Kita mulakan artikel ini dengan satu pertanyaan mudah - ejaan mana yang betul; jerebu atau jerubu? Sekiranya anda melakukan carian di internet, masih banyak kekeliruan melibatkan perkataan ini dilakukan ahli masyarakat kita.
Ejaan yang betul adalah 'jerebu,' tetapi kesilapan dalam penggunaan istilah 'jerubu' juga masih diamalkan dengan beberapa jabatan kerajaan pun turut melakukan kesilapan serupa. Musim jerebu seolah-olah satu jadi satu kemestian akan berlaku di negara kita - dengan acara saling tuduh-menuduh di antara negara kita dan Indonesia akan berlaku menghangatkan suasana.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana musim jerebu ini bermula sebenarnya? Adakah fenomena ini sesuatu yang baru atau sebenarnya sudah berlangsung agak lama? Jom kita telusuri tentang sejarah bencana jerebu yang kerap mengganggu kehidupan kita.
Sejarah awal bencana jerebu
Sejak era 1960-an lagi sebenarnya bencana jerebu disebabkan oleh hasil tangan manusia dilaporkan berlaku, namun hanya bermula pada era 1980-an kajian saintifik untuk mengenalpasti insiden itu lebih jelas dimulakan. Pada zaman tersebut, satu insiden berlaku apabila sebuah pesawat yang sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur dari London, gagal mengenalpasti lokasinya sehingga terpaksa mendarat di Singapura disebabkan oleh kabus/asap yang terlalu tebal.
Rekod-rekod berkenaan jerebu berlaku dalam tempoh beberapa kali daripada tahun 1982 sehinggalah tahun 1998, dengan bulan Ogos hingga September menjadi detik di mana jerebu akan melanda negara kita. Pada era inilah dapat dikenalpasti bahawa jerebu yang ada, datangnya daripada proses pembakaran tidak terkawal dalam skala besar-besaran melibatkan kawasan hutan di Sumatera dan Kalimantan.
Pada awalnya, jerebu hanya berlaku kurang daripada sebulan lamanya namun tahun 1991 disebutkan sebagai titik permulaan bencana jerebu menjadi semakin teruk, dengan asap menyelubungi ruang udara kita daripada bulan Ogos sehinggalah bulan September. Dua insiden berikutanya, pada tahun 1993 dan 1994 menunjukkan jerebu berlaku daripada bulan Ogos sehingga bulan Oktober; durasi ini akhirnya seolah menjadi kebiasaan yang perlu dilalui rakyat Malaysia, Singapura dan Brunei.
Kerajaan Indonesia pula dilihat tidak mempunyai regulasi atau kuasa yang mencukupi dalam mengekang aktiviti pembakaran hutan - walaupun mendapat tekanan jiran serantau mereka. Situasi diburukkan lagi dengan musim kemarau yang berlaku daripada bulan Jun hingga September menyebabkan api mudah merebak ke kawasan-kawasan; menyukarkan pembakaran dikawal.
Siapa salah - Indonesia, Malaysia atau Singapura?
Apa punca sebenar bencana jerebu ini dan kenapa pembakaran terbuka dilakukan sewenang-wenangnya? Puncanya adalah sangat mudah - pada ketika musim kering atau musim kemarau, waktu ini adalah waktu yang paling sesuai bagi mengosongkan tanah bagi penanaman semula.
Penguasaha akan menggunakan teknik tebang dan bakar bagi melupuskan sisa-sisa tanaman yang perlu dihapuskan; namun kebiasaannya pembakaran yang dilakukan dibuat tanpa pengawasan yang sepatutnya menyebabkan api sangat mudah merebak.
Situasi ini berlanjutan sekian lama kerana pengusaha di Indonesia khasnya mengambil tindakan sedemikian rupa, bagi membolehkan penanaman semula kelapa sawit dilakukan secepat mungkin. Bagaimanapun, ekoran daripada proses tebang dan bakar berulang kali, tanah yang menjadi lokasi kawasan pembakaran akan mengalami masalah kehilangan lembapan.
Daripada tanah yang semakin kering ini, risiko untuk tanah sedia ada lebih mudah terbakar diburukkan lagi setiap kali kawasan-kawasan penanaman perlu dilapangkan.
Walaupun begitu, menyalahkan masyarakat Indonesia saja agak tidak adil walaupun mereka adalah penyumbang terbesar masalah ini. Sebanyak 627 kawasan pembakaran atau titik panas dikesan di seluruh kawasan Kalimantan sahaja tetapi rakyat Malaysia pun turut sama menyumbang 10 kawasan pembakaran di sekitar kawasan Sabah dan Sarawak, dipercayai dengan tujuan serupa.
Masalah serantau yang sukar untuk diatasi
Masalah jerebu yang berpunca dari Indonesia ini sebenarnya sudahpun bermula pada era 1930-an namun mula menjadi lebih besar, disebabkan oleh permintaan bahan pulpa melibatkan penguasaha dari Jepun dan China yang terlibat dalam pembuatan kertas, sekitar tahun 1960-an. Melihat peluang membesarkan ekonomi yang ada, kerajaan Indonesia memperkenalkan beberapa akta bagi menggiatkan aktiviti penanaman dalam menambahkan jumlah eksport memenuhi permintaan yang ada.
Konsesi-konsesi pembalakan dibenarkan beroperasi dalam membuka kawasan-kawasan penanaman baru, mengorbankan kawasan hutan yang ada untuk dijadikan kawasan tanaman balak. Langkah ini walaupun dikritik, membantu Indonesia meningkatkan jumlah eksport balak mereka serta menambahkan sumber ekonomi.
Bagaimanapun, akibat kesan buruk pembalakan yang dijalankan - akhirnya kerajaan Indonesia mengambil langkah mengurangkan kebergantungan ekonomi mereka kepada hasil balak pada tahun 1980 sebelum memperkenalkan larangan penuh pada tahun 1985, dibeberapa kawasan tertentu.
Kawasan-kawasan pembalakan di sekitar pulau Jawa yang sebelum ini aktif, mula menyebabkan jumlah penduduk yang tinggal di situ dalam keadaan padat memerlukan sumber pendapatan yang baru. Bagi membantu memulihkan semula kawasan yang terjejas, kempen yang dinamakan sebagai 'program perpindahan setempat' dilakukan, melibatkan penduduk Pulau Jawa ke kawasan baru di Kalimantan dan Sumatera.
Malangnya kerajaan Indonesia gagal meramal satu perkara yang akan berlaku.
Perpindahan membuka penempatan dan peluang ekonomi baru
Kemasukan beramai-ramai penduduk asal Pulau Jawa ke kawasan sekitar Kalimantan dan Sumatera memerlukan pembukaan kawasan-kawasan baru. Ini bermakna proses pencerahan hutan perlu dilakukan dalam skala besar bagi membolehkan kawasan penempatan baru dibuka.
Penduduk yang baru dipindahkan pula tidak ada jalan lain dalam mempercepatkan proses pembukaan penempatan, selain daripada mengamalkan teknik tebang dan bakar yang tidak memerlukan perbelanjaan yang besar - didorong oleh status pendapatan mereka yang sangat rendah.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku pada era ini masih boleh dikatakan kecil kerana banyak berlaku disebabkan oleh situasi tergesa-gesa penduduk yang mahu mempercepatkan proses perpindahan mereka.
Selepas lebih 5 tahun larangan penanaman balak dibeberapa kawasan diperkenalkan, ini telah menyebabkan Indonesia gagal memenuhi permintaan antarabangsa disebabkan oleh bekalan kayu yang menurun. Pada tahun 1990, kerajaan Indonesia berhasrat mahu membesarkan lagi industri minyak sawit di negara mereka yang pada ketika itu berada pada tahap 7% penyumbang kepada ekonomi negara.
Jadi kerajaan Indoensia memperkenalkan beberapa dasar baru memperkukuhkan industri sawit mereka, untuk menjadi salah satu cabang utama - menurunkan kadar faedah pinjaman kepada pengusaha sawit, meminda beberapa undang-undang, membuka lebih banyak kawasan penanaman dan yang lebih utama, menjalinkan hubungan dengan negara kita dalam memajukan lagi industri sawit.
Hasil daripada perubahan untuk mengutamakan pengeluaran minyak sawit ini, setiap tahun sejak tahun 1996 Indonesia kehilangan 2 juta hektar kawasan hutan yang diteroka bagi membolehkan kawasan penanaman sawit baru dibuka.
Perkara ini dirumitkan lagi dengan situasi yang perlu diteliti kerajaan Indonesia apabila melibatkan masalah jerebu ini. Ini kerana kegiatan sawit mereka, walaupun dilakukan di negara sendiri serta menggunakan kepakaran tempatan - sebenarnya bukan dimiliki oleh warga Indonesia. Pada tahun 2013, dilaporkan bahawa industri sawit yang menjadi punca terbesar masalah jerebu yang kerap melanda negara kita walaupun berpunca daripada Indonesia - sebenarnya melibatkan syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura.
Hampir dua per tiga syarikat yang mengendalikan operasi penanaman dan pembakaran ladang-ladang sawit di Indonesia, khasnya di Sumatera dan Kalimantan dimiliki oleh rakyat Malaysia dan Singapura; dengan jumlah pelaburan melebihi RM3.3 billion keseluruhan.
Bolehkah disimpulkan di sini bahawa masalah jerebu yang berlaku, sebenarnya berpunca daripada kegagalan regulasi kerajaan Indonesia yang perlu bergantung dengan kegiatan penanaman sawit, serta syarikat-syarikat Malaysia dan Singapura yang tidak mempedulikan kesan kegiatan mereka kepada masyarakat di sekeliling mereka?
Rujukan