Oleh pada 13 Apr 2017 kategori

Pemenang Anugerah Nobel dan seorang ahli ekonomi, John Harsanyu berkata,"selain daripada mendapat ganjaran ekonomi, status sosial adalah salah satu perkara yang paling penting pada seseorang sebagai insentif dan motivasi dalam agenda sosial."

Situasi yang disebut beliau boleh merujuk kepada perbezaan ekonomi di antara golongan yang berkemampuan dan golongan yang kurang berkemampuan. Barrack Obama sendiri menjadikan isu mengecilnya golongan pertengahan sebagai salah satu agenda beliau dan melantik timbalan presiden, Joe Biden untuk mengetuai satu pasukan gerak kerja yang khusus untuk menangani isu tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perbezaan status ekonomi bukan hanya sekadar relevan dalam isu ekonomi sesebuah negara, ia juga satu isu yang akan sentiasa bermain diminda setiap orang. Seorang ahli sains bernama Michael Gazzaniga berkata,"setiap seorang yang bangun tidur tidak akan berfikir tentang perkara-perkara yang sudah dikaji seratus tahun yang lepas tetapi akan berfikir tentang di mana dia dalam kedudukan sosial. Orang ramai akan memikirkan dimana dia berada jika dibandingkan dengan mereka yang berada di sekeliling dia."

Kajian saintis dalam bidang sains sosial mendapati memang terdapat perbezaan besar dalam cara hidup dan rutin mereka yang tergolong dalam golongan rendah dan golongan mampu. Mereka juga mengkaji apa jalan terbaik untuk golongan bawahan supaya dapat memperbaiki kedudukan mereka.

iluminasi rendah tinggi sederhana taraf hidup

Ahli psikologi PJ Henry dari DePaul University membentangkan kajian beliau bagaimana mereka yang mempunyai status lebih rendah mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktiviti bersifat ganas. Henry melaporkan kadar kes pembunuhan di mana daerah yang mempunyai aktiviti penternakan dan perladangan adalah lebih tinggi, agak konsisten dengan penemuan-penemuan penyelidik terdahulu.

Beliau menjelaskan, oleh kerana individu yang mengusahakan perladangan atau penternakan selalu mengalami risiko kecurian hasil mereka, ini membuatkan individu yang terlibat mempunyai kadar tindak balas terhadap perkara buruk dengan lebih cepat. Mereka akan lebih cepat marah apabila merasa ancaman terhadap ekonomi mereka, yakni hasil ternak dan perladangan yang membuat mereka lebih mudah terlibat dengan kes-kes keganasan kerana merasakan, itu adalah tindak balas yang normal bagi mereka.

Henry menyifatkan berlakunya satu corak tindak balas yang muncul daripada keadaan hidup yang serba kekurangan, membuatkan seseorang individu itu akan mempunyai gerak balas psikologi untuk menutup kelemahan tersebut. Kajian serupa dalam satu artikel tulisan dua orang ahli psikologi bernama Cameron Anderson dan Gavin J Kliduff menyifatkan, tindakan yang dilakukan oleh orang yang berstatus ekonomi rendah sebenarnya tidak membantu mereka menjadi lebih baik.

Anderson dan Kilduff menasihatkan agar mereka yang merasakan keadaan ekonomi mereka berada di kadar yang rendah supaya melakukan perkara yang sebaliknya daripada apa yang minda mereka arahkan mereka buat yakni, lebih bersifat pemurah, suka membantu dan berusaha menampakkan nilai positif mereka kepada masyarakat. Kecenderungan untuk berfikir secara ganas atau membalas dendam tidak akan membantu mereka ke arah hidup yang lebih baik.

Menurut satu kajian lain yang dilakukan oleh Hardy, Van Vugt dan Willer, hasil penyelidikan mereka membuktikan yang dengan menderma lebih banyak adalah kunci kepada memanjat status kehidupan. Orang ramai akan memberikan status yang lebih tinggi kepada mereka yang sanggup mendermakan duit mereka kepada satu komuniti dan mereka yang berkorban kepentingan sendiri untuk kesenangan orang ramai. Mengambil tindakan yang menampakkan nilai kita kepada sesuatu kumpulan, melalui pertolongan yang ikhlas akan membantu dalam jangka masa panjang.

gambar peminta sedekah

Kesimpulan yang boleh dibuat melalui kajian ini adalah untuk mereka yang merasakan taraf ekonomi mereka rendah, usaha mereka untuk menampakkan yang mereka sebenarnya dalam keadaan baik akan mengaktifkan satu mod pertahanan yang akhirnya akan melemahkan diri sendiri. Untuk memperbaiki status mereka, mereka sepatutnya mengambil langkah dengan menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab atau berusaha untuk menjadi lebih pemurah. Jika mereka terus dengan sifat negatif mereka dan tidak mahu berubah, lama kelamaan kecenderungan untuk membuli atau bertindak ganas akan menguasai diri mereka, apabila mereka merasa wujudnya provokasi.

Individu yang mampu menjana isyarat apa nilai mereka pada orang lain berbanding mereka yang hanya tahu menilai di mana keadaan mereka berbanding orang lain, akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk memperbaiki taraf status sosial mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)