Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, jam 8.17 pagi tadi.

Bayi seberat 3.55 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan.

Suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menzahirkan rasa syukur kerana proses kelahiran berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana segalanya selamat. Apa yang penting proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anak juga sihat,” katanya kepada portal Harian Metro.

Manakala Rozi Abdul Razak selaku pengurus Siti mendedahkan penyanyi kesayangan ramai itu berada dalam keadaan sihat.

Namun dalam tempoh terdekat ini, hanya pihak keluarga sahaja yang dibenarkan hadir melawat.

“Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.

“Pasangan ini memilih Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.

“Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu,” katanya.

Dalam pada itu, Siti bersama suaminya masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah dan nama bayi berkenaan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)