Kita sebagai individu selalu merasakan kita unik dan masalah kita adalah masalah sendirian.

Bagaimanapun, satu kajian telah menjumpai satu perkara yang kerap kali membuatkan kita merasakan diri kita kurang gembira. Satu perkara ini dijumpai dalam setiap peserta kajian dan ia bukannya isu pekerjaan, isu kewangan atau rutin yang perlu dilalui setiap individu setiap hari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Screen Time Disorder

Kajian yang dijalankan oleh APA PsycNET itu yang menyelidik 1 juta orang golongan remaja di Amerika Syarikat mendapati mereka yang kebanyakannya tidak gembira dengan hidup adalah mereka yang terlalu banyak menghabiskan masa menonton skrin, tak kiralah dalam apa bentuk sekalipun.

Penyelidik mendapati mereka yang menghabiskan lebih 5 jam sehari, sama ada dengan telefon, bermain permainan video, menonton televisyen atau melayari internet lebih cenderung untuk merasakan hidup mereka tidak gembira.

Bagi mereka yang lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan, bersenam atau bersukan, membaca buku atau belajar sekalipun, merasakan hidup mereka lebih gembira dan terisi.

Kerana Skrin, Badan Binasa

tekanan hidup kerana tidak gembira

Kajian itu yang dijalankan setiap tahun semenjak tahun 1991 mengkaji secara eksklusif pelajar daripada gred 8 hingga gred 12 dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat. Dalam satu artikel, salah seorang penyelidik iaitu Dr. Jean Twenge daripada San Diego State University mengatakan berlaku perbezaan ketara tahap kegembiraan antara mereka yang aktif dalam hidup dan mereka yang aktif dengan skrin.

Penyelidik juga mendapati berlakunya penurunan ketara pada tahap kegembiraan remaja pada tahun 2012, yang dikatakan tahun bermulanya penggunaan telefon pintar secara lebih meluas melibatkan golongan remaja. Penggunaan Dr. Jean, penggunaan internet juga meningkat sehingga dua kali ganda daripada tahun 2006 sehingga tahun 2016 dengan 82 peratus remaja menggunakan media sosial setiap hari.

Apabila berlakunya penurunan tahap kegembiraan pada golongan remaja, ia juga menjurus kepada masalah lain seperti tekanan, kurang keyakinan diri, gemar menyakiti diri sendiri dan paling teruk, kes bunuh diri. Masalah yang lebih besar - isu penggunaan skrin yang membuatkan seseorang individu tidak gembira juga melibatkan golongan dewasa.

Golongan Dewasa Tidak Terkecuali

kemurungan orang dewasa

Dr. Twenge memberitahu kecenderungan yang sama juga didapati pada individu berusia lebih 30 tahun. Kajian mendapati secara amnya golongan dewasa ketika ini kurang gembira berbanding golongan sama 15 tahun lalu dan kekerapan melakukan hubungan seks juga menurun.

Golongan dewasa terlalu banyak menghabiskan masa dengan skrin sehinggakan berlakunya penurunan mendadak pada benda rutin seharian seperti berbual, melakukan aktiviti bersama dan juga hubungan seks.

bangun tidur terus tengok skrin

Adakah solusi kepada isu ini adalah dengan menghentikan terus waktu menatap skrin daripada hidup kita? Tidak!

Kajian mendapati mereka yang langsung tidak menatap skrin untuk melayari internet atau media sosial kurang merasa gembira berbanding mereka yang hanya menggunakannya (skrin) kira-kira 1 jam sehari.

Dalam zaman hidup yang dipenuhi dengan limpahan maklumat ini, agak mustahil untuk kita berhenti menatap skrin secara terus. Kita sebenarnya cuma perlu menghadkan masa kita dengan skrin. Ianya terbukti membantu meningkatkan tahap kegembiraan dalam hidup kita.

Jika tak nak rasa sedih dan kecewa dengan hidup, pastikan anda gunakan waktu skrin anda dengan membaca Iluminasi. Satu artikel sehari pun sudah memadai.

Rujukan

Olahan semula artikel Study Discovers the One Thing Making Everyone Unhappy

The Converstation




Hakcipta iluminasi.com (2017)