Kredit foto: ooomedianetwork.blogspot.my & Instagram Syura

Juri tetap Gegar Vaganza 4 (GV4), Datuk Ramli MS mengakui, peserta rancangan realiti itu menunjukkan persaingan yang sengit di malam separuh akhir Ahad lalu.

Ramli berkata, persembahan dalam dua buah lagu tugasan memberi kelebihan kepada peserta untuk menyeimbangkan markah mereka.

“Jika diikutkan, ada yang kurang berjaya pada satu daripada persembahannya namun mendapat markah tinggi pada persembahan satu lagi. Jadi daripada situ ia sebenarnya membantu jumlah markah keseluruhan mereka.

“Contohnya Aishah yang persembahan pertamanya berada pada tahap biasa saja. Bagaimanapun, dia berjaya bangkit pada persembahan kedua sekali gus mendapat markah tinggi.

“Liza Hanim pula sedikit kurang berjaya apabila tahap persembahan kedua lagunya berada pada tahap biasa. Disebabkan itu markahnya pun tidak seberapa berbanding peserta yang lain," jelasnya kepada portal Harian Metro.

Juri yang juga bertindak sebagai pengarah muzik program itu berkata, Syura bagaimanapun menunjukkan prestasi yang mengecewakan hingga bukan rezeki buatnya untuk beraksi di peringkat akhir.

“Untuk Syura pula sememangnya dia banyak kekurangan sana sini. Bukan rezekinya kerana peserta lain memberikan persembahan jauh lebih baik berbanding dia,” katanya.

Menjelang konsert akhir, Ramli berharap peserta akan tampil dengan usaha keras untuk merebut gelaran juara.

Ramli mengaku penyanyi yang masih kekal kesemuanya bagus tetapi perlu melipat gandakan usaha mereka.

“Sekarang mereka hanya perlu betul-betul fokus kerana persembahan diadili sepenuhnya juri dan pastinya mengharapkan yang terbaik. Saya tahu mereka boleh lakukan itu cuma tidak boleh malas. Setiap aspek perlu diperbaiki dan dilakukan bersungguh-sungguh kerana kami akan menilai apa yang kami lihat pada pentas pada final nanti,” katanya. 

Enam finalis akhir yang bakal berentap merebut trofi juara ialah Liza Hanim, Hazami, Aishah, Tia Jinbara, Lan Solo dan Firman Siagian.

Konsert akhir GV4 bakal ke udara secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, Johor pada Ahad ini (17 Disember 2017), jam 9 malam di saluran Astro Ria. 

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)