Oleh pada 13 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Media Hiburan

Ketika isu penahanan Datuk Farid Kamil menjadi bualan, pelakon Ridzuan Hashim, 53, mendedahkan dia terlebih dahulu menjadi mangsa aktor berkenaan.

Ridzuan berkata, dia tidak mengetahui motif sebenar Farid menamparnya dalam sebuah kejadian di set penggambaran sehari sebelum penahanan beliau.

“Kejadian berlaku jam 1.30 pagi pada 10 Januari lalu di studio milik Soffi Jikan ketika berlangsung penggambaran drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

“Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai jadi merah. Apabila saya jerit ‘Oi kenapa kau tampar aku’ dia terus berlari keluar meninggalkan premis yang menjadi lokasi penggambaran,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ridzuan memberitahu sebelum kejadian terbabit, dia baru sahaja keluar dari tandas dan berada di wardrobe sedang memakai stokin.

“Tiba-tiba Farid masuk dan bertanya ada baju tak. Saya beritahu itu semua baju pelakon dan saya terus tunduk memakai stokin.

“Entah kenapa dia terus menampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa dia terus lari keluar daripada premis itu dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya," katanya.

Ridzuan berkata, seluruh rakan produksi drama Uniknya Cinta itu menjadi saksi apabila dia menjerit sebelum Farid bergegas keluar.

“Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat laporan polis kerana kami sama-sama kawan. Saya maafkan dia dan tidak berdendam dengannya. Lagipun dia ada anak isteri, saya tak mahu mereka tertekan.

“Kalau saya buat laporan polis, perkara itu akan jadi besar dan berpanjangan,” katanya.

Mengenai penahanan Farid yang kini direman, Ridzuan akui terkejut dan dalam masa sama memohon agar netizen tidak menghukum aktor berkenaan.

Ridzuan berkata, dia mengenangkan usia muda Farid dan masa depannya yang masih panjang.

ridzuan hashim dakwa turut jadi mangsa farid kamil

Kredit foto: Instagram Farid Kamil

“Itu antara sebab mengapa saya tidak buat laporan polis kerana tidak mahu kejadian itu dispekulasikan. Nanti orang ingat saya yang cari pasal.

“Saya juga bukan jenis yang suka mengadu dengan wartawan. Selepas kejadian itu, saya malas nak fikir lagi dan terus masuk ke set penggambaran sehinggalah semua babak saya selesai jam 4.30 pagi,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)