Kredit foto: budiey.com
Pengacara, Awal Ashaari, 36, menamatkan kerjayanya sebagai hos program hiburan Melodi selepas enam tahun mengemudikannya.
Katanya, tindakan itu bertujuan untuk keluar dari zon selesa sekaligus memberi ruang untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.
"Saya baru sedar saya perlu keluar dari zon selesa. Enam tahun adalah masa yang cukup lama untuk kekal dalam sesuatu program.
"Pada penghujung 2016, saya pernah menghantar surat untuk berhenti dari Melodi kepada pihak penerbitan. Namun, ditolak kerana mereka tiada pengganti sesuai.
"Tahun depan, mereka mahu menggandingkan saya dengan dua selebriti popular. Jadi, saya fikir inilah masa yang paling sesuai.
"Alhamdulillah, mereka terima dan menghormati keputusan saya. Secara jujur, saya terlalu selesa dan tiada cabaran.
"Saya fikir saya perlu tekan lebih lagi dalam kerjaya," katanya dalam laporan portal BH Online.
Pengunduran itu turut diumumkan beliau menerusi laman Instagram.
Susulan itu, episod Melodi tengah hari semalam menjadi slot terakhir dihoskannya.
Dalam tempoh enam tahun bersama Melodi, Awal pernah ditemani rakan pengacara Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan AG Kool FM.
Sementara itu, Awal menepis dakwaan dia meninggalkan Melodi kerana mendapat kontrak daripada rancangan hiburan Meletop.
Desas-desus itu timbul kerana Awal menggantikan Nabil Ahmad sebagai pengacara rancangan berkenaan, Selasa lalu.
"Kemunculan saya dalam Meletop tidak ada kena mengena dengan keputusan yang dibuat. Produksi program itu meminta saya menggantikan tempat Nabil yang sedang bercuti.
"Sebelum ini, Meletop pernah menjemput saya sebagai pengganti hos program itu tetapi rasanya tidak manis, kerana saya hos Melodi.
"Tetapi sekarang, saya tidak terikat dengan Melodi, sebab itulah saya ambil peluang itu," katanya.
Selain Awal, AG Kool FM selaku hos gandingannya turut mengumumkan tidak lagi bersama Melodi tahun hadapan.
Sumber berita: BH Online