Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Juri tetap Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Ramli MS mendedahkan vokal Hazami sedikit goyang sewaktu menyampaikan lagu Bahagiamu Deritaku di segmen solo.
Malah ketika pusingan 'battle', penyanyi itu lupa lirik sekaligus memberi kesan kepada pemarkahannya.
“Persembahan kesemua finalis dinilai empat juri berbeza. Setiap persembahan saya dengar jelas menggunakan ‘headphone’. Pada nyanyian lagu solo, suara Hazami sedikit goyang. Jadi, saya ambil kira perkara ini.
“Ketika persembahan ‘battle’ pula, dia lupa lirik. Saya tidak kecewa, cuma saya faham apabila menyanyi secara langsung apa saja kemungkinan boleh berlaku. Masalah gugup di pentas memang tak boleh elak,” katanya memetik portal Harian Metro.
Ramli membuat kenyataan tersebut apabila diminta mengulas tentang kedudukan Hazami di tangga keempat yang tewas di tangan Lan Solo (tempat ketiga) sewaktu konsert akhir GV4 berlangsung semalam.
Dalam pada itu, Ramli berkata, persembahan Hazami jauh lebih baik sewaktu berlatih di sesi raptai.
“Pergerakan yang banyak di atas pentas sedikit sebanyak mengganggu pernafasan. Apa boleh saya katakan, kualiti persembahan Hazami jatuh 35 peratus,” katanya.
Hazami yang memperoleh markah 70 peratus, kalah tipis di tangan Lan, 70.4 peratus.
Pertandingan realiti itu turut diadili Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.
Sumber berita: Harian Metro