Kami duduk berbincang tentang projek yang sedang diusulkan. Benda kecil sahaja, rekaan menu untuk kedai makan. Pereka grafik bernama Ben itu diberikan nombornya oleh seorang kenalan yang aku percayai.
Dia jamin Ben boleh berikan perkhidmatan terbaik. Aku pegang kata-kata dia tu. Ben meneliti beberapa keperluan yang aku dah tuliskan. Untuk mengelak sunyi yang menimbulkan rasa asing walaupun kami duduk dalam kedai makan, aku ajukan satu pertanyaan;
BESARKAN TEKS A- A+
"Ok ke kerja buat grafik ni?"
Ben sengih. "Abang rasa macam mana?"
Isu pendapatan rendah bagi pekerja industri
Sejak dulu aku mendengar banyak khabar angin berkenaan tahap pekerjaan industri grafik, multimedia, animasi - bidang-bidang macam tu lah - yang agak negatif bunyinya. Rungutan-rungutan berkenaan soal gaji, masa, majikan yang perangai macam celaka, client yang nak murah tapi hasil macam berjuta; aku tak tahu, aku dengar saja.
"Saya dulu buat kartun bang," kata Ben.
"Kartun apa?" tanya aku kembali. Ben sebutkan satu nama yang agak popular tapi tak mahulah aku dedahkan tajuknya di sini.
"Syarikat tu bang," kata Ben. "Kerja animator (individu yang menggerakkan watak animasi) dia bayar macam kerja kilang je bang. Kartun meletup, tapi gaji tak berani nak labur."
"Berapa dia bayar kau sebulan?" tanya aku. Ben sengih panjang.
"RM1500," jawab dia. "Saya ada ijazah ni bang. Memang bidang sama pulak tu."
"Staff lain pun sama?" tanya aku.
"Sama. Tapi kami terpaksa diam saja, sebab company tahu seorang keluar - ada 10 lagi nak masuk cuba nasib," kata Ben. "Alih-alih ramai tahan sajalah sampai ada better offer dari tempat lain."
Syarikat yang mengambil peluang pada pekerja
"Kenapa rendah sangat gaji tu?" tanya aku tak sangka. "Benefit macam increment, bonus, semua tu ada ke?"
Ben sengih lagi sambil menggelengkan kepala. "Tak ada. Increment tu ada la tetapi sikit benar. Saya dengan staff lain memang nampak company nak pastikan tiap-tiap tahun ada turnover staff automatik berlaku, supaya mereka boleh pastikan fresh grad masuk."
"Fresh grad kan kena mula training, bukan ke tu kos jugak?" tanya aku.
"Kalau kartun dah keluar 2-3 musim ni bang, benda tu dah jadi automatik, macam template. Budak fresh grad masuk, diorang mungkin kena belajar beberapa tools je untuk production sebab benda lain dah sedia ada," terang dia. Satu hapah aku tak faham apa dia terangkan.
"Aku selalu dengar line-line kerja kau overtime ni mandatory unpaid, betul ke?" tanya aku, dah macam reporter pula.
Ben angguk. Bukan setakat overtime, overnight tu pun ada kalanya jadi perkara biasa dan yang menyedihkan setiap jam yang dihabiskan di studio ini jarang sekali mendapat imbuhan yang sepatutnya mereka perolehi.
Aku cuba timbulkan berkenaan akta kerja dan peraturan-peraturan dalam jadual kerja, yang menetapkan seseorang pekerja tidak boleh diminta bekerja melebihi sekian-sekian jam seminggu.
Ben akui dia ada membaca tentang perkara itu dan pernah dia dengan kawan-kawannya berbincang tentang perkara itu, tetapi memandangkan takut berdepan risiko dibuang kerja apabila mempersoalkan tindak-tanduk majikan, mereka terus mendiamkan diri.
Tidak ada perubahan pada nasib pekerja sejak MSC dimulakan?
Malam itu aku pulang dan makan malam bersama isteri serta anak. Ada bermacam lagi kisah menakutkan berkenaan industri yang Ben sertai, amat jelas majikan mengambil sikap sambil lewa dalam mengambil berat masalah kebajikan pekerja.
Aku pernah bertemu seorang pelajar lulusan SKM yang diminta bekerja untuk gaji RM1200 tetapi waktu kerjanya serupa hamba. Dulu pernah aku bertemu seorang graduan MMU jurusan multimedia yang mengakui dirinya kini lebih tenang dan bahagia menjual pastri secara on-line.
Grafik, multimedia, animasi - semua ini setiap hari ada di sekeliling kita. Sekecil mana sekalipun sumbangan mereka, sentuhan mereka pasti tetap ada.
Sejak awal millenium aku mendengar rungutan-rungutan sama berkenaan industri ini dan tidak ada banyak bezanya hampir 17, 18 tahun kemudian. Gaji rendah, waktu kerja tak masuk akal, tiada overtime, tiada faedah luaran, syarikat lebih gemar fresh grad. Semua itu sedikit sebanyak membuatkan aku agak sinis dengan industri kita yang semakin popular sehingga mampu terkenal di seluruh dunia.
'Boboiboy' sudah sampai ke Jepun. Malaysia sudah ada 'Ultraman' sendiri. Rancangan kartun kita sudah ditayangkan di seluruh Asia, malahan 'Upin dan Ipin' sudah bikin fenomena di negara Indonesia.
Tapi sayangnya suara-suara pekerja yang bersusah payah di belakang tabir masih bernada sama. Teringat aku apa berlaku sebelum Ben beredar semasa pertemuan kami.
Teruskan kerja hanya kerana minat
Gambar kredit Star2
"OK bang," kata Ben. "Dalam dua hari saya bagi abang mock-up, abang tengok. Mana yang tak ok, kita masih boleh edit."
"Ben," panggil aku.
"Ye bang."
"Kalau kau menyampah dengan industri kau ni, kenapa kau masih buat grafik - walaupun secara freelance?" tanya aku sambil menghulurkan tangan mahu bersalam.
Ben menyambut tangan aku.
"Minat bang," jawab dia. "Saya, kawan-kawan saya, semua yang kerja line ni yang dapat gaji tahap ayam ni buat sebab minat je bang."
Orang kata - kalau kerja kita merupakan sesuatu yang kita sayang, kita suka - benda tu tak akan kita rasa macam kerja.
Persoalannya, berapa lama minat dapat tampung kehilangan kewangan, waktu dan masa? Pasti tak selama-lamanya.
Nota : Semua gambar yang dipaparkan dalam artikel ini hanyalah hiasan semata-mata. Nama Boboiboy, Ultraman dan Upin-Ipin yang disebutkan hanyalah sebagai contoh untuk menulis melakukan perbandingan, bukan sesekali untuk merujuk pada syarikat yang pernah menjadi majikan Ben.