Permainan video popular 'FIFA' yang diterbitkan setiap tahun merupakan salah satu francais permainan video paling popular dunia. Untuk menterjemahkan sukan bola sepak ke dalam bentuk digital, memerlukan pengolahan yang agak drastik daripada segi sistem yang digunakan.
Berbeza dengan sukan sebenar yang menggunakan faktor kelajuan, momentum, masa dan pelbagai faktor lain dalam mengukur tahap seseorang pemain; judul FIFA memerlukan setiap informasi yang ada diterjemahkan ke dalam bentuk binari agar dapat diolah sebagai kayu ukur perbezaan antara keupayaan pemain ke pemain.
BESARKAN TEKS A- A+
Penggunaan sistem penilaian skor atau 'rating' menjadi kunci utama kepada sistem ini, di mana seseorang pemain akan dinilai berdasarkan skor 0 ke 100 yang kemudiannya akan menentukan keupayaan pemain itu dalam bentuk digital.
Bagaimanakah sistem skor FIFA ini ditentukan?
Sains data tahap gergasi
Menterjemahkan tahap kemampuan pemain ke dalam bentuk digital bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi apabila melibatkan lebih 800 pasukan/kelab dan merangkumi lebih 18,000 pemain keseluruhannya.
Untuk itu, syarikat pengeluar judul FIFA iaitu EA mempunyai pasukan mereka sendiri yang ditugaskan khas untuk mengumpulkan data setiap pemain yang bakal beraksi secara maya.
Seramai 25 orang produser memikul tanggungjawab ini sepenuh masa, membentuk jaringan kerjasama dengan lebih 300 orang 'Editor Data' yang bertanggungjawab mengumpul dan mengkompilasi data yang diperolehi.
Dari mana datangnya data-data tentang pemain ini?
EA mempunyai jaringan lebih 9,000 orang individu khas yang terlibat secara langsung di seluruh dunia dalam membekalkan penilaian mereka untuk setiap pemain. Ribuan orang pembekal data ini datang daripada jurulatih, ejen pencari bakat serta peminat-peminat sukan bola sepak sendiri yang berstatus pemegang tiket bermusim.
Semua pembekal data diberikan akaun khas terus ke pelayan EA yang akan mengumpulkan data, sebelum setiap maklumat yang ada dikategorikan lalu dipecahkan kepada 35 kategori sub-informasi mengikut setiap satu ukuran tahap pemain.
35 kategori itu merangkumi keupayaan larian, stamina, ketepatan hantaran, lompatan dan lain-lain lagi yang dikompilasikan dalam bentuk skor bagi memudahkan pemahaman orang ramai.
Bagaimanapun, menurut Michael Mueller-Moehring, ketua unit ini yang telah berkhidmat sekian lama bersama EA; data yang diperolehi tidak tepat kerana ada kalanya pemain mempunyai kebolehan atau peranan yang tidak boleh difahami hanya dengan angka atau skor.
Anomali dalam skor kebolehan pemain bola sepak
Mueller-Moehring gemar menggunakan pemain penyerang Jerman dan kelab Bayern Munich, Thomas Muller sebagai contoh; kerana pemain itu merupakan antara pemain 'aneh' yang sukar untuk dikategorikan.
Menurut data yang dikumpulkan, Muller sebagai seorang penyerang tidak mempunyai ketepatan sepakan yang baik. Dia juga perlahan, tidak lincah serta tidak pandai menggelecek bola seperti pemain lain. Jika berdasarkan sepenuhnya kepada data, Muller hanya seorang pemain biasa.
Namun peranan beliau dalam pasukan serta kemampuan Muller untuk berada ditempat yang sepatutnya serta menjaringkan gol walaupun tersalah sepak (yang kerap berlaku) menunjukkan pemain tersebut mempunyai kebolehan unik, berbeza dengan pemain-pemain lain.
Bagi kes seperti Thomas Muller, perbincangan akan dilakukan oleh kumpulan produser dibantu data yang ada bagi menentukan penilaian dunia nyata Muller dapat diterjemah ke dalam bentuk yang lebih adil dalam siri FIFA.
Kondisi-kondisi unik seperti faktor kemampuan pemain yang bergantung kepada taktikal jurulatih dan corak permainan yang menyokong kemampuan pemain, semuanya diambil kira dalam memastikan skor setiap pemain lebih mirip dengan kemampuan dan pengaruh pemain di atas padang.
Selain itu menurut Mueller-Moehring, liga yang disertai pemain juga akan menentukan skor akhir penilaian pemain kerana berdasarkan data yang ada, faktor kualiti liga juga memainkan peranan yang sangat besar kepada perbezaan keupayaan pemain.
FIFA akan terus kekal dominan dibantu sains data
Bagi peminat siri permainan video bola sepak, hanya ada dua sahaja judul yang dilihat terus bersaing sehingga kini; sama ada FIFA ataupun musuh tradisinya Pro Evolution Soccer.
Namun sokongan kuat kemampuan kewangan penerbit EA dilihat banyak membantu populariti FIFA, bukan saja dari segi penyelidikan malahan dari segi pelesenan dan juga pemasaran.
Setiap kelab mempunyai peraturan tersendiri dalam perihal perkongsian data, memerlukan penerbit seperti EA mengeluarkan belanja besar bagi menampung sistem pelesenan yang agak tinggi harganya, sebelum penerbit dibenarkan mengakses data dan informasi pasukan.
Walau bagaimanapun bagi Mueller-Moehring, sistem sedia ada belum mencukupi.
Visi beliau lebih besar kerana sistem yang digunapakai mereka ketika ini masih belum benar-benar mencerminkan perubahan dunia nyata. Bagi Mueller-Moehring, selagi FIFA belum mempunyai sistem data yang bersifat realistik, mampu mengawal naik turun skor setiap pemain mengikut prestasi atas padang setiap kali beraksi, tugasnya masih belum layak dianggap selesai.
Francais gergasi ini saban tahun menjadi punca utama pendapatan EA, menyalurkan lebih 40% daripada keseluruhan.
Sistem 'Ultimate Team' yang diperkenalkan sejak tahun 2015 berjaya menjana lebih $1 billion USD untuk 3 tahun berturut-turut sejak tahun 2018, menunjukkan sambutan peminat sukan bola sepak semakin menggalakkan.
Oleh sebab itulah, fokus besar terus diberikan kepada pembikinan judul FIFA bagi memastikan persembahannya terus kekal segar dan tidak kekal pada satu takuk semata-mata, walaupun diterbitkan versi baru setiap tahun.
Di belakang itu semua adalah sekumpulan produser yang menggunakan sistem sains data bagi memastikan setiap pemain mendapat skor yang sepatutnya kerana mereka tahu, bukan setakat peminat - malahan pemain juga sangat mengambil berat skor yang diberikan kepada mereka.
Bekas penyerang Manchester United yang kini mewakili Inter Milan, Romelu Lukaku mempertikaikan penurunan skor beliau dalam judul FIFA - walaupun prestasinya memuncak musim lalu. Ada tak pemain tempatan yang mengalami nasib serupa?