain mengalami kecederaan.  Sehingga de Jong bergelar 'Pemusnah' atau The Destroyer di kalangan pemain bola sepak profesional.

Dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010 yang menyaksikan 'trio main kasar' Belanda, iaitu Marc Van Bommel, Johnny Heitinga dan Nigel de Jong melakukan kekasaran demi kekasaran ke atas pemain Sepanyol, satu insiden melibatkan de Jong menjadi sebutan ramai.

Kami yakin peminat bola sepak takkan lupa tendangan ala kung-fu  beliau dalam perlawanan terhadap pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso. Aksi itu bagaimanapun tidak membawa kepada kad merah, sebaliknya dia hanya dihukum kad kuning.

Kini bergelar pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Belanda, latar belakang de Jong unik kerana latar belakang beliau terhasil daripada gerakan kolonial Belanda yang dimulakan beberapa ratus tahun dahulu. 

Ibu beliau Marja Woldberg merupakan seorang wanita beretnik Belanda yang lahir di bandar Ambon, Kepulauan Maluku beberapa tahun sebelum keluarga ibunya kembali ke Belanda, selepas kemerdekaan Indonesia. Ayahnya Jerry de Jong, adalah seorang warga Suriname yang lahir semasa negaranya masih di bawah jajahan Belanda.

Selepas Suriname mencapai kemerdekaan pada tahun 1975, Jerry berhijrah ke Belanda dan memulakan keluarga di sana, bertemu dengan Marja. Pasangan itu dikurniakan anak tunggal yang dinamakan Nigel pada tahun 1984.

Mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang pemain kebangsaan Belanda, Nigel terpilih menyertai akademi elit Ajax Amsterdam, yang membawa dia menjadi antara tonggak kelab tersebut.

Selepas Belanda, Nigel de Jong berhijrah ke England bersama kelab Manchester City dan berkelana ke Itali bersama AC Milan, menjadi perisai utama kelab dan pasukan kebangsaan Belanda yang ditakuti ramai pemain lain kerana tak ada orang suka dicederakan 'Sang Pemusnah.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)