Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza & Instagram Han Byul
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menolak untuk bergandingan dengan peserta Big Stage 2019, Han Byul dalam rakaman lagu duet di masa akan datang.
Siti, 40, bagaimanapun berkata, peluang itu hanya terbuka sekiranya penyanyi Korea Selatan itu dapat membuktikan kemampuannya sehingga peringkat akhir program realiti berkenaan.
"Kita tunggu apa yang dia dapat buktikan sehingga peringkat akhir Big Stage nanti.
"Jika dia buat yang terbaik, pasti ada peluang untuk dia berduet dengan saya," kata Siti dalam sebuah rakaman temubual di Youtube Budiey Channel.
Terdahulu, Han Byul meluahkan hasrat berduet dengan penyanyi Anta Permana itu kerana kagum dengan aura dimilikinya.
Siti dan dua lagi penyanyi Indonesia, Cakra Khan Dan Judika, adalah juri tetap pertandingan yang sedang disertai Han Byul kini.
Dalam pada itu, sekiranya perancangan itu menjadi kenyataan, Siti tidak menganggap Han Byul mempunyai masalah untuk membawa sebarang genre lagu kerana menyifatkannya sebagai penyanyi serba boleh.
Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
"Belum terfikir lagi (genre yang bakal diketengahkan dalam lagu duet) tapi bagi saya, dia seorang yang serba boleh. Dia mampu membawa pelbagai genre muzik.
"Jadi tak akan ada masalah untuk dia. Nanti kita akan tengok kesesuaian," katanya.
Sementara itu, Siti berkata, dia teruja menantikan bentuk persembahan Han Byul pada minggu-minggu mendatang di program realiti yang mengetengahkan bakat-bakat baharu itu.
"Sejujurnya saya sentiasa menantikan persembahannya di konsert Big Stage pada setiap minggu.
"Saya tak mahu dia kecewakan peminat-peminatnya. Sekarangpun peminatnya semakin bertambah di Malaysia. Tahniah saya ucapkan!" katanya.
Sumber berita: Youtube Budiey Channel