Pemilik syarikat jualan digital gergasi Amazon, Jeff Bezos sudah pun bergelar individu terkaya di dunia. Syarikat yang dibangunkannya nyata membuahkan hasil lumayan kepada dirinya selain mengubah cara pemasaran dalam talian untuk seluruh masyarakat dunia.
Sehinggakan pada pertengahan bulan Mei tahun 2020, platform analisis perniagaan Comparisun melaporkan ramalan mereka bahawa Bezos berkemungkinan besar akan menjadi jutawan bertahap trillion pertama dunia; dijangka akan berlaku pada tahun 2026.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika ini, nilai Bezos 'hanya' sekitar $143 billion namun perkembangan konsisten Amazon pada kadar 34% setahun dalam tempoh lima tahun lepas, mengukuhkan andaian Comparisun.
Namun disebalik itu, ada banyak cerita kurang enak tentang Bezos dan Amazon sering kedengaran, dikritik melibatkan hak pekerja syarikat gergasi itu. Adakah benar dakwaan pencapaian Bezos dan Amazon sebenarnya hasil daripada keringat pekerja yang diperah; tanpa dipedulikan nasib mereka?
Pandemik memburukkan lagi suasana
Ekoran pandemik Covid-19 yang melanda, portal-portal pemasaran dalam talian menerima kadar pesanan yang berlipat kali ganda, termasuklah Amazon. Sejak bulan Mac tahun 2020, Amazon menerima peningkatan 10 ke 40% kadar tempahan berbanding bulan sama tahun lalu, dengan pertambahan 32% pengguna portal mereka.
Berikutan pertambahan pesanan mendadak, keperluan untuk pengurusan menjadi lebih tinggi memerlukan pekerja di semua gudang Amazon terpaksa memberanikan diri bekerja; walaupun sedar ancaman Covid-19 yang melanda. Kebimbangan pekerja Amazon ada asasnya; Amerika Syarikat merupakan negara paling terjejas teruk dengan wabak.
Bagi memastikan tahap kesihatan pekerja terjaga, wakil pekerja Amazon memohon agar mereka dibenarkan cuti tanpa gaji seandainya merasa sakit atau perlu mengkuarantin diri. Selain itu, wakil pekerja juga menyuarakan kebimbangan berkenaan tahap kebersihan gudang yang beroperasi 24 jam sehari, dikhuatiri akan menjadi lokasi penyebaran wabak.
Piket untuk meminta agar pengurusan Amazon menutup sementara gudang bagi memastikan disinfeksi dilakukan serta meluluskan permintaan mereka diadakan. Amazon didakwa mereka, telah gagal mewujudkan prosedur standard dalam memantau tahap kesihatan pekerja yang hadir.
Malangnya permintaan mereka tidak dilayan pihak pengurusan Amazon yang merasakan pemberhentian operasi hanya akan menyebabkan pesanan yang semakin menimbun, mula bertambah.
Penganalisis menyifatkan tindakan Amazon itu sebenarnya hanyalah cubaan untuk membeli masa; kerana tatakerja Amazon mengamalkan satu falsafah - 'setiap pekerja yang hilang boleh diganti.'
Kumpulan berpiket itu datang daripada beberapa gudang Amazon berbeza, memilih untuk menganjurkan boikot kerja selama seminggu. Hasilnya? Enam orang pemimpin pekerja yang menjadi 'kepala' kepada gerakan boikot itu dipecat serta-merta.
Pihak pengurusan tertinggi melaksanakan orde keras
Disebabkan tindakan memecat pekerja berlaku, naib presiden Amazon, Tim Bray (gambar atas, kanan) cuba mempertahankan hak pekerja yang meminta perlindungan disebabkan pandemik yang melanda.
Malangnya, pandangan beliau dilihat sebagai satu kritikan ke atas pengurusan Amazon sendiri mengakibatkan beliau menjadi individu paling berprofil tinggi dalam Amazon yang dipecat setakat ini, disebabkan oleh kesan Covid-19 kepada syarikat itu.
Bray yang telah berkhidmat selama lebih 6 tahun bersama Amazon dalam perkongsiannya di media sosial, menyifatkan tindakan bekas majikannya yang langsung tidak menghiraukan nasib pekerja adalah satu tindakan tidak munasabah.
Bray melabelkan pengurusan Amazon sebagai 'chickensh*t' serta menggunakan taktik menakutkan pekerja agar mereka tunduk kepada keperluan syarikat.
Dalam tulisan beliau, Bray turut memetik insiden melibatkan dua orang pereka antaramuka yang dipecat selepas mereka atas inisiatif sendiri, mengedarkan risalah tentang risiko Covid-19 di kalangan pekerja gudang Amazon.
Tindakan itu yang dianggap membelakangi peraturan syarikat serta hirarki korporat syarikat mereka, melayakkan kedua-dua pereka yang sudah 5 dan 16 tahun bersama Amazon dibuang kerja.
Apa yang lebih menghairankan. beberapa orang pekerja yang menganjurkan piket dan dibuang sejak bulan Mac sehingga Mei, ddibuang atas alasan 'gagal mematuhi jarak penjarakkan selamat semasa bekerja.'
Bagaimanakah kondisi kerja di Amazon?
Insiden tunjuk perasaan antara kumpulan pekerja dan Amazon merupakan satu perkara yang biasa berlaku. Dalam bulan November tahun 2018, beribu-ribu pekerja Amazon di seluruh Eropah mengadakan piket besar-besaran memboikot kerja mereka - menyebabkan operasi Amazon terganggu.
Bagaimanapun angka itu jauh kecil berbanding kumpulan pekerja yang memilih untuk terus hadir bekerja seperti biasa, walaupun sedar layanan Amazon kepada mereka kurang enak. Ini kerana majoriti pekerja Amazon memerlukan pekerjaan tersebut, menyebabkan mereka akan tunduk ke atas apa saja permintaan syarikat.
Hasil siasatan yang dijalankan ke atas kondisi kerja di Amazon menampakkan satu situasi sama di semua gudang Amazon; bagaimana pekerja Amazon takut untuk menghelakan nafas berehat walau sebentar.
Sistem Amazon yang dikawal komputer menghalang mereka daripada leka walau sekejap, memaksa pekerja untuk mengabaikan penat lelah dan ada kalanya keperluan ke tandas; hanya untuk memastikan pesanan selamat disediakan.
Untuk setiap satu minit, dua bungkusan perlu disiapkan dan kuota ini perlu kekal sepanjang masa pekerja bertugas. Seandainya terlewat, notis amaran akan dibunyikan di stesen kerja individu tersebut bagi menandakan pekerja mana yang terkebelakang dalam kuotanya.
Siasatan ke atas gudang buku Amazon di Staffordshire, United Kingdom menemui kumpulan pekerja yang terpaksa membuang air dalam botol hanya kerana takut kehilangan kerja. Ada yang terpaksa menahan lapar dan dahaga, bimbang mereka perlu ke tandas sewaktu tempoh shif mereka.
Insiden ribut salji di Kansas yang berlaku pada bulan November tahun 2018 memaksa kerajaan Kansas mengisytiharkan darurat di negeri tersebut. Semua penduduk diminta berkurung di dalam rumah kerana keadaan cuaca yang sangat buruk.
Namun bagi pekerja gudang Amazon di Kansas, mereka tetap diminta hadir bagi memastikan pesanan berjaya disiapkan. Mana-mana individu yang tiba lewat disebabkan salji yang menebal, diberikan pelepasan khas tetapi datang mesti datang.
Obsesi untuk memuaskan hati pelanggan
Dalam pertengahan bulan April tahun 2020, mahkamah rayuan Perancis mengarahkan Amazon Perancis menutup operasi selepas kesatuan pekerja Amazon melaporkan tentang keadaan kerja yang tidak sihat, ekoran penularan wabak.
Amazon Perancis diarahkan untuk mewujudkan sistem keselamatan baru bagi memastikan keselamatan pekerja mereka dilindungi.
Reaksi Amazon pula nyata kurang senang didengari. Syarikat itu dilaporkan menerima perintah mahkamah itu tetapi tidak bersetuju dengan hujah yang mereka terima, bahawa Amazon gagal meletakkan keselamatan pekerja sebagai keutamaan.
Hujah ini pada penulis, tidak logik memandangkan kematian pertama pekerja Amazon akibat Covid-19 telah berlaku di Hawthorne, California pada 31 Mac 2020. Media Amerika Syarikat CBS melaporkan sehingga 10 Mei 2020, lebih 600 orang pekerja gudang Amazon disahkan positif jangkitan.
Berikutan tekanan-tekanan yang dihadapi, Amazon meminda peraturan mereka membenarkan pekerja bercuti tanpa had tanpa gaji sekiranya ingin melaksanakan kuarantin. Bagi menggalakkan pekerja datang bekerja, Amazon meningkatkan gaji minima mereka di Amerika Syarikat daripada $15 kepada $17 sehingga 30 Mei 2020.
Persoalan utamanya adalah kenapa pekerja Amazon dianaktirikan sebegini rupa?
Sebab utamanya adalah kerana Amazon tahu pekerja yang hilang, mudah diganti. Kedua, falsafah perniagaan Jeff Bezos sendiri yang meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan nombor satu.
Obsesi Jeff Bezos dalam memastikan kehendak pelanggan sebagai prinsip nombor satu perjalanan syarikat Amazon, sedikit-sebanyak meminggirkan keutamaan pekerja.
Amazon adalah syarikat gergasi yang benar-benar percaya pekerja boleh diganti, tetapi wajah gembira pelanggan yang bertukar muram - tak dapat dijual beli. Kerana pelangganlah, Jeff Bezos menjadi individu terkaya dunia; bukan disebabkan penat lelah pekerjanya.
Rujukan