Kredit foto: In Trend
“Saya dah lama maafkan abang itu kerana tahu saya masuk tempat orang.”
Itu kata aktres Zarina Zainuddin mengulas isu dirinya ditengking dan dihalau daripada menjual pulut kuning di Lumut, Perak dalam kejadian pada 30 Disember lalu.
Zarina berkata, dia sekadar singgah membawa pulut kuning yang ditempah sewaktu pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri sepupunya.
“Kebetulan saya balik kampung kerana ada kenduri sepupu dan membawa bersama pulut kuning yang ditempah. Dalam masa sama, saya sebenarnya hendak membeli ikan bilis di kawasan itu," katanya kepada portal Harian Metro.
Kata artis berusia 48 tahun itu lagi, dia hanya berniat untuk menumpang duduk di situ sementara menanti pelanggannya tiba.
“Kebetulan pelanggan belum sampai, saya tumpang duduk sekejap," katanya.
Namun, kehadirannya telah disalahertikan sehingga dimarahi dan dihalau daripada kawasan berkenaan.
"Tiba-tiba datang sepasang suami isteri yang berniaga buah, marah-marah suruh angkat pulut," katanya.
Enggan memanjangkan isu tersebut, Zarina memohon maaf dan menyedari kesilapannya yang memasuki 'kawasan orang' tanpa kebenaran.
“Tapi ia sudah berlalu dan saya juga sudah maafkan mereka. Saya juga minta maaf kerana datang tanpa diundang ke tempat orang. Maafkan saya sekali lagi. Lain kali saya kena hati-hati,” akhirinya.
Terdahulu, aktres itu mendapat perhatian ramai selepas memuat naik luahan perasaan di Instagram berhubung insiden dihalau sewaktu berniaga di Lumut.
Sumber berita: Harian Metro