Masalah jerebu memang mampu membuatkan seseorang merasa tidak selesa. Penulis sendiri ada masanya merasakan seolah-olah rasa menyucuk pada bahagian hidung dan mata berlaku, apabila berada di tempat terbuka.

Setiap kali tibanya musim jerebu, aktiviti penjualan topeng muka akan mula rancak dan salah satu pilihan paling popular untuk digunakan sebagai topeng muka, adalah topeng muka pembedahan atau 'surgical mask.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, penulis ingin menjelaskan di sini - topeng muka pembedahan sebenarnya langsung tidak sesuai untuk digunakan semasa musim jerebu. Ini kerana rekaan topeng muka pembedahan mempunyai banyak kelemahan yang menjadikannya kurang sesuai berbanding topeng muka sepatutnya, iaitu topeng muka N95. Mari kita lihat perbezaannya.

Mitos penggunaan topeng muka pembedahan

jabatan kerajaan bekal topeng bedah

Memang ramai yang menggunakan topeng ini semasa jerebu dan perkara ini berulang setiap kali tibanya musim yang tidak diingini ini. Salah satu sebab mengapa topeng muka pembedahan digunakan adalah kerana harganya yang tersangat murah, berbanding topeng N95.

Bagaimanapun, topeng muka pembedahan mempunyai fungsi yang berbeza dengan topeng N95, kerana topeng muka pembedahan direka untuk menghalang cecair keluar daripada rongga wajah seperti hidung, mata dan mulut bukan untuk menapis kemasukan udara ke dalam rongga hidung.

Topeng muka pembedahan tidak mampu menghalang kemasukan partikel-partikel halus ke dalam hidung anda, termasuklah bakteria dan virus. Oleh sebab itulah ketika seseorang menghidap penyakit seperti selesema atau batuk-batuk, dia dinasihatkan untuk memakai topeng muka pembedahan bagi mengelakkan bendalir dari badannya tersebar ke udara.

topeng muka pembedahan yang useless

Selain itu rekaannya yang agak longgar, langsung tidak menghalang kemasukan udara di bahagian tepi wajah - jadi pemakaiannya walaupun mungkin menyedapkan hati anda, sebenarnya tidak banyak membantu melindungi anda daripada kesan jerebu.

Ada yang kata lebih baik ada, daripada tak ada. Bukti sudah menunjukkan, ada atau tak ada - sama sahaja kesannya apabila menggunakan topeng muka pembedahan ini pada musim jerebu.

Memahami apa itu topeng muka N95

topeng muka n95

Salah satu istilah paling popular setiap kali topeng muka disebut semasa musim jerebu, adalah N95. Jangan salah anggap pula istilah ini merujuk kepada sebuah model telefon popular jenama Nokia iaitu Nokia N95. N95 dalam konteks ini, merujuk kepada sejenis topeng respirator yang fungsinya adalah menapis udara yang masuk ketika kita bernafas.

Topeng muka pembedahan bukanlah sejenis alat respirator, kerana respirator perlu mempunyai fungsi menapis udara masuk, bukan udara keluar. Sebuah respirator yang baik akan mampu menghalang hidung daripada menyedut habuk, asap, gas dan bau kurang menyenangkan apabila kita menggunakannya.

Wujud dua jenis respirator dengan tingkat tapisan yang berbeza-beza, respirator jenis pakai buang dan respirator jenis guna semula. Penapis yang ada diperbuat daripada fiber halus yang mempunyai tahap keporosan berbeza, mengikut jenis.

Tahap keporosan inilah yang akan menentukan gred topeng muka tersebut dengan gred terendah, adalah gred 95. Mari kita belajar apa itu gred topeng muka pula.

Memahami gred topeng muka yang ada

topeng muka n95 yang baik jenama

Walaupun topeng muka N95 menjadi topeng muka paling kerap disebutkan, wujud beberapa gred berbeza dalam mengkategorikan jenis-jenis topeng muka yang ada.

Kita biasa mendengar gred N, tetapi untuk banyak kegunaan lain juga ada gred R dan juga gred P. Tiga gred yang berbeza ini diberikan bergantung kepada tahap rintangan penapis yang dipakai terhadap bahan seperti minyak.

Respirator jenis N bermaksud penapis yang ada tidak mempunyai sebarang rintangan terhadap sebarang jenis minyak. R pula mewakili penapis yang mampu menapis partikel minyak tetapi tidak sepenuhnya, sementara P pula bermakna penapis yang digunakan mampu bersifat kalis minyak.

Oleh kerana masalah jerebu merupakan masalah berkaitan kualiti udara, kita tidaklah memerlukan penapis bergred R atau P, cukup dengan penapis gred N sahaja melainkan kita memang kerap berada dalam situasi di mana udara diselubungi minyak, seperti mereka yang bekerja dalam bidang kejuruteraan kimia sebagai contoh.

Apa pula angka 95 yang diletakkan?

Untuk memahami apakah angka yang diletakkan disebelah huruf N bagi mewakili setiap topeng respiratori yang ada, angka tersebut menandakan tahap kecekapan topeng muka tersebut.

Untuk topeng muka N95, ini bermakna topeng tersebut mampu menapis udara yang tidak berminyak dan mampu memerangkap 95 daripada 100 partikel yang masuk. Sekiranya topeng itu jenis N97, sama seperti 95 tadi ini menunjukkan topeng itu berupaya menahan 97 daripada 100 partikel berterbangan.

Tahap keupayaan paling tinggi adalah 100 di mana penapis mampu memerangkap 99.7% partikel udara daripada masuk ke dalam hidung. Sebuah topeng atau penapis yang mempunyai tahap kecekapan seperti ini seakan-akan mempunyai tahap kecekapan terbaik, setanding dengan jenis-jenis penapis berkategori HEPA atau 'High Efficiency Particulate Air'.

beza topeng muka jerebu n95 dengan topeng bedah

Hanya ada tiga gred saja layak digunakan sebagai respirator, dengan gred 95 dianggap paling rendah dan 100 diletak sebagai paling tinggi. Jadi janganlah terkejut pula sekiranya anda ditawarkan untuk membeli topeng muka N97 atau R100 atau P95 semasa musim jerebu ini. Kesemua topeng respirator yang ada memang mampu membantu dalam cuaca buruk sebegini.

Satu perkara yang menjadi penghalang adalah harganya. Untuk 20 keping respirator N95 yang baik, harganya adalah sekitar RM40 ke RM50 sekotak - jauh berbeza dengan harga topeng muka pembedahan yang dijual jauh lebih murah.

Kami sudah membentangkan kepada anda, apa yang kami rasakan anda perlu tahu. Tepuk dada tanya poket. Jangan tepuk dada, sakit dada cukuplah.

Rujukan

N95 Respirators and Surgical Masks

Ancillary Respirator Information




Hakcipta iluminasi.com (2017)