Oleh pada 25 Jan 2020 kategori

Wabak coronavirus yang melanda wilayah Wuhan di China dikatakan sedang merebak (semasa artikel ini ditulis) dan dijangka mampu tersebar ke seluruh dunia.

Di negara kita juga laporan penemuan pembawa pertama virus tersebut, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun mengesahkan tiga individu yang kini telah dikuarantin di Sungai Buloh - berkait dengan satu penemuan 2 pembawa di Singapura melibatkan kumpulan pelancong 10 orang individu kesemuanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Banyak laporan berkenaan wabak dari Wuhan ini dilaporkan dengan pelbagai sumber dijadikan rujukan. Apa yang menarik berkenaan kes ini adalah berkaitan dengan jenis virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah lagi direkodkan penemuannya kerana merupakan gabungan coronavirus daripada kelawar dengan sejenis lagi virus yang tidak diketahui puncanya.

Bagaimanakah virus ini boleh terhasil? Jom kita pelajari serba sedikit tentang kisah disebalik bagaimana coronavirus ini boleh terhasil.

Apa itu coronavirus?

rupa coronavirus

Walaupun jarang kita dengari, coronavirus merupakan sejenis virus yang sebenarnya tidak berbahaya. Sudah diketahui sejak sekian lama coronavirus mampu menyebabkan jangkitan pada pesakit, menyebabkan masalah pada bahagian hidung, sinus dan tekak tetapi tidak dianggap mampu membawa maut.

Bagaimanapun, wujud beberapa jenis coronavirus yang direkodkan sangat berisiko tinggi pada manusia. Antaranya adalah coronavirus yang mampu menyebabkan penyakit yang kita kenali sebagai 'Middle East Respiratory Syndrome' atau MERS, yang muncul di Arab Saudi pada tahun 2012 sebelum merebak ke negara lain.

Kes SARS atau 'sever acute respiratory syndrome' yang pernah mengejutkan negara kita juga telah berlaku pada tahun 2003 sehingga mengorbankan 774 orang. MERS dan SARS merupakan dua contoh jangkitan berbahaya yang disebabkan oleh coronavirus. Berbeza dengan jangkitan coronavirus lain yang ringan dan mampu dirawat dengan rawatan ubat biasa, SARS dan MERS mempunyai risiko lebih besar serta mampu membawa maut.

Ditemui kali pertama pada tahun 1960, coronavirus mendapat namanya daripada bentuknya yang seakan-akan mempunyai mahkota - jadi virus itu dinamakan sebagai 'corona' yang membawa makna mahkota atau 'crown.'

Virus ini mampu merebak melalui udara tercemar selepas seseorang pembawa bersin atau batuk. Selain itu sentuhan seseorang pembawa juga mampu menyebabkan jangkitan pada orang lain.

Bermulanya penyebaran 2019-nCoV

punca sebenar corona virus china makanan pelik ular

Pada 12 Disember 2019, Wuhan Municipal Health Commission (WMHC) melaporkan berkenaan 27 kes pneumonia melibatkan 7 orang yang berstatus kritikal. Kesemuanya mempunyai satu persamaan - mereka atau orang berdekatan mereka pernah mengunjungi sebuah pasar basah Huanan di wilayah tersebut, yang menawarkan jualan daging mentah.

2 minggu kemudian pada 3 Januari 2020, WHMC melaporkan 44 kes keseluruhan dengan 11 kritikal, sebelum dua hari kemudian meningkat lagi kepada 59 kes. Kesemua pesakit diuji dengan ujian MERS, SARS dan influenza sebelum WHO berjaya membuktikan peranan virus 2019-nCoV atau '2019 novel coronavirus' dalam setiap kes, berdasarkan kepada sampel virus yang diambil dari salah seorang pesakit.

Dengan pengetahuan lebih mendalam terhadap virus jenis baru ini, jumlah pesakit mula meningkat kepada 217 orang dengan 9 kematian dilaporkan, sehingga 20 Januari 2020.

Siasatan yang dijalankan di pasar basah Huanan menunjukkan punca utama bagaimana virus itu disebarkan. Pasar tersebut sangat aktif dengan jualan haiwan-haiwan hidup untuk dijadikan makanan seperti ular, kelawar, katak, landak dan arnab yang dipercayai menjadi punca utama datangnya virus tersebut.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan-haiwan yang dijual di situ beserta dengan sampel 2019-nCoV yang diperolehi menunjukkan satu kemungkinan - 2019-nCoV terhasil daripada gabungan sejenis virus bawaan kelawar dengan sejenis virus bawaan ular.

Berdasarkan kepada bedah siasat yang telah dilakukan terhadap cara virus tersebut merebak dalam badan individu yang telah meninggal dunia, penyelidik mendapati telah berlakunya pertukaran virus di antara ular yang dijangkiti dengan manusia, seterusnya menyebabkan apa yang digelarkan sebagai 'cross species transmission' atau jangkitan rentas spesis.

Dua spesis ular sebagai punca

jenis ular dipercayai punca coronavirus

Hasil daripada kajian, dua spesis ular yang banyak hidup di Wuhan dikenalpasti sebagai pembawa - 'bungarus multicinctus' atau 'many-banded krait' dan satu lagi spesis iaitu 'naja atra' atau 'ular tedung China' dipercayai merupakan sumber utama virus tersebut.

Walaupun demikian, hasil kajian yang dijalankan dibidas pakar-pakar genetik dan virus dari seluruh dunia, antaranya seorang pakar zoologi dari University of Sydney, Dr. Edward Holmes yang merupakan pakar kepada kajian virus. Menyifatkan kajian tersebut dijalankan secara terburu-buru serta gagal mengambil kira banyak faktor lain, Dr. Holmes membidas kekurangan penyelidikan yang dijalankan tiga pengkaji utama dari Peking University of Health Science Center School.

Ini berdasarkan kepada ketiadaan rekod yang menunjukkan bahawa haiwan reptilia berdarah sejuk seperti ular, mampu menjadi pembawa kepada mana-mana jenis coronavirus - apatah lagi menjangkitkannya kepada manusia. Majoriti coronavirus yang telah ditemui, menunjukkan jangkitan hanya mampu mengenai haiwan mamalia sahaja.

Beberapa pengkaji lain turut sama berkongsikan pandangan, mengkritik kajian yang telah dilaporkan secara tergesa-gesa tanpa benar-benar memberikan masa mencukupi untuk disemak dan diperbetulkan.

Sehingga artikel ini ditulis, WHO masih belum memutuskan adakah jangkitan 2019-nCoV mampu menjadi salah satu wabak besar, seperti SARS atau MERS yang sangat sukar diubati. Berdepan dengan satu ancaman yang baru serta muncul tiba-tiba dan sangat mudah merebak - terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari buat masa sekarang.

Apa yang sedang diusahakan ketika ini, adalah untuk memastikan dari spesis haiwan apakah sumber sebenar virus tersebut. Pasukan penyelidik dari China percaya dua spesis ular itu puncanya, manakala WHO pula ketika ini sedang sibuk menganalisis setiap setiap spesis haiwan yang dijual di pasar basah Huanan.

Hanya selepas dapat mengenal pasti puncanya, barulah langkah seterusnya dapat dilakukan. Sama ada ular, kelawar, tikus, arnab atau apa saja jenisnya - apa yang jelas, yang halal dan bersih perlu menjadi pilihan utama.

Rujukan

Homologous recombination within the spike glycoprotein of the newly identified coronavirus 2019-nCoV may boost cross-species transmission from snake to human (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)