Setiap manusia dibekalkan dengan hawa nafsu sendiri dan setiap antara kita, sudah pastilah mempunyai keinginan yang berbeza-beza - sama ada secara fizikal mahupun seksual.

Keinginan untuk memiliki sesuatu barangan, ingin dibelai pasangan dan bermacam lagi permintaan kita, semuanya sangat bergantung dengan kehendak emosi. Bagaimanapun ada ketikanya hawa nafsu dan emosi sesetengah individu, mampu jadi kucar-kacir sehinggakan ada yang rasa tertarik dan ingin dengan sesuatu yang sangat ganjil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ganjil bagaimana itu, tanya anda? Anda mungkin pernah membaca tentang kisah lelaki mengahwini bantal peluk tetapi kes-kes seperti itu hanyalah kes-kes biasa kita dengari. Yang tak biasa kita dengari, mampu membuatkan bulu roma kita berdiri geli.

Objectophilia - apabila nafsu mula menyimpang serong

lee jin gyu kahwini bantal peluk

Seseorang yang mengidap 'objectophilia' mempunyai kecenderungan yang sangat aneh - iaitu objek-objek di sekeliling kita. Ini bermakna individu itu mempunyai keinginan, bukan setakat pada peringkat emosional, malahan banyak kes individu 'objectophilia' didapati perlu mempunyai hubungan dengan objek-objek biasa pada peringkat seksual!

Kenapa ini berlaku? Banyak sebabnya. Namun kajian menunjukkan ada beberapa punca utama kenapa seseorang mula menunjukkan kecenderungan untuk mempunyai keinginan seksual terhadap objek. Yang pertama adalah mereka mahukan hubungan yang bergerak satu hala, tanpa perlu melayan kerenah pasangan. Kedua, dibesarkan semasa kecil dalam suasana kurang sihat yang merencatkan perkembangan minda mereka.

Selain itu, kajian yang dijalankan terhadap individu-individu ini juga menunjukkan kecenderungan untuk mereka hidup dalam suasana isolasi. Apabila mereka mengamalkan pengasingan hidup secara pilihan sendiri, secara tak langsung ini akan menyukarkan mereka daripada membentuk hubungan dengan manusia lain secara normal.

Psikologi mereka juga terganggu, membentuk rasa malu yang melampau, suka bersendirian, kurang selesa apabila berada dalam kelompok ramai dan tidak mahir berkomunikasi. Untuk mengisi perasaan kosong dalam hidup, mereka mula mencari peneman dalam bentuk objek yang mematuhi syarat hidup mereka seterusnya membina hubungan dengan objek tersebut - sebagai satu cara jalan keluar.

Kes-kes objectophilia paling aneh dalam sejarah

eija riitta berliner mauer

Seorang wanita Jerman bernama Eija Riita Berliner Mauer menjadi contoh antara kisah objectophilia paling terkenal, dalam rekod. Ini kerana trauma yang beliau lalui seringkali diceritakan sebagai pengalaman sebenar seorang objectophilia.

Pada tahun 1979, Eija memilih untuk berkahwin dengan Tembok Berlin yang telah dicintainya sepenuh hati, sehinggakan dia menukarkan namanya kepada Eija Mauer, disebabkan gelaran Tembok Berlin dalam bahasa Jerman 'Berliner Mauer.' Cintanya pada tembok itu dirasakan sejak dia berusia 8 tahun. Eija menganggap Tembok Berlin seorang lelaki yang gagah, serta seorang suami yang baik.

Eija mengaku dia 'mengadakan' hubungan seks kali pertama dengan 'suaminya' pada usia 13 tahun. Jangan tanya kami bagaimana.

Malangnya keruntuhan Tembok Berlin akibat daripada penyatuan semula dua belah negara Jerman itu meruntun hatinya. Eija Mauer terpaksa melihat sendiri bagaimana 'suaminya' diketuk, dipecahkan dan diruntuhkan. Dia berhadapan dengan trauma sepanjang hidupnya selepas itu.

Kes kedua pula melibatkan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Sandy K., yang jatuh cinta dengan menara Twin Towers di New York. Sama seperti Eija, Sandy terpaksa menahan sedih melihat 'kekasihnya' runtuh sekelip mata dalam insiden 11 September 2001.

Juga seorang rakyat Jerman, rasa cinta Sandy terhadap menara itu muncul semasa dia baru berusia 7 tahun semasa lawatannya ke situ. Sandy mengakui dia tidak pernah merasai rasa kasih dan sayang daripada manusia lain, seperti mana yang dia rasai dicurahkan oleh menara itu - yang kini tiada lagi.

Dalam kes terbaru yang berlaku pada 6 Disember 2019, seorang wanita ibu tunggal di United Kingdom bertindak mengahwini sehelai permaidani berwarna biru, yang digelarkan sebagai 'Mat.' Permaidani itu yang dibelinya sekitar tahun 2018, kerap menjadi tempat dia meluahkan perasaan.

Hubungan keduanya bukan sekadar dalam bentuk komunikasi. Wanita itu yang bernama Bekki, mengakui kerap kali menyapu dan membersihkan Mat dengan penyedut hampagas - sebagai bukti kasih sayang dia kepadanya. 

Hubungan tidak direstui kerajaan

wanita kahwini permaidani

Walaupun hubungan cinta antara manusia dengan 'objek' ini kerap kali diakui oleh mereka yang terlibat sebagai satu bentuk hubungan yang sejati, malangnya tidak ada negara mengiktiraf secara rasmi pendaftaran perkahwinan melibatkan benda bukan hidup.

Oleh kerana itu, kebanyakan kes hubungan di antara manusia dengan objek tidak bernyawa ini - walaupun berjaya dilakukan majlis perkahwinan, perkahwinan itu hanyalah satu acara simbolik yang tiada asas dalam perspektif undang-undang.

Seaneh-aneh budaya Jepun yang kita ketahui, Jepun sendiri tidak mengiktiraf sebarang bentuk perkahwinan manusia dengan objek, walaupun banyak ura-ura di internet tentang negara itu disebarkan - apatah lagi melibatkan lelaki-lelaki kesepian yang memilih untuk berkahwin dengan bantal peluk mereka. Mungkin benar mereka berkahwin, tetapi untuk mendaftarkan perkahwinan? Mustahil untuk setakat ini.

Korea Selatan juga menjadi salah satu mangsa gosip liar, selepas satu perkahwinan lelaki dengan bantal peluk tersebar; menyebabkan Korea Selatan dicop sebagai negara yang membolehkan perkahwinan sebegitu dijalankan. Ini hanyalah khabar angin tidak berasas.

erica eiffel bersama suaminya

Daripada kes Eija Riita Berliner Mauer, Sandy K seterusnya beberapa kes unik seperti Amanda Liberty yang mengahwinkan dirinya dengan tugu Liberty di New York, Carol Santa Fe yang berkahwin dengan sebuah stesen keretapi, Erica Eiffel yang bersuamikan menara Eiffel di Paris sehinggalah Bekki yang mengahwini permaidani dan lelaki-lelaki sunyi yang mengahwini sebiji bantal - fenomena objectophilia ini jelas menunjukkan penyakit mental semakin membelenggu masyarakat dunia.

Walaupun jumlahnya masih layak dianggap kecil - dalam dunia yang kini semakin terbuka untuk mengiktiraf semua jenis pilihan cinta, bimbang juga melihat semakin ramai mula terbuka untuk tidak malu mengakui cinta terlarang mereka dengan objek tidak bernyawa.Sama ada cinta itu ikhlas atau untuk mendapatkan perhatian orang sekeliling mereka, hanya tuan punya badan tahu kebenarannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)