Oleh pada 04 Sep 2019 kategori

Tamadun manusia telah mengalami banyak turun naik nasib, dengan beberapa era dianggap era paling mencabar bagi manusia. Bagaimanapun, menurut pengkaji sejarah Prof. Michael MicCormick daripada Universiti Harvard- tahun 536 merupakan tahun yang layak dianggap sebagai tahun paling mencabar buat manusia.

Walaupun banyak pendapat mengatakan era 1918 apabila wabak menyebabkan kematian lebih 50 juta orang atau tahun 1349 semasa separuh penduduk Eropah lenyap akibat wabak Black Death, sering dianggap sebagai era paling teruk; beliau berpendapat manusia yang hidup pada tahun 536 menghadapi cabaran yang jauh lebih besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini kerana berdasarkan kajian, 536 merupakan tahun di mana bumi ditutupi kabus misteri yang menyebabkan langit gelap selama 18 bulan - mengubah kehidupan orang ramai pada ketika itu.

Era kegelapan atau 'The Dark Ages'

letusan gunung berapi a4c4

Kabus gelap itu menyelebungi Eropah, kawasan Timur Tengah serta Asia menyebabkan kegelapan berterusan selama 18 bulan yang digelarkan sebagai The Dark Ages atau Zaman Kegelapan.

Cahaya suria ketika itu boleh diibaratkan sama seperti cahaya bulan yang dapat kita lihat setiap malam - berdasarkan catatan sejarahwan Procopius yang hidup ketika fenomena itu.

Kegelapan itu menyebabkan berlakunya penurunan suhu mengakibatkan musim sejuk paling panjang pernah berlaku dalam tempoh 2300 tahun. Salji yang turun menyebabkan tumbuhan yang ditanam mati dan menimbulkan masalah kebuluran di kalangan orang ramai.

Memburukkan lagi keadaan, sekitar tahun 541 wabak bubonik menyerang Mesir serta kawasan-kawasan jajahan Rom - memulakan apa yang dinamakan sebagai wabak Justinian; menyebabkan empayar Rom mula goyah.

Ketiadaan cahaya matahari menerangi bumi, menyebabkan era ini manusia terpaksa bergelap - bagaimanapun kenapa fenomena ini berlaku masih menjadi misteri.

Sehinggalah kajian yang dijalankan oleh Prof. McCormick dan pakar kajian glasier Paul Mayewski berjaya menemui puncanya.

Fenomena perubahan alam semulajadi yang dahsyat

the dark ages zaman kegelapan

Satu letusan gunung berapi di Iceland memuntahkan debu dan asap yang tebal, menutupi bahagian hemisfera bumi pada tahun 536, diikuti oleh dua lagi letusan pada tahun 540 dan 547.

Ekoran letusan yang berturut-turut ini, masyarakat dunia ketika itu gagal melakukan persediaan menyebabkan berlakunya rencatan ekonomi dunia yang berlangsung sehingga tahun 640.

Teori mengenai 'zaman kegelapan' ini mulanya dilaporkan selepas satu kajian berkenaan urat pokok dilakukan pada tahun 1990, menunjukkan petunjuk berlakunya penurunan suhu yang mendadak sekitar tahun 540 namun pengkaji gagal menemui sebabnya.

Hanya pada tahun 2015, kajian terhadap ais yang dijalankan di Greenland dan Antartika menemui petunjuk baru tentang mengapa perkara itu berlaku.

Selepas berlakunya letusan itu, lapisan aerosol yang dibentuk daripada sulfur, bismuth dan pelbagai bahan lain membentuk lapisan yang menyekat sinar matahari daripada sampai ke permukaan bumi, memantulkan semula cahaya ke angkasa.

Dengan menggunakan rekod yang ada pada lapisan ais serta kesan tinggalan bahan letusan dan perubahan lingkaran urat pokok, ditemui bukti bahawa berlakunya beberapa siri letusan gunung berapi yang mengubah cuaca bumi - mengakibatkan kegelapan berpanjangan.

Pulih hanya selepas 100 tahun berdepan krisis

dark ages zaman kegelapan

Menggunakan sampel ais yang dipercayai sudah wujud sejak tahun 536M, pengkaji menggunakan sinaran X-ray bagi memahami kandungan sampel tersebut. Imbasan itu mendapati kewujudan partikel-partikel halus berasal daripada batuan gunung berapi yang berasal dari Iceland.

Penemuan bahan plumbum pada tahap tinggi dalam sampel ais yang diperolehi daripada tahun 640, membuktikan kegiatan ekonomi manusia pada era tersebut sudah mula kembali rancak. Ini kerana plumbum merupakan bahan yang penting dalam penghasilan bahan logam perak yang mendapat permintaan tinggi masyarakat zaman tersebut.

Bermula daripada era itu, aktiviti perdagangan kembali bermula dengan bahan perak menjadi bahan perdagangan utama, disebabkan oleh kesukaran masyarakat zaman tersebut memperolehi emas.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard ini mempunyai hipotesis yang serupa dengan apa yang pernah kami laporkan sebelum ini, di mana 75,000 tahun dahulu manusia pernah melalui zaman kegelapan yang dikatakan menyebabkan jumlah populasi manusia turun dengan mendadak.

Malangnya - penyelidik juga meramalkan peristiwa sedemikian rupa mampu berulang lagi. Cuma bila zaman kegelapan seterusnya akan bermula, hanya Dia yang mengetahuinya.


Artikel ini adalah olahan dan terjemahan semula artikel Why 536 was ‘the worst year to be alive’ yang diterbitkan oleh Sciencemag.




Hakcipta iluminasi.com (2017)