Kami ada memaparkan sebuah artikel berkenaan harga minyak paling murah di dunia. Apa yang cuba kami tunjukkan di situ sebenarnya adalah kesejahteraan sesebuah negara, sebenarnya tidak berkait secara langsung dengan harga minyak.
Apatah lagi selepas melihat apa yang berlaku di Venezuela di mana negara mereka menjadi kucar-kacir walaupun negara mereka mempunyai harga petrol paling murah di dunia. Pengetahuan itu, pada kami penting untuk dikongsikan agar anda tahu matlamat untuk mendapatkan minyak paling murah, bukanlah sepatutnya menjadi sasaran kita semua. Jadi hari ini, kami kongsikan pula maklumat berkenaan perbandingan keupayaan membeli petrol di antara 5 negara termasuklah Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
Lima negara dipilih Singapura, Filipina, Thailand, Brunei dan Indonesia dengan kemampuan untuk membeli 100 liter petrol diambil daripada purata jumlah pendapatan tahunan negara tersebut dan peratusan yang diperlukan akan dijadikan pengukur kepada keboleh mampuan rakyat sesebuah negara itu. Berikut adalah hasil perkiraan kami.
6. Filipina
Satu liter petrol di Filipina berharga P48.85 dan P4885 diperlukan untuk mendapatkan 100 liter petrol. Mempunyai purata pendapatan tahunan P150,002, rakyat Filipina menggunakan 3.26% pendapatan tahunan mereka untuk 100 liter petrol.
5. Indonesia
Dengan harga 8566 Rupiah 1 liter, rakyat Indonesia memerlukan 856,600 untuk membeli 100 liter minyak ketika ini. Ini bermakna mereka akan memerlukan 1.77% daripada purata gaji tahunan mereka untuk membeli 100 liter petrol dengan nilai gaji tahunan 48,248,524 rupiah.
4. Thailand
Rakyat Thailand sebelum ini kerap menyeludup keluar minyak dari negara kita. Kenapa? Dengan harga 32.50 baht satu liter atau 3250 baht 100 liter, rakyat Thailand akan menggunakan 1.67% gaji mereka berdasarkan purata pendapatan tahunan 194,104 baht.
3. Malaysia
Negara kita ketika ini mempunyai harga petrol sebanyak RM2.38 satu liter dan RM238 untuk 100 liter. Berapa peratusan yang kita perlukan jika purata gaji tahunan rasmi kita setakat ini RM39,485? 0.61% daripada purata pendapatan tahunan negara kita untuk membeli 100 liter petrol..
2. Singapura
Ketika ini, harga satu liter petrol di Singapura adalah SGD2.12 1 liter dan SGD212.00 untuk 100 liter. Dengan purata pendapatan tahunan sebanyak SGD71,813, orang Singapura akan menggunakan 0.29% daripada pendapatan mereka untuk membeli 100 liter petrol.
1. Brunei
Belum kira lagipun kami dah menyerah kalah kerana nisbah harga petrol di Brunei cukup menarik. Harga satu liter petrol di Brunei dilaporkan cukup murah, BRD 0.53 dengan kadar purata pendapatan tahunan rakyat mereka BRD 42,003. Untuk membeli 100 liter petrol, rakyat mereka hanya memerlukan BRD53!
Ini menjadikan Brunei mempunyai peratusan keperluan hanya 0.12% daripada gaji tahunan mereka untuk mendapatkan 100 liter petrol. Yang lebih power? Ini harga untuk minyak RON97. Bagi kesemua negara lain di atas, kami gunakan harga RON95.