produk pertama steve jobs dan wozniak yang terjual

Tahukah anda apakah produk pertama yang dijual oleh Steve Jobs?

Pada tahun 1972, ketika itu Jobs dan rakan baik beliau, Steve Wozniak masih muda, mereka membaca artikel "The Secrets of the Little Blue Box" berkenaan idea seorang penggodam telefon bernama John Draper di dalam majalah Esquire. John Draper seorang legenda dunia komputer zaman lampau, pencipta asal sejenis peranti yang membolehkan panggilan jarak jauh melalui telefon dilakukan secara percuma.

BESARKAN TEKS     A-  A+

paul draper

Jobs dan Wozniak cukup tertarik dengan idea tersebut membuatkan mereka ke perpustakaan mencari bagaimana peranti Blue Box tersebut dicipta. Pada satu malam, ketika sedang berada di perpustakaan Standford Linear Accelerator Centre, mereka berdua bertemu dengan sebuah buku terbitan AT&T yang menerangkan segala-galanya.

Menggunakan panduan yang terdapat di dalam buku rujukan tersebut, Steve Wozniak pun mula mereka semula peranti sama. Perancangan mereka berdua, selepas selesai merekacipta peranti Blue-Box mereka sendiri, Steve Jobs ditugaskan untuk memasarkannya, namun sebelum kita masuk ke situ, mari kita belajar apa itu 'Blue Box.'

jobs wozniak berdiri sambil sengih

Blue Box berfungsi dengan mencipta nada ton yang mampu menipu telefon ketika melakukan panggilan jarak jauh. Syarikat AT&T pada masa tersebut menggunakan sambungan berbentuk digital untuk menghubungkan talian yang sedang bersambung. Masalahnya, gelombang komputer yang sedang berhubung dan memproses panggilan jarak jauh berkongsi gelombang yang sama dengan suara yang dihantar semasa panggilan dilakukan.

Blue Box bertugas untuk meniru signal yang dihasilkan oleh komputer AT&T apabila sesuatu panggilan dibuat dan oleh sebab itulah, semua panggilan yang dibuat melalui Blue Box percuma, kerana AT&T menyangkakan sambungan yang berlaku hanyalah antara komputer ke komputer dan tiada panggilan dilakukan.

Semenjak tahun 1960-an lagi Blue Box sudahpun digunakan bagi melakukan proses dail dalam panggilan jarak jauh. Wujud satu lagi peranti yang dinamakan Black Box, yang membolehkan panggilan terus masuk kepada peranti Black Box tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Wozniak menghabiskan masanya dengan membina Blue Box ciptaan sendiri sementara Jobs pula pergi menjaja Blue Box pada sesiapa yang berminat. Jobs pada mulanya menjual kepada kawan-kawannya, dengan menjanjikan kemudahan untuk menelefon sesiapa saja di dunia.

Kos pembuatan mereka pada ketika itu adalah sekitar $40, jadi Jobs menjualnya pada harga $150 setiap unit. Dia berjaya menjual beberapa unit Blue Box dengan keuntungan hampir $6000. Untuk perusahaan kecil dengan dua orang pekerja, itu adalah sesuatu yang cukup besar.

steve jobs wozniak main telefon

Bagaimanapun, Wozniak dan Job mengalami satu insiden di mana seorang lelaki yang disyaki mahu membeli Blue Box, mengacukan pistol pada mereka berdua. Mereka bernasib baik tidak mengalami insiden buruk. Menyangkakan insiden itu petanda buruk akibat kegiatan mereka berdua menjual Blue Box, Jobs dan Wozniak akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan operasi membina dan mengedar Blue Box.

Menurut Jobs dan Wozniak, operasi haram yang mereka jalankan itulah sebenarnya yang menjadi batu asas kepada kerjasama mereka dalam menubuhkan Apple. Andai mereka tidak mengetahui tentang Blue Box, sudah pasti kerjasama beliau dan Wozniak tidak akan kekal lama.

blue boz penggunaan

Banyak perkara yang mereka belajar tentang pembuatan peranti dan penjualannya. Hanya dua anak muda, belajar mencipta sesuatu melalui buku, hasil idea yang mereka temui dalam majalah dan pada akhirnya mereka berjaya mengawal infrastruktur yang mempunyai nilai berbillion dollar di seluruh dunia. Kos $40, jual $150 - memang betul-betul Apple.

Rujukan

Computer Museum History




Hakcipta iluminasi.com (2017)