Oleh pada 25 Nov 2017 kategori

proton emas rekaan warga itali

Rakyat negara kita selalu mengatakan harga kereta di negara tinggi kerana cukai yang tinggi dikenakan. Memang ada benarnya dakwaan itu.

Namun isu harga kereta boleh menjadi tinggi sebenarnya agak sukar untuk dijawab dan bukannya boleh dinilai sekadar kerana cukai sahaja. Pertama sekali, kita perlu memahami: kerana wujudnya industri kereta di negara kita, kerajaan Malaysia mempunyai pegangan penting dalam industri tersebut untuk dijayakan. Oleh itu, tulisan ini harapnya dielak dinilai dari aspek politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pasti masih ramai yang menganggap, Perodua Myvi sebagai contoh berharga RM46,000, sebenarnya berharga RM23,000 sahaja kerana kewujudan cukai. Separuh daripada harganya terpaksa dinaikkan. Ini tidak benar sama sekali.

Ini kerana untuk mengetahui berapa harga sebenar sesebuah kereta tanpa cukai, kita boleh saja melihat laman web Perodua dan membandingkan harga kereta di Langkawi atau Labuan misalnya yang tiada cukai dikenakan (kecuali cukai jualan) dengan harga di lokasi lain yang dikenakan duti eksais.

CEO Institut Automotif Malaysia, Dato' Madani Sahari menegaskan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah pun memperkenalkan bermacam langkah untuk memperkembangkan kajian dan penyelidikan serta pengembangan vendor dalam negara, yang akan merendahkan jumlah duti eksais yang dikenakan - sebagai insentif membangunkan industri dalam negara disamping menurunkan harga jualan kereta.

DUTI EKSAIS PUNCA SEBENAR?

perodua glocal konsep kereta

Kesemua unit yang dipasang dalam negara berkategori Completely Knocked Down atau CKD sama ada kereta tempatan ataupun jenama luar, layak untuk mendapat pengecualian ke atas jumlah duti eksais yang dikenakan. Untuk mengatakan duti eksais dikenakan secara sekata pada semua jenis model adalah tidak benar. Perodua sebagai contoh, layak mendapat bermacam insentif atas usaha mereka menjalankan kajian dan penyelidikan di Rawang yang melayakkan mereka mendapat pelepasan duti eksais ke atas kenderaan mereka.

Bagi Proton pula yang menjalankan kajian dan penyelidikan secara menyeluruh (sebelum penjualan ke Geely) rebat yang dikenakan pada kenderaan mereka lebih tinggi, membolehkan Proton menjual kereta berbentuk sedan lebih murah berbanding kereta-kereta Perodua.

Apa yang cuba nak disampaikan di sini adalah - kereta nasional atau tempatan kita, kos pembikinannya memang tinggi dari awal.

Jenama-jenama luar pula tidak nampak insentif mengapa mereka perlu membawa pusat pembangunan kajian dan penyelidikan mereka ke Malaysia, bagi merendahkan harga jualan kereta mereka.

Ini kerana tidak ada keperluan untuk mereka berbuat demikian. Kos yang diperlukan di Malaysia berkemungkinan besar lebih tinggi berbanding di Thailand, misalnya dan teknologi yang ada di Malaysia mungkin lebih rendah berbanding di China, Eropah atau Korea Selatan.

Kenapa mahu berpindah ke Malaysia hanya untuk turunkan harga jualan kereta mereka, jika pembeli di Malaysia masih lagi mahu membeli pada harga yang lebih tinggi?

PUNCA SEBENAR TINGGINYA HARGA KERETA

proton pickup trak konsep

Dari sini, perbincangan ini akan menjadi lebih menarik.

Idea kita selama ini adalah harga kereta jenama luar tinggi kerana wujudnya duti eksais, memang tidak dapat dinafikan ada kebenarannya. Namun, ia tidak menceritakan keseluruhan isu.

Tahukah anda, di dalam pengkelasan duti kenderaan negara kita, tidak ada sebarang perbezaan kadar cukai di antara kereta tempatan dan kereta jenama luar yang masuk ke Malaysia, yang kemudiannya perlu di pasang semula di Malaysia? Ramai yang tidak mengetahui tentang perkara ini. Jadi, sekarang mari kita fokuskan pada industri automotif tempatan.

Untuk sebuah syarikat balik modal dalam sesebuah tahun pengeluaran, mereka perlu mengeluarkan 1 juta unit kereta setahun dan angka yang dicapai oleh Perodua dan Proton hanyalah sekitar 200 ribu unit setahun. Untuk terus bersaing, sebuah syarikat pengeluar kereta perlu mengeluarkan 3 siri model yang perlu digantikan setiap 5 tahun sekali. Itu angka-angka yang mustahil dapat dicapai oleh pengeluar kereta negara, khasnya Proton kerana pasarannya lebih kecil berbanding Perodua.

Ini punca sebenar mengapa harga kereta mahal di Malaysia.

Pengeluar kereta tempatan negara kita jelas sekali tidak akan tidak mampu bersaing dengan jenama luar dari segi harga kerana kos pembangunan dan penggantian model-model ini tidak akan sempat balik modal bagi pengeluar kereta tempatan, jadi negara kita perlu menyediakan ruang yang lebih baik untuk mereka.

PERSAINGAN YANG TIDAK SIHAT

proton emas kereta konsep

Perodua bernasib baik kerana berkongsi kepakaran dengan Toyota dan Daihatsu jadi perkongsian teknologi dapat membantu mengurangkan kos. Bgaimanapun bagi Proton yang dahulunya sendirian, mereka hanya dapat mengharapkan jualan bagi menampung semula kos penyelidikan yang telah dikeluarkan.

Oleh kerana kos pusingan ini tinggi, beban kewangan itu terpaksa dialihkan pada pelanggan dengan harga kereta terpaksa dinaikkan. Perodua bernasib baik turut sama dipasarkan di Indonesia dan beberapa negara lain, atas jenama Toyota dan Daihatsu. Atas sebab inilah Proton sukar bersaing dengan pengeluar lain, termasuklah juga Perodua.

Oleh kerana harga pasaran di Malaysia ini banyak dipengaruhi oleh harga jualan model Proton dan Perodua, ini menyebabkan jenama-jenama lain mampu meletakkan harga yang lebih tinggi pada harga jualan mereka di Malaysia.

Secara tidak rasmi, harga jualan kereta tempatan menjadi indikator berapakah harga jualan kereta jenama lain. Ini didorong oleh sentimen prestij jenama luar negara serta tahap teknologi yang mampu ditawarkan oleh jenama luar kepada bakal pembeli Malaysia.

Lihatlah sendiri pengguna Malaysia juga sedikit sebanyak ada yang bersetuju dengan justifikasi mengapa jenama luar berharga lebih mahal berbanding kereta tempatan, kerana kita secara automatik akan membandingkan apa yang ditawarkan oleh jenama luar berbanding jenama tempatan. Jika kita semak, sudah ada dua syarikat jenama luar yang lebih menjadi pilihan warga tempatan berbanding Proton, walaupun harganya lebih mahal.

RAKYAT BERKORBAN ATAU KORBANKAN INDUSTRI KERETA?

perodua buddyz kereta konsep

Selagi Perodua dan Proton tidak mampu bersaing dengan jenama luar dari segi teknologi, kekuatan jenama serta mampu menurunkan kos pengeluaran mereka, pasti masih ramai yang menganggap lebih berbaloi membeli kereta jenama luar, walaupun harganya lebih tinggi.

Ini kerana pembeli sendiri percaya yang harga kereta jenama luar itu sepadan dengan apa yang kita dapat. Itulah yang dapat dilihat di Malaysia ketika ini - Proton dikelaskan sebagai kenderaan 50 ribu sementara Honda dan Toyota pula dalam kategori 70 ribu, walaupun asasnya ketiga-tiganya menawarkan pakej yang hampir serupa. Perbezaan 20 ribu itu dikatakan berbaloi untuk dibayar kerana masyarakat lebih yakin dengan jenama luar.

Jika anda mengatakan harga kereta berbentuk pasang siap di luar atau CBU sepatutnya lebih rendah dan anda menyalahkan duti eksais, ya memang benar. Memang itu semua salah duti eksais. Kami setuju 100% tetapi kita kekalkanlah perbincangan dalam konteks 'kereta untuk semua orang' yakni kereta bawah RM100 ribu.

Itulah cabaran membangunkan industri kereta dalam negara yang kecil seperti kita, apabila masyarakat kita mampu nampak nilai 'value' yang lebih baik walaupun perlu lebih banyak berbelanja.

Sukar untuk Perodua dan Proton bersaing jika rakyat sanggup membeli Honda Jazz berbanding Proton Iriz ketika harganya berbeza, bagaimana pula jika harganya sama?

Apa yang anda jangkakan akan berlaku?

Olahan semula artikel

Explaining The Mystery Behind High Car Prices in Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)