Oleh pada 23 Jan 2019 kategori

Menurut Wikipedia, nasi hujan panas merupakan antara nasi tradisional Melayu yang berasal dari Terengganu. Nasi hujan panas merupakan 'nasi minyak' di negeri Terengganu.

Nasi ini disediakan dengan minyak sapi dan marjerin atau minyak sapi juga boleh digunakan sepenuhnya. 

Hidangan ini lazimnya digandingkan dengan gulai/kari ayam, atau kurma daging dan kurma ayam. Nasi minyak tidak pernah lengkap tanpa hidangan sampingan iaitu acar timun atau nanas.

Selain itu, ia juga sesuai dijamah dengan ayam masak rose, kuzi ayam dan dalca daging.

Acar tersebut boleh menjadi sama ada savuri (makanan tidak manis) atau bukan savuri yang menjadi pelengkap kepada hidangan ini.

Hidangan ini dipanggil nasi hujan panas kerana mempunyai warna yang beraneka ragam. Ia terdiri dari tiga warna iaitu hijau, kuning dan merah.

Seperti keadaan cuaca, jika sewaktu panas lalu hujan turun, maka pelangi akan muncul di langit. Oleh itu, nasi ini berwarna sebegitu.

Selain itu, terdapat segelintir yang memanggilnya dengan nama nasi pelangi (rainbow rice). Dengan campuran warna yang cukup cantik, nasi hujan panas pastinya mampu membangkitkan selera.

Nasi hujan panas merupakan salah satu menu yang terkenal di Malaysia sejak zaman dahulu. Nasi hujan panas lazimnya dihidangkan ketika majlis kenduri kahwin, keramaian atau pertunangan.

 

Nasi Hujan Panas

 

Nota: Hidangan ini untuk 6 orang makan

 

Bahan-bahan:

  • Beras basmati (5 cawan)
  • Air (5 cawan)
  • Susu cair (secawan)
  • Kiub ayam (2 ketul)
  • Daun pandan (2 helai)
  • Pewarna merah, kuning dan hijau

 

Bahan tumis :

  • Halia (1/2 inci)
  • Bawang putih (2 ulas)
  • Bawang besar (1 biji)
  • Minyak masak (2 sudu besar )
  • Minyak sapi (1 sudu besar)
  • Kulit kayu manis (1 batang)
  • Bunga lawang (2 kuntum)
  • Bunga cengkih (3 kuntum)
  • Buah pelaga (3 biji)
  • Daun serai (1 batang)
  • Tomato (2 biji) - dipotong kecil dadu

 

Cara-cara :

1. Masukkan minyak sapi atau marjerin.

2. Masukkan bahan tumis. Tumis sehingga layu .

3. Masukkan air dan susu cair.

4. Tunggu sehingga menggelegak dan masukkan beras.

5. Apabila sudah masak, titiskan 3 pewarna dan tutup semula periuk selama 5 minit.

6. Selepas 5 minit, buka tudung periuk dan gembar-gemburkan nasi tadi. 

 

Resepi Bonus: Dalca

  

dalca nasi hujan panas 657

Kredit foto: Azahari Abdullah & Muhammad Azhari (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah) 

 

Bahan-bahan:

  • Kacang dhal (1 cawan)
  • Serbuk kari daging (1 pek) - pek paling kecil
  • Bawang putih (5 ulas) - dikisar
  • Halia (1 inci) - dikisar
  • Bawang besar (1 ulas) - dikisar
  • Bawang merah (2 ulas) - dikisar
  • Cili kering (3/4 tangkai) - dikisar
  • Daun kari
  • Buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang
  • Kaki dan tengkuk ayam
  • Ubi kentang (2 biji)
  • Lobak merah (1 biji)
  • Terung bulat/panjang (2 biji)
  • Sedikit kacang panjang
  • Asam keping (2/3 keping)
  • Santan (1 biji kelapa) / santan kotak (pek paling kecil)

 

Cara penyediaan:

1. Cuci bersih dan masak/rebus kacang dhal dengan sedikit garam di dalam periuk sehingga agak lembut selama lebih kurang 20 minit. Apabila kacang telah lembut, padamkan api dan ketepikan.

2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang bersama daun kari sehingga naik bau.

3. Masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi dan masukkan serbuk kari (bancuh dengan air) dan kacau sehingga pecah minyak. Masukkan santan dan kacau perlahan dengan api sederhana.

4. Masukkan asam keping, kacang dhal, kaki dan tengkuk ayam. Kemudian, masukkan ubi kentang dan lobak merah. Selepas lebih kurang 10 minit, masukkan pula terung.

5. Tambah sedikit air sesedap mata memandang atau sehingga menutupi sayur.

6. Akhir sekali, masukkan kacang panjang dan perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa. Siap.

 

Sumber:

1. Azahari Abdullah [1, 2]

2. Muhammad Azhari [1, 2]

3. Malaysian Delicacies (malaysiandelicacies.blogspot.com) [12]

4. Resepi Malaya Turun-Temurun (resepiyangindah.blogspot.com) [12]

5. Life With Love (nonasani.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)