Oleh pada 17 May 2023 kategori

Laksa Johor adalah sejenis hidangan yang unik kerana menggunakan spagetti sebagai laksa. Kuahnya pula sengaja dibuat agak pekat kerana menu ini dinikmati menggunakan tangan.

Cara yang praktikal untuk menghidangkan spagetti bagi hidangan ini adalah dengan menggulungnya menjadi seperti bentuk nombor lapan sebelum ditoskan dalam penapis. Apabila sudah kering, ia akan membeku secara elok dan cantik dalam gulungannya.

Untuk memakannya pula, ia perlu diambil segulung demi segulung sebelum kuah dicurahkan. Kemudian, tambahkan pula ulam-ulamnya.

Laksa Johor

Bahan kisar:

  • Bawang besar (sebiji)
  • Bawang merah (4 biji)
  • Bawang putih (4 biji)
  • Serai (3 batang)
  • Cili kering (8 tangkai)

Bahan lain:

  • Ikan parang atau tenggiri (setengah ekor) - rebus dengan halia dan bawang putih

Nota:

- Jenis ikan ini digunakan kerana kuahnya pekat. Tetapi, ia boleh juga digantikan dengan ikan kembung, selar atau selayang.

- Kemudian, buang tulang dan kisar isinya menggunakan air rebusan. Tulang dikisar asing dan tapis. Ambil airnya untuk dibuat kuah.

  • Kerisik (setengah biji kelapa)
  • Santan (setengah biji kelapa) - pemilik resepi beli yang telah siap diperah (santan kotak juga boleh digunakan)
  • Udang kering (setengah genggam)
  • Rempah kari ikan (4 sudu besar) - kari daging juga boleh digunakan
  • Spagetti
  • Garam
  • Gula
  • Asam keping

Cara-cara memasak:

  1. Tumis bahan kisar tadi sehingga naik minyak.
  2. Masukkan rempah kari. Bancuh dahulu.
  3. Masukkan isi ikan dan udang kering (tumbuk). Kacau dan tunggu mendidih.
  4. Masukkan kerisik dan santan. Tunggu mendidih.
  5. Masukkan garam, gula dan asam keping sekeping.
  6. Rasa sama ada cukup atau tidak rencah. Jika rasa terkurang, pemilik resepi kebiasaannya akan tambah kerisik.

Nota: Masak menggunakan api kecil sahaja supaya mesra rasanya. Kecuali semasa menumis. 

Bahan aksesori:

  • Timun
  • Daun kesum+daun selasih
  • Bunga kantan
  • Lobak asin - perlu ada
  • Tauge
  • Bawang besar
  • Sambal belacan
  • Limau kasturi

Nota:

  • Sambal belacan dikisar menggunakan pengisar kering sahaja. Tiada bahan lain selain belacan bakar dan lada. 
  • Kuah ini sesuai untuk sebungkus laksa jenama San Remo. Tetapi, jika ada lebih, boleh simpan kuah dalam freezer untuk dibekukan supaya tahan lama.

laksa johor

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari kumpulan masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi:

Marlina Sabran

Zalifah Hj Denan [1, 2]

Sumber informasi: Nurha Muhammad [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)