Seorang diktator yang gila kuasa telah menghantar orang suruhannya untuk menculik Pope, menyerbu kediamannya dan memaksanya untuk meletak jawatan dengan tuduhan palsu. Ia mungkin kedengaran seperti sebuah filem thriller tetapi kisah ini sebenarnya berlaku pada awal kurun ke-14 antara Raja Philip IV dari Perancis dan Pope Boniface VIII.
Raja Philip IV lahir pada tahun 1268 dan dia juga dikenali sebagai Philip the Fair (bukan kerana sikap adilnya tetapi wajahnya yang kacak). Menurut catatan sejarah, dia adalah seorang yang kejam, tamak dan percaya bahawa dirinya adalah pilihan Tuhan untuk memerintah.
BESARKAN TEKS A- A+
Manakala Pope Boniface VIII atau nama sebenarnya Benedetto Caetani pula dilahirkan dalam keluarga bangsawan Itali sekitar tahun 1235. Dia belajar dalam jurusan undang-undang sebelum menjadi kardinal pada 1281 dan Pope pada tahun 1294.
Boniface bukanlah seorang yang begitu baik sebenarnya. Sama seperti beberapa Pope sebelumnya, dia percaya bahawa kekuasannya adalah yang paling tinggi bahkan melebihi kekuasan raja-raja.
Pope Boniface VIII
Dia juga dikatakan seorang autokratik, pendendam dan menggunakan kedudukannya untuk menjadikan dirinya dan keluarga lebih kaya. Dia juga didakwa telah merancang pembunuhan Pope sebelum dirinya iaitu Pope Celestine V.
Seorang ahli sejarah, Stephen Howarth, berpendapat bahawa hubungan antara pemimpin-pemimpin penting ketika itu berada dalam keadaan tegang kerana Eropah tidak boleh mempunyai dua orang yang berpewatakan seperti itu.
Persengketaan awal
Perbalahan mereka berdua bermula pada tahun 1296 apabila Pope Boniface VIII telah mengeluarkan satu arahan yang melarang raja-raja dari mengenakan cukai terhadap golongan agamawan tanpa persetujuannya.
Raja Philip IV yang sememangnya memerlukan wang dan merasakan kutipan cukai adalah haknya sebagai raja pula telah membalas dengan mengeluarkan larangan mengeskport emas, perak dan barangan bernilai lain tanpa persetujuannya. Ia bertujuan untuk menghalang Pope menerima sumbangan dari Gereja Katolik Perancis.
Raja Philip IV
Pada tahun 1301, Raja Philip IV telah bertindak lebih jauh apabila dia menahan seorang uskup (bishop) yang rapat dengan Pope Boniface VIII dengan pelbagai tuduhan palsu.
Pope Boniface VII bertindak balas dengan mengeluarkan dokumen rasmi, menuntut agar uskup itu dibebaskan. Dia juga menegaskan bahawa kuasanya lebih besar berbanding Raja Philip IV dan mengancam untuk menghukum raja itu. Boniface juga telah menamakan dokumen rasmi itu sebagai 'Ausculta Fili' yang bermaksud 'Dengarlah Wahai Budak' dalam bahasa Latin.
Ketegangan semakin memuncak pada musim bunga 1303
Pada waktu ini Raja Philip IV telah mengadakan satu perhimpunan besar yang dinamakan Estates General. Dia mendakwa bahawa Boniface bukanlah seorang Pope yang sah dan harus dilucutkan jawatan. Sebagai bukti, Raja Philip dan para penasihatnya telah menyiapkan senarai tuduhan yang menentang Boniface termasuk kes penipuan, sesat, liwat dan banyak lagi.
Sementara itu, Pope Boniface VIII telah bersedia menggunakan kuasanya untuk mengecam Raja Philip IV secara terbuka kepada orang awam. Dia berhasrat untuk melakukannya pada 8 September 1303. Namun, sehari sebelum itu pihak lawannya terlebih dahulu telah memulakan langkah.
Raja Philip IV yang bosan dengan perang kata-kata itu telah memutuskan sudah tiba masanya untuk mengenakan tindakan ketenteraan terhadap Pope. Dia telah menyerahkan tugas itu kepada panglimanya yang paling setia, William de Nogaret.
De Nogaret ketika itu sudahpun mempunyai sekutu dengan Sciarra Colonna, ahli sebuah keluarga Rom yang besar pengaruhnya. Keluarga itu juga berdendam dengan Pope kerana tanah mereka dirampas dalam pertikaian mengenai penghantaran emas yang hilang.
William de Nogaret
Mereka berdua berjaya mengumpulkan kekuatan seramai beberapa ratus orang tentera. Matlamat De Nogaret adalah untuk menculik Pope dan membawanya ke Perancis untuk dibicarakan manakala Colonna pula hanya mahukan Pope mati.
Pada awal September 1303, mereka telah sampai ke Anagni, sebuah bandar di puncak bukit yang terletak kira-kira 40 batu dari Rom dan merupakan kediaman Pope Boniface VIII. Pada 7 September, mereka berjaya melepasi pintu gerbang bandar itu tanpa sekatan kerana sudah mempunyai orang dalam memudahkan kerja.
Pope dijadikan tawanan
Ketika dikepung, semua pengawal Boniface meninggalkannya kecuali dua orang kardinal sahaja yang masih berada bersamanya. Boniface juga berjaya berdamai dengan Colonna selama sembilan jam, berharap agar penduduk bandar itu akan menyelamatkannya.
Apabila itu tidak berlaku, Colonna membentangkan Boniface dengan senarai tuntuan bertulis, termasuk bahawa dia perlu melepaskan jawatannya sebagai Pope. Tidak mengejutkan, Boniface menolak tuntutan itu.
Menyedari bahawa dia tidak mempunyai peluang untuk melarikan diri, Pope Boniface VIII hanya menunggu di dalam kediamannya dan berserah kepada takdir sahaja. Pihak tentera gagal memecahkan pintu istana Boniface yang kuat tetapi mereka masuk melalui pintu Gereja Anagni yang terletak bersebelahan istana.
Ketika Colonna dan De Nogaret memasuki istananya, Boniface yang memakai jubahnya dan tiara di kepalanya sedang duduk di atas takhtanya. Boniface kemudian dikasari dan Colonna ingin menamatkan nyawa Boniface dengan menikam Pope itu tetapi dihalang oleh De Nogaret.
Sciarra Colonna
Pope Boniface VIII ditahan selama tiga hari di istananya sementara pasukan tentera itu menjarah istananya untuk barangan berharga. Kemudian, penduduk tempatan datang membantu Boniface dan mengusir penyerang.
Apabila berita itu sampai ke Rom, satu pasukan kesatria dihantar untuk membawa Boniface pulang dengan selama ke Vatican. Namun, ketika menjadi tahanan selama tiga hari sebelumnya, kesihatan Pope Boniface VIII menjadi semakin buruk dan dia meninggal sebulan kemudian dan dimakamkan di Vatican.
Dendam belum selesai
Biasanya, kisah itu mungkin berakhir di sini. Tetapi bagi Raja Philip IV, dia belum lagi selesai dan masih membara untuk memusnahkan reputasi mendiang Pope Boniface VII.
Pengganti segera Boniface sebagai Pope ialah Benedict XI. Dia meninggal dunia secara tiba-tiba setelah lapan bulan menyandang jawatan itu, kemungkinan besar diracun atas perintah Raja Philip IV.
Pada tahun 1305, seorang uskup Perancis bernama Bertrand de Got telah dipilih sebagai Pope. Ramai yang menganggap ia adalah percaturan yang dibuat berdasarkan campurtangan raja Perancis itu.
Bertrand de Got yang juga dikenali sebagai Pope Clement V terbukti lebih baik daripada pendahulunya dalam menjalinkan hubungan dengan Raja Philip IV. Pope Clement V juga telah memindahkan istananya dari Rom ke Perancis. Pada 1309, dia berpindah pula ke Avignon, Perancis, dan kekal sebagai tempat tinggal Pope selama 70 tahun sebelum dipulangkan semula ke Rom.
Sementara itu, Raja Philip IV yang masih berdendam dengan Pope Boniface VIII telah menuntut agar mayat bekas Pope itu digali dan dibakar. Pope Clement V yang juga terikat dengan pihak gereja akhirnya terpaksa akur dengan desakan Raja Philip IV dan bersetuju untuk mengatur perbicaraan terhadap mendiang Boniface pada 1310.
Makam Pope Boniface VIII
Perbicaraan itu berlangsung sehingga musim sejuk 1311. Akhirnya, tiada kata persetujuan atau bukti kukuh yang membuktikan Pope Boniface VIII benar-benar bersalah. Untuk menenangkan Raja Philip IV, Pope Clement V akhirnya mengeluarkan satu dokumen rasmi yang memuji raja itu, membatalkan perintah Boniface terhadapnya dan membebaskan raja itu daripada salah laku dalam kejadian penculikan pada 1303.
Bagi mending Pope Boniface VIII pula, mayat dan tulang-temulangnya berjaya terlepas daripada kemurkaan Raja Philip IV dan kini selamat dikebumikan semula di kawasan Vatican Grottoes of Saint Peter's Basilica di Rom.
Rujukan:
1. History