Kredit foto: Rospawati Ngariman & Rabiatul Adawiah Hashim‎ (Gambar sekadar hiasan)
Bingka atau bengkang adalah sejenis kategori kuih dalam masyarakat Melayu. Terdapat beberapa jenis kuih yang dikenali sebagai bengkang, antaranya seperti bengkang berkuah, bengkang gandum, bengkang ubi dan bengkang kelapa.
Misalnya, kuih bingka ubi (atau dikenali sebagai bengkang ubi kayu di pantai timur) adalah sejenis kuih bingka yang diperbuat dari ubi kayu.
Bahan tempatan digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan kuih tradisi ini. Ia menggunakan ubi kayu yang telah disagat dicampur dengan sagu ubi kayu dan tidak memerlukan bahan asing seperti tepung gandum walau sedikit pun.
Bingka Durian
Bahan-bahan:
- 1 cawan setengah tepung gandum
- 1 cawan gula
- 1 cawan santan
- 1 cawan susu cair
- 1 cawan air
- 3 biji telur
- 1 cawan isi durian
- Secubit garam
- Bijan
- Pewarna kuning
Cara membuat:
1. Campur semua bahan dan kisar sehingga sebati.
2. Masukkan adunan dalam loyang dan tabur bijan.
3. Bakar suhu 180c (api atas bawah) selama sejam.
Bingka Ubi Kayu
Bahan-bahan:
- 4 cawan ubi kayu siap diparut (Tips: Tidak boleh beri sukatan ubi kayu dalam kg kerana kadangkala terdapat ubi kayu yang keras dan tidak boleh diparut. Susut isinya pula. Jadi yang tepat, sukat setelah diparut)
- 2 cawan santan pekat
- 1 cawan gula pasir
- 1/2 sudu teh garam
- Sedikit pewarna kuning
Cara membuat:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah celcius (api atas dan bawah). Masukkan semua bahan ke dalam loyang berukuran 7x7 inci atau 6x6 inci (bingka agak tebal). Gaul rata sehingga gula hancur dan santan sekata. Ratakan. Tips: Jika guna loyang 8x8 pun tiada masalah.
2. Masukkan loyang ke dalam ketuhar dan letakkan di rak paling bawah. Bakar bengkang selama 1 jam - 1 1/2 jam atau sehingga bahagian atas bengkang keperangan. Setelah masak, keluarkan dan lebih kurang 3-5 jam sebelum dipotong dan dihidang.
Tips:
- Banyak resepi kuih berasaskan ubi kayu yang dibaca dalam majalah atau blog mempunyai arahan berbeza dalam penyediaannya. Contohnya, ada yang dicampur air, ditapis dan buang hampasnya, ambil sagunya sahaja dan kemudian dicampur tepung.
- Bagi resepi ini mudah sahaja, ubi kayu yang siap diparut tersebut, terus dicampur santan, gula, garam dan dimasukkan dalam loyang. Kacau dan masak. Tidak perlu tepung kerana ubi kayu ini sudah berkanji. Inilah yang menjadikan kuih bengkang ini tidak lembik, sebaliknya lembut, lemak manis dan kenyal.
- Loyang pun tidak perlu dilengser kerana santan pekat menyebabkan kuih tidak melekat dan senang dipotong dengan syarat kuih telah cukup disejukkan.
Bingka Labu Lemak Manis
Bahan-bahan:
- 2 cawan labu (dikukus sehingga lembut)
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan santan
- 3/4 cawan gula
- 2 biji telur
- 2 sudu besar mentega
- 1 sudu kecil esen vanila
- 1 sudu kecil garam
Cara-cara membuat:
1. Kisarkan semua bahan di atas sehingga sebati.
2. Sapukan acuan atau loyang dengan sedikit mentega. Masukkan bahan kisar tadi.
3. Bakar dengan suhu 160' dalam masa sejam atau sehingga masak mengikut ketuhar masing-masing.
4. Tunggu sehingga sejuk. Kemudian, boleh dipotong.
Sumber: