Oleh pada 12 Sep 2018 kategori

Universiti al-Qarawiyyin (juga dieja sebagai al-Quaraouiyine dan al-Karaouine) merupakan universiti tertua dalam dunia yang masih beroperasi dan menghasilkan graduan sehingga kini. Universiti yang terletak di Fez, Maghribi itu telah diasaskan pada tahun 859 oleh seorang wanita Muslim bernama Fatima al-Fihri.

Universiti yang diiktiraf oleh UNESCO dan juga Rekod Dunia Guinness sebagai institusi pendidikan pertama yang memberikan ijazah di dunia ini pada mulanya hanya memberi pengkhususan dalam bidang sains keagamaan. Lama-kelamaan, ia mula menawarkan kelulusan dalam pelbagai bidang pengajian seperti sains tulen, bahasa, astronomi dan sebagainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perpustakaan tertua

Ia juga merupakan lokasi perpustakaan tertua di dunia yang menempatkan lebih 4,000 koleksi buku yang sukar dijumpai dan manuskrip lama Arab yang ditulis oleh cendekiawan tersohor di rantau itu.

antara manuskrip lama yang disimpan di perpustakaan al qarawiyyin fez maghribi

Antara manuskrip yang tersimpan termasuklah al-Quran versi kurun ke-9 yang ditulis menggunakan kaligrafi kufi di atas kulit unta. Al-Quran ini dihadiahkan oleh Sultan Ahmed al-Mansur al-Dhahabi kepada pihak universiti pada tahun 1602.

Selain itu, teks asal karya "Muqaddimah" yang ditulis tangan oleh Ibnu Khaldun dari kurun ke-14 serta penulisan dalam kajian astronomi oleh al-Farabi dari kurun ke-12 yang menunjukkan arah planet Musytari lengkap dengan lakaran tepat juga ada tersimpan di sini.

antara buku dan manuskrip yang terdapat di perpustakaan al qarawiyyin tertua di dunia

Sejarah universiti

Setelah keluarga Fatima berpindah dari al-Qayrawan (kini Tunisia), Fatima al-Fihri yang mewarisi harta kekayaan hasil dagangan ayahnya telah mengasaskan universiti itu yang bermula sebagai sebuah masjid.

bahagian dalam perpustakaan tertua dunia

Dalam satu dokumentari bertajuk "The Golden Age of Islam" yang ditayangkan di Channel 5 di Perancis, Fatima digambarkan sebagai seorang wanita muda yang sentiasa berminat menimba ilmu dan ingin mempelajari segalanya tentang dunia.

Pembinaan masjid diperhatikan dan diikuti sendiri oleh Fatima dari mula sehingga selesai dibina. Beberapa tahun kemudian, gadis yang mahir dalam bidang fekah dan hadith itu telah menjemput ramai ilmuwan terkenal untuk datang mengajar di madrasah itu. Malah, beliau sendiri menghadiri kelas dan kuliah yang diadakan.

universiti tertua dunia al qarawiyyin diasaskan oleh seorang wanita islam

Sehingga kini, walaupun sudah berusia lebih 1,000 tahun, Universiti al-Qarawiyyin masih lagi beroperasi dan merupakan salah satu institusi pendidikan dan keagamaan paling ulung di dunia. Kampus induknya telah dipindahkan ke bahagian lain di bandar Fez namun masjid dan perpustakaannya masih kekal berada di kompleks lama.

Proses pemulihan

Sejak tahun 2012, seorang lagi wanita Muslim iaitu seorang arkitek Kanada-Maghribi, Aziza Chaouni mengetuai proses pemulihan dan pembinaan semula perpustakaan yang telah mengalami banyak kerosakan akibat cuaca dan kelembapan.

bahagian dalam bangunan universiti al qarawiyyin perpustakaan tertua dunia

Menurut Aziza, sememangnya bangunan tersebut telah menjalani pelbagai proses pemulihan sepanjang tempoh ini, namun ia masih mengalami banyak masalah dengan struktur utama, kekurangan penebat serta kekurangan infrastruktur seperti sistem saliran yang tersekat, jubin pecah, rasuk kayu retak, wayar elektrik yang terdedah dan sebagainya.

Program pemulihan perpustakaan tertua ini akan mempersiapkan bangunan tersebut dengan sistem panel berkuasa solar, sistem perparitan yang baru, kunci digital untuk akses kepada bilik buku dan rekod terkawal dan juga penyaman udara yang akan membantu mengawal kelembapan serta melindungi bahan bacaan di perpustakaan.

proses pemulihan buku dan manuskrip di perpustakaan tertua dunia 451

Sebelum ini, perpustakaan tersebut hanya dibuka kepada para sarjana dan penyelidik sahaja. Kini, selepas lebih tiga tahun menjalani proses pemulihan, ia mempunyai bahagian baru yang terbuka kepada orang awam. Di kawasan baru ini juga disediakan kemudahan lain seperti sebuah kafe kecil serta bilik pameran.

Terima kasih kepada dua wanita ini dan usaha gigih mereka untuk memelihara ilmu pengetahuan, sejarah dan pendidikan untuk dunia. Semoga lebih ramai wanita yang terinspirasi untuk menjadi seperti mereka.

Rujukan:

1. Guinness World Record 

2. The Associated Press

3. Manchester University Press

4. Atlas Obscura

5. TED.com

6. L’histoire-de-Fatima-el-Fihriya

7. Muslim Heritage




Hakcipta iluminasi.com (2017)