Kredit foto: Instagram Zarina Zainuddin & kakigosip.com
Aktres Zarina Zainuddin yang dikaitkan dengan video anaknya, Azal membabitkan aktor popular, Zul Ariffin memohon agar isu rakaman itu tidak dipanjangkan.
Mewakili anaknya, pelakon itu mengakui kesilapan atas kejadian yang berlaku.
Tulis Zarina dalam luahan di Instagram, "Tadi saya pos pasal kes lama. Sudah bertahun lalu. Saya pun dah minta maaf kepada pihak sana. Jangan keruh kan lagi keadaan.
"Kita perlu ada rasa tanggungjawab atas apa yang kita pos. Betulkan niat kita. Adakah tujuan kita untuk meredakan suasana atau untuk melaga-lagakan sesama sendiri. Kalau niat saya nak melaga-lagakan, dah lama saya pos cerita tapi itu aib orang. Kalau kita buka aib orang, disana nanti Allah buka aib kita.
"Anak saya lurus bendul, tak tahu apa-apa. Hanyalah seorang peminat yang tetap meminati seseorang walau orang cakap apa sekalipun. Untuk di luar sana, bawalah bertenang. Benda kecil, benda dah lama. Saya pun dah tak nak ingat dah. Harap maaf jika terkasar bahasa.
"Saya pun bukan artis popular, hanya pelakon suam-suam kuku yang melakonkan watak 'mak-mak' sahaja dan selalu nama kena 'reject' dengan stesen televisyen. Kenyataannya zaman saya dah berlalu, bagi peluang pada mereka yang popular dan berbakat besar dalam industri."
Sejak beberapa hari lalu, tersebar rakaman video Azal yang mendakwa dirinya telah dimarahi dan dihalau Zul.
Rakaman video itu mencetuskan kontroversi kerana perkataan yang dikeluarkan Zul agak biadab untuk seorang yang menghidap autisme seperti Azal.
Melalui kiriman Instagram terdahulu, Zarina memohon maaf selain menjelaskan ia hanyalah peristiwa lama.
Tampil menjernihkan suasana, Zarina berharap kontroversi itu dapat dilupakan dan fokus kepada kehidupan mendatang.
"Harap maaf terlanjur bicara. Hidup kita ada pasang surutnya. Jangan mudah tertekan dengan benda kecil ini. Buat serabut otak sahaja fikir masalah orang. Masalah saya pun banyak. Saya tetap tenang hadapi.
"InsyaAllah semoga dipermudahkan dan Allah panjangkan rezeki saya dalam industri. Saya masih minat berlakon, cuma kena pilih watak yang lain daripada yang lain. Terima kasih sudi melayan kerenah anak-anak saya dan terima dia seadanya. Maafkan saya dan keluarga saya.
"Mereka cuma nak membela nasib anak saya. Tapi saya rasa tak perlu panjang-panjangkan cerita pun. Dah basi, tutup buku. Kita buka hari baru untuk lembaran yang baru
"Hidup perlu diteruskan. Tolonglah, pandang ke hadapan. Takdir Allah itu indah. Lama saya baca komen-komen tadi, takut pula hati jadi hitam.
"Buat Zul Ariffin, maafkan anak akak yang tak tahu apa-apa. Siapa bersalah, akak tetap minta maaf," tulisnya lagi.