Kredit foto: Instagram Rozi Abdul Razak
Pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak meluahkan rasa kesal apabila segelintir netizen menggunakan medium media sosial sebagai ruang untuk menyebarkan fitnah terhadap penyanyi tersohor negara itu.
Menerusi kenyataan dalam Instagram (IG) Stories, Rozi turut berkongsi artikel berkenaan tindakan Jasmin Hamid yang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu menggelarkan anaknya, Rohana Abdul Hamid sebagai 'bapok'.
"Betul. Semakin negara maju, semakin ke belakang sikap pengguna media sosial. Saya kira jika adik dan artis saya, Siti melakukan apa yang dibuat oleh Jasmin serta beberapa selebriti lain, itu juga akan menjadi pengajaran," tulis Rozi.
Kredit foto: Instagram Rozi Abdul Razak
Rozi berkata, pihaknya tidak mungkin akan berdiam diri selepas ini kerana ia seolah memberi peluang kepada mana-mana netizen mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka.
Malah, Rozi membayangkan dia juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sebagaimana dilakukan Jasmin.
"Selama ini, beliau (Siti) mengambil sikap berdiam diri dan menutup mata tetapi semakin hari (mereka) semakin berani memfitnah, mencerca dan menghina.
"Tetapi rata-rata tidak menggunakan nama atau gambar sebenar dan berselindung di sebalik akaun palsu. Selepas ini kami akan lebih tegas," katanya.
Untuk rekod, penyanyi Anta Permana yang menggunakan akaun Instagram atas nama ‘CTDK’ itu sehingga kini sudah mengumpul lebih 6.7 juta pengikut.
Dalam perkembangan lain, Siti bergandingan bersama Cakra Khan dan Judika sebagai juri tetap program realiti Big Stage musim kedua.