Oleh pada 02 Jan 2019 kategori

Kami pasti ramai yang menjadikan kek coklat sebagai antara menu wajib setiap kali berkunjung ke kedai kek. Biarpun harganya sedikit mahal, namun rasa keknya yang begitu lazat dan bermutu tinggi membuatkan anda sanggup membelinya. 

Tidak hairanlah kek coklat merupakan antara kek yang terlaris dijual.

Namun begitu, kek ini tidak tahan lama dan akan mencair jika dibiarkan di luar. Oleh sebab itu, anda hendaklah memakannya ketika masih sejuk.

Meskipun cara pembuatannya sedikit rumit, tetapi hasilnya amat berbaloi dengan usaha yang diberikan kerana ia sesuai dimakan semasa majlis keraian bersama rakan-rakan atau keluarga tercinta.

Resipi ini merupakan cara yang dibuat oleh pemilik resepi yang digunakan untuk jualan dan paling digemari oleh pelanggannya.

Kek Coklat

Bahan-bahan kek span coklat:

  • Sponge mix coklat (300g)
  • Telur (300g)
  • Air (60g)
  • Sedikit esen vanila
  • Minyak sayuran (60g)

Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali minyak. Putar sehingga gebu.

2. Setelah gebu, baru masukkan minyak. Kaup menggunakan spatula atau senduk.

3. Setelah kaup rata, baru masukkan dalam loyang saiz 9".

4. Bakar suhu 170' selama 40 minit (bergantung kepada ketuhar masing-masing).

5. Selepas kek masak, terus keluarkan dari loyang.

Bahan-bahan mousse coklat:

  • Dark compound (150g)
  • Non dairy whipping cream (300g)

Cara penyediaan:

1. Cairkan coklat menggunakan kaedah double boil. Ketepikan.

2. Putar krim putar (whipping cream) sehingga gebu.

3. Satukan kedua-dua bahan di atas.

Bahan-bahan mousse putih:

  • White compound (150g)
  • Krim putar bukan tenusu (non dairy whipping cream) (300g)

Cara penyediaan:

Kaedahnya sama seperti mousse coklat. Cuma, apabila sudah siap, bahagikan mousse putih tersebut kepada dua bahagian.

Setelah siap semua bahan, boleh belah kek span tersebut menjadi 4 bahagian. Lapis pertama letak mousse putih, kemudian mousse coklat, ulang semula dengan mousse putih.

Bahan untuk melepa keseluruhan kek:

  • Krim putar bukan tenusu/krim segar (non dairy whipping cream/fresh cream) (300g) -dipukul sehingga kental

Bahan ganache coklat:

  • Dark compound (300g)
  • Krim putar (150g)
  • Marjerin (1 sudu besar)

Cara penyediaan:

1. Cairkan dark compound dan marjerin menggunakan kaedah double boil.

2. Setelah cair, baru masukkan krim putar. Gaul sebati.

3. Selepas semuanya siap, boleh hias mengikut kreativiti masing-masing.

kek chocolate indulgence ala secret recipe 2

Tips penting:

✔ Pemilik resepi menggunakan tepung optima/sponge mix.

✔ Untuk resipi mousse, beliau memang tidak menggunakan gelatin.

✔ Jika mahu menggunakan moist choc cake sebagai base pun boleh, terpulang kepada citarasa masing-masing.

✔ Apabila mahu satukan mousse tersebut, pastikan krim putar bukan tenusu/krim segar (non dairy whipping cream/ fresh cream) telah dipukul kental. Kemudian, campurkan coklat yang telah siap double boil sewaktu coklat masih panas. Gaul laju-laju untuk elak ia berketul.

✔ Bahan-bahan adalah lebih bagus dicari di kedai bahan kek kerana semuanya lengkap. Jika tidak kenal bahan, boleh tanya dengan tuan kedai.

✔ Pemilik resepi menggunakan coklat jenama Berlys dan krim segar (fresh cream) jenama Value Pride.

✔ Jika kali pertama anda buat tidak menjadi, jangan putus asa. Teruskan mencuba.

Sumber: Norlailanazira Mohd Agos [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)