Penulis adalah kaki permainan video dan pada zaman remaja dulu, menghabiskan masa yang agak banyak jugalah bermain permainan bola sepak secara digital.
Pada era 90-an, penulis berjaya mengumpulkan duit untuk memiliki sebuah Sony Playstation yang pertama, membolehkan penulis mula berjinak-jinak dengan dua judul permainan bola sepak terkenal ketika itu - siri Winning Eleven dan siri FIFA (dalam bentuk CD cetak rompak).
BESARKAN TEKS A- A+
Harus penulis akui, penulis mula belajar main game bola melalui FIFA 95 ketika pasukan dan kelab dari Malaysia masih lagi dipaparkan dalam judul tersebut, tetapi segalanya berubah selepas penulis diperkenalkan dengan siri Winning Eleven sekitar tahun 1997. Simulasinya yang jauh lebih realistik membuatkan penulis tak menoleh ke belakang lagi.
Tetapi beza antara kedua-dua judul ini jelas sekali - Winning Eleven jarang berjaya menggunakan nama sebenar pemain dan kelab, sementara FIFA pula lebih mirip dunia nyata. Pada zaman itu, penulis andaikan kerana dah namanya FIFA - jadi normallah benda tu. Rupa-rupanya isu ini lebih kompleks berbanding apa yang penulis ketahui sebenarnya.
Dunia pelesenan permainan video yang rumit
Sama seperti banyak perkara yang berbentuk perniagaan - duit memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan siapa yang bakal layak memegang lesen penerbitan untuk judul-judul permainan bola sepak maya.
Pengeluar siri FIFA sendiri iaitu EA Sports, mempunyai rangkaian petugas di seluruh dunia yang tugasnya khas untuk mendapatkan lesen-lesen kebenaran bagi membolehkan mereka menggunakan nama, wajah dan identiti pemain serta kelab yang ada.
EA Sports dibantu dengan bajet yang lebih besar berbanding siri Winning Eleven atau namanya sekarang, Pro Evolution Soccer (PES) membolehkan FIFA memaparkan sama seperti apa yang ada di atas padang sebenar.
Di serata dunia, sebanyak 33 liga kebiasaannya diangkat sebagai liga yang 'mesti ada' melibatkan 600 buah kelab - dengan barisan pemain yang senantiasa berubah-ubah. Jadi pegawai yang terlibat dalam pelesenan serta kontrak jarang dapat menghelakan nafas panjang atau mengambil cuti kerana situasinya sentiasa tidak statik.
Perbincangan perlu dilakukan dalam beberapa bentuk kerana hak cipta kegunaan terbahagi kepada beberapa bentuk berbeza.
Kejayaan mendapatkan pelesenan dengan sesebuah kelab membolehkan penerbit menggunakan jersi, nama kelab dan logo kelab pada judul mereka. Sementara itu pelesenan dengan pengelola liga pula perlu dilakukan secara berbeza. Sebuah liga hanya boleh dipaparkan secara maya dengan kebenaran yang datang daripada penganjur itu sendiri dan dengan kebenaran itulah, barulah nama, format kejohanan serta bentuk piala dapat digambarkan.
Untuk menggunakan nama sebenar pemain dan wajah mereka pula - penerbit perlu mendapatkan kebenaran daripada gabungan yang dinamakan sebagai FIFPro atau International Federation of Professional Footballers.
Tanpa kebenaran daripada badan ini, representasi pemain dalam bentuk maya secara realistik dan menyerupai dunia nyata tidak dibenarkan - memaksa penerbit untuk bertindak kreatif mereka sendiri wajah seakan-akan pemain sebenar tetapi sedikit berbeza rupanya.
Trend pelesenan secara eksklusif
Saban tahun, wujud satu trend baru di mana penerbit permainan video mula menggunakan teknik pelesenan secara eksklusif - mengadakan rundingan terus bersama pihak kelab bola sepak bagi membolehkan kelab itu hanya muncul dalam judul yang diterbitkan mereka.
Langkah ini sebenarnya sudah dimulakan oleh PES lebih awal, ekoran kegagalan mereka dalam mendapatkan banyak lesen kelab dan liga popular dunia memaksa penerbit PES, Konami melakukan rundingan terus dengan kelab.
Dengan cara itu, sesuatu judul boleh menggunakan keseluruhan identiti kelab yang bersetuju, dalam semua aspek termasuklah rekaan semula stadium dan lagu tema untuk dipaparkan dalam judul yang ada. Bagaimanapun, rundingan ini mempunyai satu kelemahan yang sangat ketara pada peminat sukan bola sepak.
Sebagai contohh, sekiranya PES berjaya mendapatkan pasukan Juventus dari Itali bagi versi tahun 2020 - judul FIFA tidak lagi akan dibenarkan memaparkan sebarang bentuk elemen kelab Juventus dalam terbitan mereka dalam semua aspek kecuali wajah pemain. Akan wujud kelompongan pada senarai liga dalam judul FIFA, apabila pasukan-pasukan daripada kelab liga Itali Serie A semuanya mirip dunia nyata dengan hanya Juventus akan dikenali dengan nama 'Piemonte Calcio' memakai jersi berbeza.
Selain daripada itu, penerbit juga boleh mengadakan perbincangan terus dengan pemain, bagi mendapatkan hak cipta eksklusif hanya untuk pemain itu. Kebiasaannya, perbincangan sebegini hanya dilakukan dengan pemain berstatus bintang sahajalah.
Berbeza dengan pelesenan melalui badan pengelola liga, kelab dan pemain - kos untuk mendapatkan pelesenan secara eksklusif ini tidak tetap, bergantung kepada hala tuju perbincangan di antara penerbit dengan individu atau kelab yang ditawarkan kontrak pelesenan.
Apakah faedah pelesenan pada penerbit videogame?
Siri permainan video bola sepak merupakan satu bentuk genre yang sangat lumayan, dengan angka jualan mampu melebihi 10 juta unit untuk setiap versi. Pengeluaran judul baru pula dilakukan secara tahunan.
Sebagai contoh, FIFA merupakan siri permainan video bergenre sukan paling laris dalam dunia dengan angka jualan melebihi 100 juta sejak diperkenalkan. Bagi versi FIFA 2014 sahaja, EA Sports berjaya mencapai angka jualan 14.5 juta unit keseluruhan, jauh melebihi apa yang mampu dicapai satu-satunya pencabar mereka iaitu PES.
Apa yang kami cuba sampaikan - penerbitan permainan video bola sepak merupakan sesuatu yang memberikan penerbit pulangan yang terlalu besar, atas sebab itulah mereka tidak takut untuk mengeluarkan belanja dalam memastikan produk mereka terus kekal relevan dan terkedepan.
Hanya dengan terus 'bertarung' dalam mengeluarkan belanja bagi memastikan lesen dapat diperolehi, penerbit dapat menjual produk mereka saban tahun kepada peminat sukan bola sepak yang tidak jemu membelinya.
Kita memang tidak tahu jumlah sebenar yang dibayar penerbit kepada pemain, kelab dan liga bagi mendapatkan hak pelesenan. Apa yang kita tahu - jumlahnya tidak kecil. Sebagai perbandingan - bintang ternama Portugal, Cristiano Ronaldo dikenali sebagai seorang yang boleh anda upah untuk sebarang bentuk acara promosi.
Sebuah syarikat dari Arab Saudi dilaporkan telahpun membayar Ronaldo £920,000 (RM4.8 juta) untuk dia menghadirkan diri bagi sesi fotografi separuh hari. Hasilnya? Sebuah sesi fotografi melibatkan beliau, lima jersi bertandatangan, dua kali disebut dalam akaun Twitter dan Instagram beliau serta syarikat itu mendapat kebenaran menggunakan gambaran bintang itu tanpa had selama sehari.
Jadi berapakah harga yang dibayar oleh Konami atau EA Sports untuk membolehkan mereka meletakkan wajah Cristiano Ronaldo pada muka depan judul terbitan mereka? Kita tak tahu, tetapi sudah pastilah tinggi harganya jika kita lakukan perbandingan dengan caj yang dikenakan beliau di dalam kes di atas.Yang lebih penting, berapakah amaun yang dibayar oleh Shopee kepada Cristiano Ronaldo untuk mempromosikan hari jualan Shopee di Malaysia? Mungkin lebih RM4.2 juta, mungkin kurang - tetapi angkanya sudah pastilah tidak kecil. Apatah lagi bila nak meminta bintang bola sepak terkenal dunia berlakon iklan 'se-cheesy' itu.