Kredit foto: Instagram Meletop
Menggantikan tempat Nabil yang bercuti sebagai pengacara MeleTop, Awal Ashaari mendapat respon positif daripada netizen.
Gaya pengacaraannya bukan sahaja diterima baik, malah peminat program itu mahu Awal dikekalkan sebagai pengacara, menggantikan Nabil.
Awal bagaimanapun berkata, dia hanya melunaskan tawaran yang diberikan dan menjadi diri sendiri sewaktu menghoskan program itu.
"Ketika ditawar menggantikan Nabil pada episod semalam, saya terus bersetuju. Pada awalnya risau juga sebab program ini sinonim dengan Nabil.
“Saya bimbang jika ada yang membandingkan kami dan saya menjadi diri sendiri," ujarnya memetik laporan portal Harian Metro.
Awal berkata, selepas mengendalikan program itu, dia mendapat reaksi positif daripada penonton, mahupun pihak produksi.
"Alhamdulillah, pihak penerbitan suka dan puas hati dengan penampilan saya.
“Tidak sangka peminat juga memberikan maklum balas sama. Terima kasih atas sokongan semua,” katanya.
Dalam pada itu, Awal tidak kisah sekiranya menerima undangan untuk mengacarakan rancangan tersebut pada masa akan datang.
“Kalau mereka suka dan sudi panggil lagi, saya tiada masalah. Jika kebetulan tawaran itu tidak bertembung dengan jadual kerja lain, saya boleh saja.
“Apa saya boleh katakan, program ini meriah dan lain daripada kebanyakan program hiburan sedia ada. Sesekali buat perkara baru menarik juga,” katanya.
Awal atau nama penuhnya, Ahmad Awaluddin Ashaari berpengalaman mengemudikan pelbagai program televisyen popular, antaranya rancangan realiti One In A Million, Sensasi dan Melodi.
Sumber berita: Harian Metro