Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Gaya uniknya ketika beraksi di pentas musim keempat Gegar Vaganza (GV4) digelarkan 'seperti orang mabuk' oleh juri tetap program itu, Datuk Ramli MS.
Firman yang tidak terasa hati dengan komen dilayangkan, mengakui gaya itu adalah identitinya yang membezakan beliau dengan penyanyi lain.
"Sebagai penyanyi, saya ada banyak rujukan. Antaranya Bono daripada kumpulan U2 dan mendiang John Lennon yang kelihatan seperti 'mabuk' ketika beraksi. Mungkin disebabkan itulah saya dilihat sebegitu ketika menyanyi.
"Bagaimanapun, saya tidak tersinggung dengan komen yang diberi juri kerana ia sudah menjadi identiti saya," katanya menurut portal BH Online.
Firman bersama lima lagi penyanyi iaitu Hazami, Lan Solo, Tia Jinbara, Liza Hanim dan Aishah akan menyertai persaingan konsert akhir GV4, berlangsung Ahad ini.
Dalam pada itu, Firman memohon maaf atas gaya sebutannya yang sering kedengaran tidak tepat ketika menyanyikan lagu ciptaan komposer Malaysia di GV4.
Kredit foto: Instagram Firman
"Saya memohon maaf kerana menukar lagu Zalikha kepada 'Jalikha'. Ini kerana lidah ini seperti sudah terbiasa.
"Isteri saya ada membetulkan gaya nyanyian, namun terlepas juga hingga kedengaran 'Jalikha' ketika menyanyi minggu lalu," jelasnya.
Firman berkata, penyertaannya dalam rancangan realiti itu membuka ruang untuk memperkukuhkan lagi namanya dalam industri hiburan tempatan.
Mengakui tidak pernah mendengar lagu tugasan yang diberikan untuk pusingan akhir Ahad ini, Firman bagaimanapun meletakkan harapan untuk memberikan yang terbaik.
"Sebenarnya, saya tidak pernah mendengar lagu-lagu yang ditugaskan, namun saya cuba untuk menggalas tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin. Insya-Allah, pengalaman di Indonesia Idol dapat digunakan untuk GV4," kata penyanyi lagu Kehilangan ini.
Peringkat akhir nanti bakal menyaksikan Firman dengan pertaruhan lagu Drama King, dendangan asal Meet Uncle Hussein dan Tepi Sikit oleh Sleeq dalam segmen 'battle' bersama seorang lagi penyanyi yang belum didedahkan.
Sumber berita: BH Online