Kerjaya dalam bidang seni seringkali dikaitkan sebagai pilihan, sekiranya seseorang itu dianggap 'gagal' atau terkebelakang dalam pendidikan. Pandangan ini menimbulkan stigma yang agak terkesan juga, sehingga membuatkan ramai karyawan dipandang sinis tahap pemikiran mereka.
Tidak dapat dinafikan, persepsi buruk ini ada benarnya namun tidak layak untuk dikenakan pada semua - mungkin hanya segelintir saja yang benar-benar tergolong dalam kategorinya. Pendidikan adalah satu asas yang sangat penting dalam hidup dan lima karyawan ini, mempunyai tahap pendidikan yang sangat boleh dibanggakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi janganlah abaikan pendidikan kita, walaupun makin lama makin ramai yang lantang mengatakan sistem pendidikan sudah tidak lagi ada gunanya kerana graduan sendiri semakin susah nak mendapat kerja. Berikut adalah lima karyawan yang nyata berbakat besar dan juga berpendidikan tinggi tetapi memilih muzik, sebagai kerjaya utama.
1. Rivers Cuomo
Lebih dikenali sebagai vokalis utama kumpulan Weezer serta ikon kepada kebangkitan generasi nerd dalam industri muzik, Cuomo merupakan salah seorang bergelar graduan di Universiti Harvard pada tahun 2006, selepas menangguhkan pengajian sekian lama akibat menumpukan perhatian dengan kerjaya muzik bermula pada tahun 1996.
Menamatkan pengajian dalam bidang bahasa Inggeris, kejayaan Cuomo turut sama melayakkan beliau tersenarai dalam Phi Beta Kappa Society, kumpulan pelajar Amerika Syarikat terulung yang cemerlang dalam bidang seni - berdasarkan kepada pencapaian akademik mereka.
Antara nama-nama yang turut sama diterima masuk ke dalam komuniti itu adalah ramai bekas Presiden Amerika Syarikat seperti Theodore Roosevelt dan Harry S. Truman, pengarah terkenal Francis Ford Coppola dan pengasas Amazon, Jeff Bezos.
2. Tom Morello
Gitaris terkenal kumpulan Rage Against the Machine serta Audioslave, petikan gitar Morello serta bunyi unik yang dihasilkan amat mudah dikenali kerana identiti pemetiknya jelas kedengaran pada setiap not.
Menyambung pengajian di Universiti Harvard, kecenderungan Morello dalam bidang politik mendorong beliau untuk mendaftar dalam kursus sains politik, menamatkan pengajian pada tahun 1986. Morello sempat bekerja sebagai salah seorang pegawai kepada seorang senator di Amerika Syarikat, namun pengalaman itu membuatkan dia jadi serik untuk meneruskan karier dalam politik negara.
Walau demikian, dia akhirnya menemui sentuhannya bersama Rage Against the Machine - menjadikan muzik sebagai medan perjuangan politik mereka. Terkenal sebagai seorang 'anti-Trump' yang terbuka, Morello masih aktif bergiat sebagai aktivis serta tidak segan berkongsi pandangan tentang perubahan politik Amerika Syarikat.
3. Dexter Holland
Senarai ini tidak akan lengkap tanpa nama Dexter Holland, vokalis kepada kumpulan punk terkenal The Offspring dalam senarai. Ini kerana Holland menjadi antara individu unik mempunyai dua karier yang jauh menyimpang antara kedua-duanya - seorang pemuzik rock dan satu lagi, pakar biologi.
Mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan tesisnya, Holland akhirnya berjaya menyelesaikan tesis beliau pada tahun 2017, berjudul Discovery of Mature MicroRNA Sequences within the Protein-Coding Regions of Global HIV-1 Genomes: Predictions of Novel Mechanisms for Viral Infection and Pathogenicity, yang mengkaji tentang interaksi di antara virus HIV dan hos virus tersebut.
Beliau sudah pun mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang biologi dan sarjana biologi bersama University of Southern California, sejak tahun 1994. Dengan kelayakan baru ini, Dexter Holland kini layak untuk digelarkan seorang Doktor Falsafah.
4. Chris Martin dan Coldplay
Kami tidak pasti sama ada beliau masih layak dikategorikan sebagai seorang pemuzik rock, berikutan perubahan hala tuju kumpulan Coldplay yang agak luar biasa bezanya - namun satu ketika dulu, Coldplay adalah sebuah kumpulan rock terulung di dunia.
Kesemua ahli kumpulan Coldplay mempunyai kelulusan daripada berprestij, University College of London atau UCL, antaranya kelulusan dalam bidang kajian manusia, matematik dan Martin sendiri cemerlang dalam bidang pengajian dunia lama, berfokuskan kepada kajian Greek dan Latin.
Martin sejak mula memang dididik untuk menumpukan perhatian dalam pendidikan, didaftarkan ke Sekolah Sherbone, salah satu institusi pendidikan berstatus sekolah paling tua di Britain sejak berusia 13 tahun. Di sekolah ini, muzik diberikan penekanan bersama-sama dengan subjek-subjek teras lain membolehkan keputusan peperiksaan 'A-Level' sekolah tersebut, sentiasa berada dalam kelompok 1% terbaik di England.
5. Brian May
Bagi generasi muda, mereka besar kemungkinan mengenali Brian May menerusi filem 'Bohemian Rhapsody' yang memaparkan kumpulan legenda Queen. May adalah pemain gitar utama kumpulan tersebut, yang bertanggungjawab menulis banyak lagu klasik kumpulan Queen bersama-sama vokalis, mendiang Freddie Mercury.
May yang merupakan peminat fizik dan matematik, merupakan seorang graduan berkelulusan fizik. Dia cuba menyambung pengajian peringkat doktor falsafah pada tahun 1970-an, namun kejayaan kumpulan Queen membuatkan dia terpaksa menangguhkan niatnya. Pada tahun 2006, dia kembali menyambung kajiannya dalam bidang sama - meneruskan tesis yang sedang ditulis dan berjaya menyiapkannya setahun berikutnya.
May dilantik sebagai canselor Universiti John Moores Liverpool pada tahun 2007 sehingga tahun 2013, sehingga kini terus aktif dalam bidang astrofizik serta kerap kali terlibat dengan kajian NASA.