Sekitar awal dekad 2000, masalah jangkitan HIV di kalangan negara-negara Afrika berada dalam situasi membimbangkan, khasnya di Swaziland.
Swaziland pada era tersebut mempunyai kadar jangkitan kedua tertinggi di benua Afrika, mencapai kadar 38.6% daripada keseluruhan populasi. Tinggi kan?
Lebih menakutkan, di kalangan anak muda Swaziland berusia 15 ke 19 tahun usia, 29% daripada mereka sudah pun positif HIV. Di kalangan wanita yang mengandung, 42% sudah dijangkiti.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi membendung masalah ini, Raja Mswati III pemerintah kerajaan Swaziland memperkenalkan kembali undang-undang lama negara mereka yang dinamakan sebagai 'umchwasho' atau 'fasa melindungi kesucian diri'.
Peraturan ini mewajibkan semua anak gadis berusia 18 tahun ke bawah pada 9 September 2001 melindungi diri daripada mereka menjalinkan hubungan seksual selama 5 tahun; sehinggalah tarikh 19 Ogos 2005.
Larangan ini diharapkan kerajaan beliau berjaya menurunkan kadar jangkitan yang merebak di kalangan rakyat mereka. Namun...
Tradisi wanita Swaziland 'berpantang' hubungan dengan lelaki
Raja Mswati III datang daripada keluarga yang terkenal dengan amalan poligami.
Dia mewarisi takhta daripada ayahnya, Raja Sobhuza II (gambar atas) yang mempunyai 125 orang isteri sepanjang 82 tahun dia memegang kuasa.
'Umchwasho' merupakan satu tradisi masyarakat Swazi yang telah diamal sekian lama, sempena meraikan sesuatu upacara besar-besaran; syaratnya ditentukan oleh pemerintah semasa.
Di bawah pemerintahan 82 tahun Sobhuza, tradisi itu telah pun diperkenalkan beberapa kali, bermula pada tahun 1935 di mana semua anak dara Swaziland diwajibkan 'berpuasa' dari apa saja bentuk hubungan dengan lelaki serta memakai perhiasan yang menandakan status mereka sebagai anak dara.
Kali terakhir 'umchwasho' dilaksana semasa era Raja Sobhuza II memerintahkan pada tahun 1971, bagi meraikan hari kemerdekaan mereka dan selepas anaknya Mswati III menaiki takhta pada tahun 1986 - tiada arahan serupa dikeluarkan.
Namun masalah penyebaran HIV yang terlalu meruncing memerlukan tindakan ekstrim diperkenalkan.
Raja Mswati mengarahkan 'umchwasho' diperkenalkan kembali dengan tradisi denda mula dikuatkuasakan pada tahun 2001; mana-mana anak gadis dan wanita yang berlum berkahwin menjalinkan hubungan dengan lelaki lain serta ingkar akan arahan pemerintah, akan dikenakan denda membayar seekor lembu atau nilai wang yang setara.
Kritikalnya keadaan Swaziland ketika itu, populasi mereka yang sepatutnya dijangkakan naik ke tahap 1.2 juta penduduk, turun ke paras 970,000 sahaja dan setiap tahun lebih 20,000 orang menghidap jangkitan penuh AIDS.
Solusi 'mudah' kepada masalah besar
Krisis negara akibat serangan HIV ini bagaimanapun tampak tidak memperlahankan kekeliruan mesej yang disampaikan pemerintah Swaziland.
Dalam rakyat mereka sibuk bergelut dengan masalah penularan wabak dan pelaksanaan 'umchwasho', keluarga di-raja Swaziland dilaporkan masih berupaya membelanjakan lebih RM190 juta untuk membeli pesawat peribadi baru.
Lebih mengundang kemarahan orang ramai - kerajaan Swaziland mengumumkan mereka akan menarik balik dana yang diperlukan bagi membantu pesakit AIDS di sana, disebabkan pandangan kerajaan mereka merasakan masalah itu datang daripada kedegilan orang ramai sendiri yang enggan melindungi diri mereka.
Pengenalan 'umchwasho' dilihat mampu menjadi solusi utama kepada semua masalah.
Semua gadis berusia bawah 18 tahun dan wanita bujang mula akur dengan arahan ini, memakai kalung perhiasan yang diwajibkan serta mengelakkan diri mereka daripada golongan lelaki kerana tidak mahu disaman.
Apa yang membuatkan orang ramai mula marah dengan arahan ini selepas diperkenalkan - Raja Mswati III sendiri melanggar arahannya apabila dia memilih seorang gadis berusia 17 tahun sebagai bakal pasangannya yang ke-13!
Tradisi pesta tarian bagi Raja memilih bakal isteri
Setiap beberapa tahun sekali, Raja Mswati III akan menggunakan pesta tarian yang telah diamalkan sekian lama bagi menghormati ibu kepada raja Swaziland, untuk membolehkan dia memilih gadis yang ingin dikahwininya.
Setiap kali pesta ini dianjurkan sepanjang pemerintahannya, berpuluh ribu gadis dari pelusuk negara itu akan hadir cuba memikat Raja Mswati dengan harapan akan diangkat sebagai salah seorang isterinya.
Tradisi ini sebenarnya bukan saja diamalkan di Swaziland bahkan di beberapa buah negara Afrika lain, memerlukan gadis-gadis ini menggoda Raja atau pemerintah mereka dengan menari di khalayak ramai tanpa memakai baju dan hanya memakai sehelai skirt.
Bagi acara tahun 2001, selepas menyemak kembali rakaman video semua gadis yang hadir - Raja Mswati III memilih 3 orang gadis, salah seorang daripadanya seorang gadis berusia 16 tahun (semasa acara) bernama Noliqhwa Ntentensa.
Ketiga-tiga gadis diculik (ya, diculik) tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, di bawa untuk hadir ke istana sebelum diperiksa.
Dalam pemilihan tahun tersebut, hanya Noliqhwa dan seorang lagi diterima.
Menurut undang-undang Swaziland, seorang wanita hanya boleh dianggap layak menjadi isteri kepada Raja Swaziland selepas dirinya dibuktikan mampu mengandung, jadi Raja Mswati III dan Noliqhwa perlu menjalinkan hubungan terlebih dahulu sebelum remaja itu diumumkan sebagai salah seorang isteri beliau.
Pengisytiharan ini menimbulkan kontroversi besar kerana dalam masa yang sama 'umcwasho' masih lagi dikuatkuasakan: kedua-duanya masih tertakluk dalam peraturan serupa.
Meredakan kemarahan orang ramai
Selepas kantoi kerana cakap tak serupa bikin dan melanggar arahan yang dikuatkuasakan kerajaan sendiri, Raja Mswati memilih untuk membayar denda sebanyak 1 ekor lembu yang diserahkan kepada keluarga si gadis ekoran daripada protes di hadapan pintu istana.
Menurut jurucakap kerajaan Swaziland, contoh yang ditunjukkan oleh Raja Mswati III turut tertakluk dikenakan tindakan saman, membuktikan undang-undang negara itu digunapakai kepada semua golongan; termasuklah raja mereka sendiri.
Bagaimanapun saman itu jelas tidak mengajar Raja Mswati.
Dalam beberapa pesta tarian selepas itu semasa tempoh 'umchwasho' masih berjalan, Raja Mswati meneruskan tabiat sama memilih beberapa orang gadis sebagai calon isteri, melanggar peraturan negaranya sendiri.
Pada tahun 2003, dia dilaporkan membayar 5 ekor lembu sebagai denda kerana melanggar undang-undang tidak menyetubuhi gadis, ekoran terlalu ramai gadis yang mahu menjadi isterinya.
Pada tahun 2005, statistik berkenaan jangkitan HIV dan penyakit AIDS di negara itu tidak menampakkan sebarang perubahan, membuktikan peraturan itu gagal sama sekali walaupun lebih 4 tahun berkuatkuasa.
Kerajaann Swaziland menarik balik undang-undang itu beberapa minggu sebelum ketibaan sambutan pesta tarian bagi tahun 2005, mungkin untuk mengelakkan kontroversi sama melibatkan Raja Mswati dan anak dara berulang lagi agaknya.
Langkah baru yang lebih berkesan
Melihat tiada perubahan berlaku daripada larangan menjalinkan hubungan seks, kerajaan Swaziland memperkenalkan beberapa dasar baru pada tahun 2015 yang diharapkan akan mengubah nasib mereka.
Raja Mswati III melancarkan dasar baru yang menggalakkan penggunaan kondom serta amalan seks selamat pada tahun 2016, setakat ini dilaporkan berjaya mengurangkan kadar jangkitan mereka daripada 38.6% pada awal dekad 2000 kepada 27% pada tahun 2018; dengan sasaran sifar jangkitan HIV/AIDS pada tahun 2022.
Tradisi pesta tarian yang dimanfaatkan sepenuhnya Raja Mswati III dalam memilih wanita idamannya masih diteruskan dan ketika artikel ini ditulis, dia mempunyai 15 orang isteri dan 23 orang anak.
Tidak ada lagi lembu perlu dikorbankan hanya untuk memenuhi tuntutan nafsu dirinya, yang menjadi kegilaan anak-anak gadis di sana.
Rujukan