Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, agama Hindu merupakan agama yang paling ramai mengikutinya.
Bagaimanapun, pilihan pemimpin masyarakat Melayu memeluk Islam ekoran kedatangan Islam ke sini, menjadikan negara kita sangat mirip dengan Islam beratus tahun lamanya.
Walaupun sudah sekian lama Islam bertapak, kesan pengaruh agama Hindu tetap boleh dikatakan sebati di kalangan masyarakat kita. Ini dapat dilihat daripada beberapa 'pantang-larang' yang diajarkan ibu bapa kita kepada kita khasnya generasi kanak-kanak 70-an hingga 90-an.
BESARKAN TEKS A- A+
Sedangkan pantang larang itu sebenarnya datang daripada ajaran agama Hindu. Berikut adalah lima pantang larang agama Hindu paling popular mungkin masih diamalkan di negara kita.
1. Rasa terkiat-kiat pada mata menandakan petanda buruk atau baik
Pasti anda pernah mendengar rasa terkiat atau sengal-sengal pada mata, seolah menandakan sesuatu petanda?
Sekiranya sengal berlaku pada mata kanan, dikatakan anda bakal bernasib baik, sementara mata kiri pula menandakan sebaliknya.
Di dalam kitab-kitab Hindu, memang banyak kali disebut berkenaan tindak balas semulajadi tubuh ini. Bagaimanapun, pemahamannya berbeza-beza mengikut kisah yang disampaikan.
Ada yang menyebut mata kiri sengal menandakan nasib baik, bagaimanapun lebih banyak yang mengkiaskan mata kanan sebagai bernasib baik.
Kitab tertua masyarakat Hindu, Puranas menyentuh berkenaan isu ini dalam kisah yang berkisar di antara dua adik beradik bernama Yudhishthira dengan Bhima, yang resah menantikan kepulangan adik ketiga mereka Arjuna.
Dalam kisah itu, Yudhishthira menyifatkan rasa sengal pada mata kiri sebagai petanda buruk.
2. Jangan menyapu pada waktu senja
Sekiranya anda generasi kanak-kanak 80-an atau 90-an, anda pasti pernah ditegur pantang larang ini.
Kita faham tujuannya apa kerana menyapu pada waktu senja menyukarkan kita melakukannya dengan sempurna dek cuaca gelap. Bagaimanapun, dari mana asal-usulnya pantang ini?
Masyarakat Hindu percaya Dewi Lakshmi iaitu dewi yang menjaga kekayaan dan kecantikan penganut Hindu tidak menggemari tindakan itu. Kepercayaan mereka, Dewi Lakshmi tidak akan singgah di dalam rumah disebabkan habuk dan sampah yang sedang disapu semasa senja.
3. Kucing hitam melintas di depan petanda buruk
Kenapa kucing hitam menjadi mangsa petanda buruk? Apa salah mereka dilahirkan berbulu hitam? Nak tahu kenapa kucing hitam dikaitkan dengan nasib malang akan menimpa seseorang?
Warna hitam berkait rapat dengan Dewa Shani Bhagwan, dewa berkulit hitam yang dipercayai mampu meramal nasib malang yang boleh menimpa seseorang. Oleh kerana itu, masyarakat Hindu percaya seandainya kucing berwarna hitam melintas di depan mereka - itu seakan menandakan petunjuk yang dikurniakan oleh Dewa Shani untuk mereka berhati-hati.
Bagi mengelakkan nasib malang menimpa, penganut Hindu akan membiarkan orang lain lalu di depan mereka bagi 'memindahkan' nasib itu pada orang tersebut. Masih ada di antara pembaca Iluminasi mengamalkan kepercayaan ini?
4. Jangan melihat gerhana matahari
Kita dinasihat untuk tidak melihat gerhana matahari secara terus disebabkan cahaya yang terhasil semasa fenomena itu, mampu menyebabkan masalah penglihatan pada kita.
Kepercayaan orang Hindu zaman dahulu pula percaya kejadian gerhana matahari sebenarnya berkait Rahu, makhluk bertaraf Asura separa manusia separa dewa yang disumpah kerana cuba mencuri cecair nektar yang membolehkan peminumnya hidup selama-lamanya.
Rahu ditangkap Dewa Visnu ketika sedang menelan nektar tersebut tidak sempat menjadikan keseluruhan badannya bersifat abadi, dengan hanya kepalanya saja berjaya dijadikan badan tanpa mati.
Ekoran itu, Dewa Visnu menyumpah Rahu hilang keseluruhan tubuhnya, kecuali bahagian kepala. Hanya tinggal kepala, Rahu bersumpah akan menelan matahari.
Setiap kali berlaku gerhana, masyarakat Hindu mengaitkan kisah itu dan menganggap Rahu sebenarnya sedang cuba menelan matahari. Setiap percubaan dia pula dianggap akan gagal, kerana Rahu ketiadaan badan yang sempurna, tidak boleh menelan kerana hanya tinggal kepala sahaja.
5. Jangan tunjuk pelangi dengan jari telunjuk
Pantang larang ini sangat popular di kalangan kanak-kanak 20 ke 30 tahun dahulu. Dikatakan bahawa mereka yang menudingkan jari telunjuk pada pelangi, jarinya itu akan dikudungkan oleh kuasa ghaib.
Mesti ramai yang takut, kan?
Apa yang menarik, pantang larang ini tersebar luas sehinggakan banyak budaya masyarakat mengamalkannya khasnya di kawasan Asia Tenggara. Dari mana datangnya kepercayaan ini?
Setakat ini belum ada pihak yang dapat mengesahkan sumber punca pantang-larang ini berikutan kepercayaan yang sangat meluas tentang pelangi dalam pelbagai agama lain, tetapi kami ingin mengaitkannya dengan kepercayaan orang Hindu zaman dahulu yang meletakkan pelangi sebagai sesuatu yang perlu dihormati.
Masyarakat Hindu mempercayai pelangi adalah busur yang digunakan oleh Dewa Indra, dinamakan sebagai 'Indradhanush' atau 'busur Indra'.
Bagi menghormati busur tersebut serta kedudukannya di kalangan para dewa masyarakat Hindu, larangan menuding jari pada pelangi diwarisi mereka kerana perbuatan itu disifatkan tabiat kurang hormat pada busur milik Indra.
Anda ada pendapat lain berkenaan kesemua pantang larang ini atau ada pantang lain yang nak dikongsikan? Sila kongsikan bersama kami dalam ruangan komen.