Credit Photo : History
Abdul Rahman Ibrahim Ibn Sori mungkin merupakan salah seorang putera raja Muslim yang paling malang dalam sejarah. Dia tidak menghabiskan sebahagian besar usia dewasanya memerintah negara, sebaliknya bekerja sebagai seorang hamba abdi di ladang kapas di Mississippi Delta, Amerika. Di situ jugalah dia menemui isterinya, Isabella, dan mereka telah dikurniakan dengan sembilan orang anak.
BESARKAN TEKS A- A+
Beliau telah dilahirkan pada tahun 1762 dan merupakan anak kepada Raja Sori yang memerintah rantau Fouja Djallon yang kemudiannya dikenali sebagai Tanah Fulbe dan Jalunke.
Ketika Putera Ibrahim berusia 26 tahun, beliau yang sedang berkhidmat dalam pasukan tentera bapanya telah diserang hendap dan ditangkap. Putera yang malang itu kemudian dijual dan dipaksa untuk menjadi hamba abdi.
Penduduk di Fouta Djallon. Credit Photo : Jason Florio
Kisah Putera Ibrahim ini ada kaitannya dengan ketegangan yang sedang berlaku antara penduduk Fulbe dan Jalunke yang mendiami wilayah tersebut pada waktu itu. Mereka adalah dua kumpulan dengan kepercayaan dan agama yang berbeza. Majoriti kaum Fulbe adalah beragama Islam manakala Jalunke pula adalah golongan bukan Islam.
Menurut Profesor Terry Alford dalam bukunya, Prince Among Slaves, ketika Putera Ibrahim membesar, ketegangan antara kedua-dua kumpulan ini telah meningkat hingga ke tahap berlakunya peperangan berikutan pengharaman solat di kawasan awam yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jalunke.
Putera Ibrahim yang merupakan ketua pasukan tentera Fulbe ketika itu berjaya ditangkap dan dilelong dengan cepat di pasaran hamba abdi. Pada tahun 1788, putera itu tiba di ladang di Nantchez, Mississippi, Amerika Syarikat yang dimiliki oleh Kolonel Thomas Foster.
Ladang Kapas di Amerika. Photo Credit : Tbot Baggin
Namun, apa yang mungkin membantu Putera Ibrahim ketika berada di ladang itu adalah kemahirannya dalam bidang pertanian dan juga kepimpinan. Oleh itu, Kolonel Foster telah melantiknya menjadi salah seorang penyelia di ladang kapas itu.
Isteri Putera Ibrahim iaitu Isabella juga seorang hamba di ladang yang sama. Mereka berdua mendirikan rumah tangga sekitar tahun 1794 dan dikurniakan lima orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.
Akan tetapi, menetap dan membesarkan keluarga di ladang kapas sebagai seorang hamba abdi bukanlah sesuatu yang mudah. Putera Ibrahim pernah membuat beberapa percubaan untuk mendapatkan kebebasan dan meninggalkan ladang itu tetapi ia gagal dan tidak berjalan seperti yang dirancang.
Pekerja ladang kapas di Amerika. Credit Photo : History
Harapan pertama mereka bermula selepas menerima lawatan dari Dr. John Cox, seorang pakar bedah Ireland yang mengenali Putera Ibrahim. Menurut beberapa sumber, Dr. Cox mengenali Putera Ibrahim kerana sebelum ini dia pernah mengembara ke tanah air yang diperintah oleh Raja Sori.
Ketika berada di sana, Dr. Cox telah jatuh sakit selama hampir setengah tahun. Keluarga Ibrahim yang merupakan keluarga diraja telah menjaga doktor itu sehingga sembuh. Kini, tiba masanya untuk Dr. Cox membalas budi baik itu.
Pada mulanya, Dr. Cox telah menawarkan untuk membeli dan menjadi pemilik baru Putera Ibrahim tetapi telah ditolak oleh Kolonel Foster. Dr. Cox mencuba pelbagai perkara yang boleh difikirkannya termasuk memujuk Kolonel Foster, melobi di kalangan pegawai tinggi tempatan dan memberi tekanan untuk pembebasan Putera Ibrahim.
Namun, semua usahanya itu gagal dan Putera Ibrahim tetap diperhambakan. Akhirnya Dr. Cox meninggal dunia pada tahun 1816. Sepuluh tahun kemudian, Putera Ibrahim telah menulis sepucuk surat dalam Bahasa Arab kepada sanak-saudaranya di Afrika Barat.
Lelaki yang menerima surat itu di Natchez ialah Andrew Marshchalk dan dia telah menghantar satu salinannya kepada Senator Thomas Reed. Para pegawai kerajaan di Washington D.C. beranggapan Putera Ibrahim berasal dari Maghribi, jadi mereka menghantar surat itu ke negara itu dan akhirnya ia sampai di tangan Sultan Maghribi ketika itu.
Walaupun pada hakikatnya bahawa Putera Ibrahim bukanlah berasal dari Maghribi, Sultan dilaporkan berminat dalam kes itu dan akhirnya menubuhkan sebuah petisyen baru yang ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, John Quincy Adams.
John Quincy Adams. Credit Photo : JStor
Bermula saat inilah, nasib putera Afrika yang dilupakan itu mula berubah. Proses pengumpulan dana untuk membebaskannya dari penghambaan sedang dilakukan. Walaupun dana yang dikumpul itu tidak mencukupi untuk menebus keseluruhan keluarkanya, tetapi ia cukup untuk membebaskan Ibrahim dan isterinya untuk pulang ke Afrika dengan menaiki kapal.
Putera Ibrahim dan isterinya memulakan perjalanan pulang ke Afrika pada musim panas tahun 1829 selepas empat dekad menjadi mangsa penghambaan di Amerika Syarikat. Mereka berdua menuju ke kampung di mana Ibrahim dilahirkan iaitu Timbo yang kini dikenali sebagai Republik Guinea.
Tragisnya, Putera Ibrahim kehilangan nyawanya pada 6 Julai 1829 di Moravia, Liberia, tidak jauh dari tempat asalnya. Putera Ibrahim berusia 66 tahun ketika dia meninggal dunia. Dia tidak sempat menjadi raja yang boleh meninggalkan kerajaan sebagai legasi. Apa yang ada hanyalah cahaya di sebalik kisah gelap dalam sejarah kemanusian mengenai penghambaan.
Hanya dua daripada sembilan orang anaknya yang dimerdekakan dan berjaya mengembara ke Afrika, makanala selebihnya terus diperhambakan di Amerika Syarikat. Kisah Putera Ibrahim juga diadaptasikan dalam filem Prince Among Slaves.
Rujukan:
2. History