Sumber foto: Facebook DTTB / Malay Mail Online
Polis mengetahui motif pembunuhan seorang peniaga kosmetik di tapak pasar malam Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari lepas yang didakwa disebabkan kosmetik yang dijual mangsa tidak berkesan.
Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib selaku Ketua Polis Daerah Shah Alam memberitahu, menurut siasatan, mangsa, Mohd. Nor Syazrin Rasdi (29 tahun) dengan kawannya telah menuju ke Pasar Malam Sri Muda untuk berniaga barangan komestik pada Jun tahun lepas.
Jelasnya, semasa sedang mempromosikan barangan komestik tersebut, beberapa lelaki Indonesia berbangsa Madura tiba di pasar malam itu lalu pergi ke tapak perniagaan mangsa.
"Berlaku pertengkaran sehingga membawa pengaduhan susulan suspek mendakwa barangan dijual oleh mangsa tidak mujarab dengan disahkan oleh rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian.
"Kejadian tersebut kemudiannya berlarutan sehingga berlaku mangsa dibunuh setelah kembali berniaga di tapak pasar malam Taman Sri Muda pukul 9 malam pada 5 Januari lalu," ujarnya ketika sidang media kelmarin.
Jelas beliau lagi, pihaknya telah memberkas 14 individu membabitkan 13 warga Indonesia dengan tiga daripada mereka merupakan wanita selain isteri mangsa.
"Seramai 10 lelaki warga Indonesia berusia 30-an telah didakwa atas kesalahan Imigresen di Mahkamah Shah Alam pada 29 Januari lalu.
"Selebihnya dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti kukuh," ujarnya.
Baharudin berkata, pihaknya sedang mengesan dua lelaki warga Indonesia berketurunan Madura bernama Jumandi dan Gandar yang berumur 20-an untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber berita: Kosmo Online