Terdapat pelbagai cara untuk menghasilkan acar ikan masin. Cara yang mana yang menjadi pilihan bergantung kepada citarasa masing-masing.
Malah, acar ikan masin memang tahan lama kalau disimpan dengan baik dalam bekas kedap udara.
Terdapat pelbagai jenis ikan yang digunakan seperti ikan talang, ikan kurau, ikan yu masin dan lain-lain.
Acar Ikan Masin
Bahan-bahan:
- Ikan masin (200gm) - ikan talang/kurau/malong; direndam sebentar dahulu untuk hilangkan lebihan masin
- Lobak asin (100gm) - dipotong kecil-kecil
- Bawang merah (8 biji) - dibelah 2 atau 3
- Bawang putih (5 ulas) - dibelah 2 atau 3
- Halia - dihiris memanjang
- Cili padi (20 biji)
- Kismis (raisin)
- Buah pala kering (optional) - ditambah oleh pemilik resepi
- Jeruk buah salak (optional) - ditambah oleh pemilik resepi
Nota: Bahan-bahan di atas adalah anggaran sahaja.
Bahan kisar:
- Bawang besar (2 biji)
- Bawang putih (4 ulas)
- Cili kering yang sudah dikisar (3 sudu besar) - anggaran
- Serbuk kari daging (1 sudu besar)
- Cuka (1 1/2 cawan)
- Gula (1 1/2 cawan)
- Garam - jika perlu
Cara-caranya:
1. Rendamkan bawang merah, bawang putih dan halia di dalam cuka. Biarkan.
Tips: Pemilik resepi tidak tambah air di dalamnya.
2. Sementara itu, gorengkan ikan masin yang telah direndam dan ditoskan. Goreng sehingga sedikit garing dan angkat.
3. Dengan minyak yang sama, tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili boh yang telah dikisarkan kesemuanya sehingga naik minyak.
4. Masukkan serbuk kari daging dan tumiskan lagi sehingga naik minyak.
5. Selepas naik minyak, masukkan bahan-bahan yang telah direndam dengan cuka tadi. Masukkan cuka sekali dengan bahan rendaman tadi.
6. Imbangkan kemasaman cuka dengan gula.
Tips: Pemilik resepi gunakan gula merah. Boleh juga gunakan gula putih.
7. Kemudian, masukkan cili padi, kismis dan lobak asin. Kacau sebentar dan masukkan sekali ikan masin. Kacau dengan api perlahan sehingga pekat dan likat.
8. Akhir sekali, perasakan garam (jika perlu), manis gula dan kemasaman cuka lauk ini.
Tips:
✔ Bawang merah, bawang putih dan halia direbus dengan cuka supaya kekal rangup.
✔ Hidangan ini akan menjadi lebih lazat jika sudah disimpan beberapa hari.
✔ Jika dibeli, sebotol kecil sahaja berharga lebih kurang RM18. Jika dibuat sendiri, RM10 mungkin dianggarkan dapat 6 botol.
Sumber: