Tapai merupakan sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat dua jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Lazimnya tapai pulut lebih terkenal kalau dibandingkan dengan tapai ubi.
Kini, daun tapai semakin susah diperolehi dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.
Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan turut boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua zaman dahulu turut mempunyai pantang larang apabila mahu membuat tapai. Sewaktu tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah.
Sekiranya pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak enak. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam semasa membungkus tapai disebabkan ia akan mengakibatkan tapai menjadi masam.
Buat wanita yang 'datang bulan' turut tidak boleh membuat tapai ini disebabkan rasa yang akan terhasil daripada pembuat tadi tidak 'jadi' atau masam dan sebagainya.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, tempohnya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan disebabkan rasanya yang sangat manis lazimnya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut dan jika ingin menambahkan lagi kelazatan tapai, tapai tersebut boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
Tapai Pulut
Kredit foto: Noor Putri (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)
Bahan-bahan:
- Beras pulut (1kg)
- Ragi
- Daun pisang/daun getah
- Bekas plastik sushi/puding
- Lidi/stapler
Cara penyediaan:
1. Basuh atau cuci beras pulut sehingga bersih dan rendam sebentar.
2. Masukkan pulut dalam kukusan (bekas pengukus).
3. Setelah dikukus, masukkan dalam bekas atau besen untuk diuli.
4. Kemudian, masukkan dalam kukusan sekali lagi.
5. Kukus untuk kedua kali.
6. Kemudian, angkat dan letakkan di dalam bekas atau talam dan biarkan pulut sejuk.
7. Selepas setengah atau sejam (pastikan pulut betul-betul sejuk), masukkan ragi. Ragi perlu tapis dan tabur di semua permukaan pulut.
8. Terbalikkan pulut untuk tabur ragi di bahagian yang belum ditabur lagi.
9. Daun pisang mestilah dilap terlebih dahulu dengan kain bersih.
10. Ambil sudu dan saiz tapai tersebut mengikut citarasa anda. Sukat mengikut selera.
11. Bungkus tapai tersebut dan ketipkan dengan lidi.
12. Gunting bahagian hujung tapai untuk lebih rapi.
Tips: Daun getah juga boleh digunakan.
13. Akhir sekali, masukkan tapai ke dalam bekas atau besen besar dan tutupkan dengan lebihan-lebihan daun pisang lalu diikat dengan kain sarung, selimut, pelikat atau selendang. Biarkan sehari semalam tanpa diganggu dan lihat hasilnya.
Sumber: