Oleh pada 06 Jan 2020 kategori

Seorang saintis China, He Jiankui, yang menggegarkan dunia pada tahun 2018 apabila beliau mendakwa bertanggungjawab ke atas kelahiran dua bayi pertama yang disunting secara genetik telah dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara.

Pihak mahkamah juga menjatuhkan hukuman kepada dua rakan sekerja Jiankui juga dengan hukuman penjara, menyimpulkan bahawa ketiga-tiga mereka melanggar peraturan Cina, mengamalkan ubat tanpa lesen, dan melampaui garis etika dengan menggunakan teknologi penyuntingan gen Crispr terhadap embrio untuk menjadikannya tahan terhadap HIV.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain daripada hukuman penjra, Jiankui juga dikenakan denda sebanyak RM1.76 juta.

bayi china lulu dan nana diubah secara genetik untuk tahan hiv 2

Pemfailan mahkamah menunjukkan bahawa bayi ketiga yang telah disunting secara genetik telah dilahirkan, sebagai tambahan kepada dua anak kembar yang pertama, yang diberi nama Lulu dan Nana.

Hasil kerja Jiankui adalah yang pertama yang menggunakan teknologi Crispr untuk memanipulasi gen yang berkaitan dengan HIV dalam embrio.

Ia menimbulkan kemarahan besar dari komuniti saintifik di China dan di seluruh dunia, dengan para saintis mendakwa kerjanya itu sebagai tidak beretika dan berbahaya. 

Pengenalan Crispr

kaedah penyuntingan gen crispr

Crispr adalah satu kaedah yang mudah untuk mengubah DNA yang mendapat perhatian sekitar tahun 2012.

Pada tahun 2015, teknologi penyuntingan gen Crispr-Cas9 meraih Anugerah Terbaik Tahunan dari majalah Science, mengalahkan perkembangan seperti "Pluto flyby".

Sejak pengenalannya, teknologi ini telah digunakan dalam rawatan eksperimen yang kini telah memasuki ujian terhadap manusia, serta digunakan dalam sains makmal setiap hari.

Pada tahun 2019, ujian ke atas manusia dijalankan di Amerika Syarikat, Kanada, dan Eropah untuk melihat bagaimana teknologi penyuntingan gen berfungsi dalam gangguan darah seperti anemia sel sabit dan beta talasemia.

Ujian peringkat awal mendapati keputusan positif dalam kedua-dua pesakit yang dirawat setakat ini, menurut syarikat bioteknologi Vertex Pharmaceuticals dan Crispr Therapeutics.

Mengapa para saintis tidak gembira dengan kerja He Jiankui

he jiankui ubah genetik bayi untuk tahan hiv

Perbualan tentang potensi Crispr berubah dengan secara tiba-tiba pada 2018 apabila Jiankui mendakwa bahawa dua bayi pertama yang disunting secara genetik telah dilahirkan.

Saintis China itu memberitahu The Associated Press bahawa dengan menggunakan alat penyuntingan gen, beliau menyahaktifkan CCR5, sejenis gen yang membentuk laluan bagi HIV untuk masuk ke dalam sel.

Jiankui berkata beliau telah mengubah embrio untuk tujuh pasangan, dengan satu kehamilan berjaya berlaku.

Tidak lama selepas Jiankui mengumumkan kelahiran dua bayi pertama, China menghentikan kerja-kerja dan menyiasat saintis itu. 

Penyuntingan embrio manusia menimbulkan banyak persoalan etika yang menyebabkan kemarahan dari masyarakat saintifik.

Perubahan kepada embrio mempunyai kesan meluas semasa perkembangan tubuh badan, dan ia juga boleh diwarisi.

bayi china lulu dan nana diubah secara genetik untuk tahan hiv

Percubaan manusia menggunakan Crispr adalah dalam mencari cara mengubah gen tertentu pada orang dewasa, yang tidak berpotensi untuk diwarisi kepada generasi seterusnya.

Tidak lama selepas kelahiran tersebut diumumkan, 120 saintis China menyeru supaya undang-undang penyuntingan gen dilakukan. 

"Kotak Pandora telah dibuka. Kita perlu menutupnya sebelum kehilangan peluang terakhir. Kami sebagai penyelidik biomedikal sangat menentang dan mengutuk sebarang percubaan menyunting gen embrio manusia tanpa pengawasan terhadap etika dan keselamatan!," kata para saintis yang mengecam tindakan Jiankui.

Malah, para saintis yang dikreditkan dengan penemuan Crispr juga tidak bersetuju terhadap penggunaanny oleh Jiankui.

Di sebalik pengubahan gen untuk perlindungan terhadap HIV yang dapat menimbulkan masalah terhadap bayi tersebut di kemudian hari, masyarakat saintifik telah lama memperhatikan apakah pengubahsuaian genetik dapat menyebabkan "bayi rekaan" ini dimanipulasi untuk memiliki ciri-ciri tertentu seperti warna rambut pilihan atau kecerdasan yang lebih tinggi.

Rujukan:

1. Stat News

2. Business Insider

3. CNN




Hakcipta iluminasi.com (2017)