Setiap tahun di antara bulan Oktober dan November, masyarakat penganut Hindu meraikan sambutan Diwali atau Deepavali.
Dari segi bahasanya, istilah 'deepavali' membawa makna barisan lampu cahaya yang menerangi - jadi sambutan Deepavali juga turut sama dikenali sebagai 'festival cahaya'.
Disambut selama 5 hari, penganut agama Hindu akan menghiasi kediaman dan premis mereka dengan pelita-pelita kecil diperbuat daripada tanah liat, dikenali sebagai 'diyas.'
BESARKAN TEKS A- A+
Mengapakah sambutan ini disambut sedemikian cara dan apakah kaitan cahaya dengan sambutan unik masyarakat Hindu ini? Jom kita telusuri serba sedikit sejarahnya.
Kisah disebalik Diwali
Cerita asal-usul sambutan perayaan Diwali berkait dengan kepercayaan masyarakat Hindu daripada aspek agama.
Ada hikayat yang terkandung dalam kitab Ramayana berkenaan Dewa bernama Rama yang kembali ke kawasannya, bersama isterinya Sita dan abangnya Lakchman selepas dibuang daerah.
Mengetahui Sita ada bersama kumpulan itu, syaitan bernama Ravana yang lama teringin mahu memperisterikan Sita bertindak menculik Sita dan membawanya lari.
Sita bijak meninggalkan jejak dengan menjatuhkan barangan kemasnya, agar Rama mampu menjejakinya.
Berikutan ketiadaan tentera yang cukup, Rama bertemu dengan Raja Monyet Hanuman, yang menyatakan persetujuan membantu Rama menyelamatkan kembali Sita.
Mereka menuruti jejak Sita yang yang ada sebelum tiba ke sebuah pulau, terletak jauh di tengah lautan.
Ketiadaan cara untuk terbang ke lautan itu menghalang askar monyet Hanuman daripada turut sama membantu Rama.
Jadi Hanuman dan pengikutnya memohon pertolongan kesemua haiwan yang ada untuk membantu menyiapkan jambatan dengan cepat. Kami pernah menceritakan tentang jambatan ini yang didakwa benar-benar wujud di humi.
Berjaya mendirikan jambatan, Rama, Hanuman dan tenteranya bergegas menyerang Ravana.
Selepas memperoleh kemenangan dan berjaya menyelamatkan isterinya, Rama, Sita dan Hanuman berhadapan kesukaran mencari jalan pulang akibat suasana yang gelap kerana hari tersebut merupakan hari di mana kegelapan berada pada tahap tertinggi.
Bagi membantu Rama dan isterinya pulang ke kediaman mereka di Ayodhya, masyarakat Hindu membantu dengan meletakkan lampu pelita 'diyas' di sepanjang laluan bagi membolehkan Rama mengenalpasti jalan yang patut mereka lalui.
5 hari sambutan Diwali
Walaupun di negara kita hanya menyambut sehari sambutan Diwali, sambutan sebenar Diwali sebenarnya mempunyai 5 hari berbeza.
Setiap satu hari mempunyai sambutan dan amalan berbeza, diraikan setiap tahun berdasarkan perkiraan kalendar Hindu 'Amavasya,' bagi menentukan tarikh ari paling gelap di mana kuasa kebaikan dan kejahatan bertembung.
Perayaan Diwali bermula 20 hari lebih awal sebelum tibanya hari Diwali,dengan perayaan Dashain atau 'hari Vijadashami', sempena meraikan kemenangan Dewi Durga menentang syaitan kerbau bernama Manishasura.
Hari pertama Diwali dinamakan Dhanteras, hari permulaan sambutan di mana masyarakat Hindu akan membersihkan rumah dan memasang 'diyas' selama 5 hari berturut-turut.
Hari kedua Diwali dinamakan sebagai Chaturdashi dimana mereka bertafakur mengingati bencana neraka, sambil mendoakan kebaikan diturunkan kepada nenek moyang yang telah meninggal dunia.
Hari ketiga merupakan hari paling meriah dikenali dengan nama Lakshmi Pujan, di mana kuil penganut Hindu akan dinyalakan dengan beratus-ratus 'diyas' sempena mengagungkan Dewi Lakshmi.
Menurut kepercayaan mereka, lebih banyak diyas dipasang akan memudahkan Dewi Lakshmi hadir ke kawasan kediaman atau kuil mereka, supaya kehidupan mereka beroleh kebaikan sepanjang tahun tersebut.
Pada hari keempat, perayaan Annakut atau Govardhan disambut, menandakan permulaan kalendar baru orang Hindu, hari pertama dalam bulan pertama iaitu bulan Kartika.
Hari terakhir perayaan Diwali adalah hari yang digelarkan sebagai Bhai Duj atau 'hari anak lelaki'.
Inilah hari di mana semua adik-beradik lelaki bertemu dengan adik-beradik perempuan mereka, bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Pada hari ini, adik-beradik perempuan berkumpul menantikan kedatangan adik-beradik lelaki untuk upacara menyuapkan makanan kepada adik-beradik lelaki yang hadir,
Turut sama dikenali dengan nama upacara Rakshabandhan, adik-beradik perempuan akan memakaikan tangkai pada pergelangan tangan abang atau adik lelaki mereka, dikenali sebagai rakhi sebagai simbol perlindungan.
Rakhi juga daripada simbol menandakan jatuhnya beban tanggungjawab adik beradik lelaki melindungi adik beradik wanita keluarga itu.
Sebagai balasan, selepas disuapkan makanan dan diikatkan rakhi, adik-beradik lelaki akan menghadiahkan adik beradik perempuan mereka hadiah, sebagai tanda mereka akan berusaha memastikan kehidupan dan kesihatan adik beradik perempuan mereka terpelihara.