Dalam keterujaan menjadi bapa, aktor yang juga suami kepada Jihan Muse, Ungku Hariz mengakui sudah bersedia jika isterinya bersalin pada hari Konsert Akhir Gegar Vaganza 4 (GV4).

Ungku Hariz atau nama lengkapnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, berkata, dia mengambil langkah berjaga-jaga itu termasuk meneliti hospital terdekat di lokasi pentas akhir GV4 berlangsung.

“Memandangkan ini pengalaman pertama, saya rasa teruja dan dalam masa yang sama sedikit menggelabah.

"Saudara-mara pun dah banyak nasihat supaya saya ambil langkah berjaga-jaga kerana lihat Jihan seperti bila-bila masa sahaja boleh bersalin.

"Sebab itu saya ikut dan menemani Jihan ke Johor. Saya juga sudah tengok di mana hospital terdekat di sana.

“Saya juga sudah bersiap sedia dengan kemungkinan Jihan bersalin di pentas akhir GV,” kata Ungku Hariz dalam laporan portal Astro Gempak.

Jihan bersama pasangan hos, Nabil Ahmad bakal mengemudi Konsert Akhir GV4 yang ke udara secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, Johor pada malam ini (17 Disember 2017), jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Enam penyanyi yang bersaing merebut trofi juara ialah Liza Hanim, Hazami, Aishah, Tia Jinbara, Lan Solo dan Firman Siagian.

Dalam pada itu, Jihan berkata, dia juga menerima tanda-tanda bersalin awal walaupun jangkaan doktor pada Januari hadapan.

Jihan yang sudah hamil 33 minggu, memaklumkan, kedudukan perutnya juga sudah jatuh ke bawah!

kalau tengok perut memang dah ke bawah bersiap sedia kemungkinan jihan bersalin di gv4 akhir 2

“Pada awalnya, doktor menjangkakan saya akan bersalin pada Februari namun diawalkan memandangkan saiz bayi dalam kandungan agak besar.

“Namun begitu, saya sentiasa bersiap sedia sekiranya ditakdirkan bersalin lebih awal daripada jangkaan.

"Kalau tengok perut saya pun, memang dah nampak ke bawah,” kata Jihan.

Kredit foto: Instagram Jihan Muse

Sumber berita: Astro Gempak 




Hakcipta iluminasi.com (2017)