Kita sering melihat robot AI (artificial intelligence) menguasai dunia dalam filem dan rancangan TV. Perkara menakutkan ini tidak mustahil suatu hari nanti apabila teknologi semakin maju.

Kini, jurutera robotik berlumba-lumba menyempurnakan robot yang kelihatan realistik dengan menghasilkan kulit silikon yang menyamai kulit manusia. Robot-robot ini juga boleh menunjukkan ekspresi tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun robot dan AI masih belum menguasai dunia, beberapa model yang dihasilkan kelihatan realistik dan ia amat menakutkan. Berikut adalah beberapa robot yang mungkin akan mengejutkan anda.

1. Ai-Da

Baru-baru ini, Ai-Da menjadi tajuk berita apabila ia tidak dibenarkan menaiki pesawat untuk satu pameran di Mesir. Walaupun pihak berkuasa tahu bahawa Ai-Da adalah robot tetapi mereka mengesyakinya sebagai robot perisikan.

Sebenarnya, Ai-Da dimiliki oleh Aidan Meller, seorang peniaga barangan seni di England. Ai-Da dicipta sebagai robot seni yang pandai melukis, bukannya untuk menjadi perisik.

Ai-Da diprogramkan dengan begitu canggih sehinga ia dapat memproses apa sahaja yang ingan diukir, dilukis atau diwarnakan. Ai-Da juga dilengkapi dengan suara wanita sebenar. Ai-Da dikenali sebagai AI pertama yang mampu melukis dirinya sendiri.

2. Sophia

Sophia menjadi tular dalam dunia robotik apabila diperkenalkan pada tahun 2016. Ia dihasilkan oleh Hanson Robotics dan mempunyai respon serta ekspresi muka yang mengagumkan. Sophia juga merupakan robot pertama yang mempunyai kerakyatan.

Cara ia menggerakkan kening dan kepalanya ketika bercakap kelihatan seakan-akan manusia sebenar. Cuma, bahagian belakang kepalanya sahaja yang membuatkan Sophia kelihatan seperti robot. Jika dikenakan dengan rambut palsu, Sophia pasti akan mengelirukan ramai orang.

Kebolehannya berbual dengan manusia juga membuatkan robot ini dijemput ke beberapa rancangan televisyen untuk ditemuramah. Baru-baru ini, penciptanya telah "mengajarkan" pula kepada Sophia kemahiran untuk melukis.

3. Geminoid HI-4

Geminoid HI-4 adalah AI realistik generasi keempat yang dihasilkan oleh Hiroshi Ishiguro, seorang profesor di University of Osaka yang juga merupakan ketua Makmal Telekomunikasi Maju di Jepun.

Robot yang menyerupai penciptanya ini adalah antara andriod termaju dalam bidang robotik dan menelan belanja sebanyak RM 5.4 juta untuk dihasilkan. Geminoid HI-4 dihasilkan menggunakan acuan silikon Ishiguro dan dikenakan dengan rambut manusia sebenar.

Selain Geminoid HI-4, Ishiguro menghasilkan pelbagai jenis robot dan AI lagi. Bukan Ishiguro sahaja yang menghasilkan robot yang kelihatan mirip dengannya tetapi seorang professor Denmark bernama Henrik Scharfe juga pernah menghasilkan robot yang mirip dengannya bernama Geminoid DK.

4. Nadine

Nadine adalah robot yang yang dibangunkan oleh Professor Nadia Magnenat Thalmann di Singapura. Nadine dikenali dalam dunia robot sebagai "robot sosial". Ia mampu berbual, mengingati perbualan dan menjawab soalan dalam beberapa bahasa.

Nadine juga mampu menunjukkan reaksi melalui gerakan dan mimik muka, bergantung kepada topik yang dibualkan. Seperti kebanyakan AI, Nadine juga dihasilkan mirip seperti penciptanya iaitu Profesor Nadia.

Robot ini mengingati orang yang pernah berbual dengannya dan topik apa yang pernah dibincangkan. Nadine pernah berinteraksi dengan lebih 100,000 pengunjung Muzium ArtScience dan kini "bekerja" sebagai penyambut tetamu syarikat insuran AIA di Singapura.

5. PETMAN

Robot yang dilatih secara ketenteraan mungkin menjadi idea yang sangat menakutkan. Namun, kebanyakan teknologi canggih pasti akan diserapkan dalam ketenteraan sesebuah kerajaan.

Salah satunya ialah PETMAN yang dibangunkan oleh Boston Dynamics. Walaupun ia bukannya dilatih untuk berperang tetapi ia mampu bergerak seperti seorang tentera seperti mencangkung, melompat dan melakukan tekan tubi.

Tujuan PETMAN dicipta adalah untuk menguji ketahanan pakaian dan peralatan tentera dalam keadaan tertentu. Setakat ini PETMAN tidak dipasangkan kulit silikon seperti robot lain tetapi dalam pakaian tentera, anda sukar untuk membezakannya. 

Boston Dynamics menambah baik kekurangan PETMAN pada robot terbaru mereka, Atlas. Mereka juga mempunyai beberapa robot lain yang mampu melakukan gerakan yang anda tidak sangkakan.

6. Grace

Grace merupakan "adik" kepada robot selebriti terkenal, Sophia. Grace juga dihasilkan oleh syarikat sama yang menghasilkan Sophia iaitu Hanson Robotics.

Robot ini dihasilkan sebagai robot jururawat bagi sasaran pasaran penjagaan kesihatan. Ia direka untuk berinteraksi dengan golongan warga emas dan mereka yang diasingkan kerana wabak COVID-19.

Grace mampu mengesan suhu badan pesakit dan mendiagnosis pesakit secara ringkas melalui peralatan yang dipasang padanya. Ciptaan robot ini diharap dapat membantu mengurangkan beban doktor dan melancarkan lagi operasi perubatan pada masa akan datang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)